Islah & Wanita Gemilang

Sunday, January 24, 2010

Artikal

Penghinaan terhadap semua agama - Zaid

a
KUALA LUMPUR - Pengumuman kelulusan lesen pertaruhan bola sepak kepada kumpulan Berjaya oleh Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin merupakan penghinaan terhadap semua agama di negara ini, demikian kata Presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Zaid Kamaruddin.
"Tiada agama di dunia ini yang mengatakan judi itu membawa kebaikan. Dari sudut mana, sama ada sosial atau agama, yang menunjukkan adanya manfaat daripada perjudian?" beliau bertanya.
Kelmarin, Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri mengumumkan secara rasmi kelulusan lesen pertaruhan bola sepak semasa berlangsungnya temasya Piala Dunia bulan depan. Pada 6 Mei lalu, Timbalan Menteri kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussein memberitahu bahawa kerajaan bersetuju mempertimbangkan secara serius cadangan meluluskan lesen judi pertaruhan sukan bagi mengelakkan perjudian haram yang dikatakan berleluasa di negara ini.
Zaid menambah, selain penghinaan terhadap agama, kelulusan ini juga menunjukkan sikap kerajaan hari ini yang bukan mahu mengurangkan perkara-perkara haram bahkan menambah satu benda baharu. Hasil cukai atau lesen daripada perniagaan perjudian ini sebenarnya akan menghimpun hasil tidak berkat yang akan digunakan oleh kerajaan untuk pelbagai tujuan.
"Seperkara lagi, ia akan membuka lebih pintu (maksiat) kepada orang Islam, walaupun kononnya ada larangan ke atas mereka. Kita tengok saja kedai 4 Nombor Ekor, Sports Toto dan sebagainya, langsung tidak ada penguatkuasaan larangan terhadap umat Islam (walaupun notis larangan dipamerkan)," katanya.
"Dan berkemungkinan juga kelulusan ini menyebabkan ada pengarah-pengarah yang beragama Islam terbabit dalam aktiviti perniagaan tersebut."
Tindakan terbaharu kerajaan ini adalah satu tindakan yang membelakangkan agama, bukan Islam sahaja tetapi agama-agama lain juga. Ia mendapat bantahan keras daripada pertubuhan-pertubuhan Islam serta ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat termasuk DAP.
"Bagi saya, inilah masanya untuk semua institusi agama bersuara. Walaupun kita tahu judi telah lama wujud di negara ini, namun kelulusan lesen pertaruhan bola sepak ini adalah perkara baharu yang sedang diuar-uarkan. Jadi perlu ada reaksi daripada institusi-institusi agama. Kalaupun bukan institusi agama kerajaan, sekurang-kurangnya jabatan mufti perlu menentukan adakah cukup hanya dengan notis larangan terhadap orang-orang Islam berjudi," ujar Zaid lagi.
Beliau seterusnya mengingatkan kerajaan supaya bertindak mengikut landasan perlembagaan yang telah menetapkan bahawa negara ini mempunyai agama dan agama persekutuannya adalah agama Islam. "Kalau sudah begitu kedudukannya, kenapa dibuat satu ketetapan yang bertentangan dengan Islam?" soalnya.
Ditanya sama ada kerajaan akan menarik balik kelulusan ini selepas menerima bantahan, Zaid berkata kerajaan perlu memikirkan sendiri apa yang terbaik. Pemerintah sepatutnya membina yang positif, bukan melangkah ke belakang. Tindakan seperti ini hanya menunjukkan sikap wewenang kerajaan dengan tidak mengambil kira kepentingan masyarakat.
Bagaimanapun, beliau tidak nampak kerajaan akan menark balik keputusannya sekalipun menerima desakan yang kuat daripada rakyat. "Saya tak fikir mereka akan tarik balik walaupun desakan itu datang dari dalam anggota kabinet sendiri, kerana kerajaan tidak ada kekuatan moral untuk berbuat demikian," katanya.
Namun menurutnya lagi, kerajaan patut tahu apa saja tindakannya akan dinilai oleh rakyat, dan pastinya ada implikasi keyakinan daripada rakyat terhadap kerajaan.

malaysiaharmoni  

 ********************************************

Pulangnya Seorang syahid menemui Kekasih


Pada 17 April 2004 pulanglah seorang syahid menemui Kekasih yang didambakan. Satu tribute untuk as-Syahid Dr Abdul Aziz Rantisi

Kita sering tercari-cari siapakah di kalangan manusia pada hari ini yang pantas dijadikan contoh ikutan dalam perjuangan menegakkan kalimah al-Haq. Kita mahu mencontohi beliau baik dari sisi istiqamahnya, baik dari segi tsabatnya, baik dari segi jihad, kesungguhan dan pengorbanannya. Nah! Salah seorang dari insan yang pernah memiliki sifat-sifat ini ialah as-Syahid Dr Abdul Aziz Rantisi. Pada 17 April 2004 ini genaplah enam tahun as-Syahid meninggalkan kita semua. Beliau dibedil oleh helicopter Apache Zionis Israel dengan peluru berpandu Hellfire yang juga telah mengambil nyawa as-Syahid Syeikh Ahmad Yassin dua puluh enam hari lebih awal.

Sebelum kakinya melangkah keluar dari rumah kerana menziarahi keluarga selepas waktu isya, beliau dengan hati penuh harap berkata ‘Semuga Engkau masukkan kami ke dalam syurga mu Ya Allah. Inilah puncak harapanku..” Tidak beberapa langkah dia meninggalkan rumah, kedengaranlah bunyi ledakan. Ternyata helicopter Apache telah siap menunggu dan menganugerahkan apa yang didambakan oleh as-Syahid. “Ia adalah kematian samada dengan pembunuhan atau barah. Tidak ada yang berubah samada dengan Apache atau sakit jantung. Dan aku memilih Apache..” Bukti bahawa as-Syahid gembira dengan anugerah ini tergambar dari senyuman yang menguntum dari bibirnya dan darah yang terus mengalir setelah 24 jam beliau syahid yang menghamburkan bau harum kasturi. Semua yang hadir menziarahi jenazah as-syahid yang mulia melihat kebesaran Allah dan benarnya janji Allah dan Rasulnya. “Jangan kamu menyangka mereka yang mati syahid itu mati, bahkan mereka hidup dan diberi rezeki, hanya kamu tidak mengetahuinya.”

Pendirian As-Syahid Abdul Aziz Rantisi terhadap perjuangan, cintanya terhadap tanah-airnya bumi Palestin dan Baitul Maqdis yang suci telah sedia kita maklumi. Dia mengabdikan seluruh hidupnya untuk jihad dan untuk al-Quds. Inilah yang digambarkan oleh isteri as-syahid Ummu Muhammad, beliau adalah gambaran ayat Allah ‘Sesungguhnya tidak dijadikan manusia dan jin melainkan untuk menyembah Dia.’ Sebagaimana juga as-Syahid syeikh Ahmad Yasin yang mendahului beliau, Israel tidak pernah merasa aman dengan beliau yang tidak pernah mengenal erti mengalah dan lemah. Tidak seperti pemimpin-pemimpin Palestin secular yang siap untuk menggadaikan prinsip dan tanah air atas nama rundingan damai, As-Syahid Abdul Aziz Rantisi tidak pernah berganjak dari keyakinan bahawa bumi Palestin tidak mungkin ditukar ganti dengan apapun. Pilihan yang ada pada Israel hanya satu iaitu keluar dari bumi Palestin yang mereka jajah dan kembalikan hak rakyat Palestin yang mereka rampas. Jika mereka gagal untuk melakukan ini maka bersedialah untuk berhadapan dengan api jihad yang akan terus bersemarak membakar jiwa-jiwa para mukmin sehingga akhir. Hasrat Zionis untuk melihat lumpuhnya HAMAS dengan terbunuhnya dua pemimpin utama dalam selang 4 minggu meleset sama sekali. Bahkan kematian dua tokoh ini menyuburkan lagi jihad di bumi Palestin dan kini setelah enam tahun kedua mereka meninggalkan kita, Palestin terus berdiri teguh berhadapan dengan segala macam kekuatan yang ditalakan dunia ke atas mereka. Bukan sahaja mereka diperangi oleh senjata-senjata terkini bahkan mereka dikepung dan di kelilingi oleh tembok-tembok kematian serta dikhianati pula oleh saudara-saudara seagama yang bersekongkol dengan musuh-musuh untuk mencengkam Gaza dan Tanah suci al-Quds. Inilah karamah yang terbit dari kehebatan as-syahid Syeikh Ahmad Yassin dan as-Syahid Dr Abdul Aziz Rantisi.

‘Di belakang seorang lelaki yang agung pastinya seorang wanita yang mulia’, demikianlah ungkapan yang disebut kepada isterinya Ummu Muhammad. Namun Ummu Muhammad segera menyanggah kata-kata ini. Sebaliknya beliau memuliakan ibu as-syahid yang mana di atas didikan kemuliaan dan kehebatan dari almarhumah ibunyalah lahir as-syahid Abdul Aziz Rantisi. Beliau digambarkan oleh isterinya sebagai seorang suami, ayah dan datuk yang bukan sahaja melimpah dengan kasih-sayangnya terhadap isteri, anak-anak dan cucu-cucu bahkan kasih-sayang itu akan segera diluahkan sebaik sahaja ada ruang dan kesempatan. Bahkan ketika dikelilingi oleh tugasan yang banyak termasuk ketika melayan para tetamu dan wartawan beliau akan berhenti sebentar untuk menegur anak-anaknya dengan penuh kemesraan. Lantaran itu tidak seorangpun dari anak-anaknya dan cucu-cucu (14 orang semuanya) yang tidak merasakan kemesraan ayah dan datuk mereka sehingga mereka semua bercita-cita untuk mengikuti jejak langkah as-syahid dalam perjuangan.

Kelembutan as-syahid terhadap keluarga digambarkan oleh Ummu Muhammad dalam satu pengalaman di mana beliau tersinggung peti televisyen sehingga pecah skrinnya. Beliau begitu bimbang kerana sekatan ekonomi tidak memungkinkan mereka menggantikan TV yang pecah itu. Tetapi as-Syahid yang melihat kebimbangan Ummu Muhammad telah memujuk beliau dan berkata “Qadarallah maa syafaa’a fa’al” (Setiap sesuatu itu ada tempoh akhirnya). Semuga contoh-contoh kecil dari tokoh besar ini membekas di hati kita semua dan menjadikan kita berjiwa besar dan tidak terikat dengan dunia. Sesungguhnya membebaskan diri dari kesempitan dunia lah yang menjadikan seseorang itu mendambakan kehidupan akhirat yang kekal abadi.

Ketegasannya di dalam perjuangan tidak dipersoalkan. Sewaktu as-Syahid Abdul Aziz Rantisi diusir bersama 416 oarng pejuang oleh Israel di selatan Lubnan pada tahun 1992, beliau didatangi oleh seorang wartawan media barat mengajukan soalan ‘Kenapa HAMAS enggan iktiraf Israel’. Jawapan yang diberikan oleh as-Syahid Abdul Aziz Rantisi meninggalkan wartawan tersebut sendiri kebibungan. Israel yang mana? Israel 1948? Atau Israel 1967? Atau Israel 1981? Atau Israel 1993? Atau Israel 2000? Hakikatnya Israel adalah entiti palsu yang tidak punya sebarang sempadan yang hakiki. Bagaimana mengiktiraf sebuah Negara haram yang tidak punya sebarang ketentuan sempadan kerana ia didirikan di atas Negara orang lain yang dirampok dan dirampas semaunya dan sekehendak hati mereka. Lantaran itu as-Syahid Abdul Aziz Rantisi berikrar “Israel tidak akan mengenal keamanan, kami akan memerangi mereka sehingga Palestin dibebaskan, dibebaskan seluruhnya.”
Inilah gambaran orang-orang beriman yang digambarkan oleh Allah SWT ‘…Mereka kasih kepada Allah dan Allah kasih kepada mereka, mereka berkasih sayang sesame mukmin (izillah alal mu’mimin) dan tegas terhadap golongan kafir (a’izatul alal kafirin), mereka berjihad pada jalan Allah dan tidak takut kepada celaan orang-orang yang mencela…”

As-syahid Abdul Aziz Rantisi dilahirkan pada 23 Oktober 1947 berhampiran Jaffa (Yaffa) dan syahid pada 17 April 2004.

Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengarah PACE

 **************************************************************

Hidupkan kembali Ghirah dalam masyarakat



Hari ini rakyat Malaysia khususnya umat Islam dihantui oleh satu fenomena yang amat meruntun jiwa iaitu kes-kes pembuangan bayi. Seringkali bayi yang baru lahir ini ditemui telah meninggal dunia dengan keadaan yang sangat menyayat hati. Insan-insan yang masih belum mengerti apa-apa tentang kehidupan ini dibuang di tempat-tempat pembuangan sampah seperti selayaknya barang buangan yang tidak berguna. Malah ada mayat bayi yang ditemui dengan tanda-tanda ia dibakar sebelum dibuang dan ada juga yang tinggal sisa setelah dimamah oleh anjing dan haiwan lain yang berkeliaran. Jiwa yang sehat tidak dapat menggambarkan manusia semacam apakah yang sanggup melakukan perbuatan yang amat kejam dan tidak berperikemanusiaan ini. Bahkan fikiran menjadi buntu apabila mengenangkan perbuatan yang zalim ini besar kemungkinan dilakukan oleh ibu-bapanya sendiri. Sedangkan haiwan yang paling buas tidak tergamak melakukan perbuatan seperti ini terhadap anaknya. Buaya, seekor haiwan ganas akan memindahkan anak-anaknya yang baru menetas ke air dengan rahangnya dicelah gigi-giginya yang tajam dengan penuh kasih-sayang dan hati-hati agar tidak mencederakan anak-anaknya yang kecil dan lemah itu. Begitu juga harimau akan menggonggong tengkuk anaknya dengan cara ‘menggigit’nya dengan penuh kelembutan, sedangkan gigi yang sama itulah digunakan untuk menyiat-nyiat daging mangsanya.

Di manakah hilangnya bibit-bibit kasih-sayang bahkan nilai-nilai asas kemanusiaan. Apakah manusia sudah hilang sifat kemanusiaannya sehingga menjadi lebih hina dari haiwan sehingga sanggup melakukan perbuatan yang zalim itu?   Apakah punca kepada penyakit yang semakin menular ini? Penyakit ini semacam sudah menjadi wabak yang tidak dapat dibendung melihat kepada semakin kerapnya berita yang terpampang didada akhbar mengenai kes penemuan mayat bayi yang baru lahir. Bahkan sewaktu risalah ini ditulis ada yang sedang berkira-kira untuk membuang bayi yang bakal lahir sedikit masa lagi. Mereka mungkin saat ini sedang memikirkan di manakah tempat yang paling ‘selamat’ untuk mencampakkan bayi tersebut agar tidak diketahui orang. Kalau boleh biarlah bayi itu tidak ditemui bekasnya dan hilang dari pandangan.
 
Kenapakah bencana ini semakin berleluasa. Apakah ia satu simtom atau gejala kepada penyakit yang lebih besar? Apakah nilai-nilai pegangan masyarakat sudah berubah sedemikian rupa sehingga bencana pembuangan bayi ini hanya diketahui berlaku dalam sepuluh tahun kebelakangan ini. Apakah yang ada pada masyarakat dahulu yang sudah hilang pada masyarakat hari ini. Apakah kompas kehidupan masyarakat hari ini sudah berputar 180 darjah sehingga nilai menjadi terjungkir balik?
 
Setelah diamati dengan penuh keinsafan maka penulis merasakan ada sesuatu yang telah luput dari masyarakat melayu Islam di Negara ini yang dahulunya menjadi pakaian masyarakat dan nilai yang dipertahankan dengan sungguh-sungguh. Salah satu dari ciri masyarakat melayu zaman dahulu yang telah hilang itu ialah ‘ghirah. Apakah yang dimaksudkan dengan ghirah? Ghirah adalah satu nilai yang cukup penting bagi orang melayu. Ia membawa maksud harga diri atau muru’ah (maruah diri, keluarga dan masyarakat). Orang melayu memang terkenal dengan sifat cemburunya apabila ‘ghirah’nya tersentuh. Sebab itu masyarakat melayu terkenal dengan ungkapan ‘Biar mati anak, jangan mati adat’ dan semboyan perangnya seperti ‘Dari hidup menanggung malu, lebih baik mati berkalang tanah!’. Ungkapan ‘Arang sudah terconteng ke muka’ menggambarkan betapa seseorang itu tidak sanggup berdepan dengan masyarakat apabila ghirahnya telah tercalar.
 
Salah satu dari aspek yang sangat dicemburui oleh orang melayu ialah yang berkaitan dengan maruah orang perempuan terutama yang bersangkutan dengan ahli keluarga yang terdiri dari isteri, anak-anak perempuan, adek-beradek perempuan, anak-anak buah perempuan dalam keluarga besar. Maruah kaum wanita tidak ternilai sehingga apabila berlaku pencabulan atau keluarga dimalukan dalam hal yang berkaitan dengan perempuan maka nyawalah galang gantinya. Ia tidak mungkin ditukar ganti dengan harta meski ditebus dengan emas.
 
Dalam sejarah rumpun bangsa melayu memang sarat dengan kesah-kesah benar mengenai mempertahankan atau menjunjung ghirah keluarga ini. Bahkan sehingga pertengahan kurun ke 20 kita masih lagi mendengar kes di mana seseorang membunuh kerana mempertahankan maruah keluarga apabila isterinya atau anak-anak perempuannya diganggu. Mereka sanggup dipenjarakan bahkan sanggup menghadapi hukuman mati kerana bagi mereka itulah harga yang sedia mereka bayar untuk menebus harga diri dan maruah keluarga yang telah tercalar. Bagi mereka itulah pengorbanan yang perlu demi memulihkan imej dan ghirah keluarga. Jika mereka hanya mendiamkan diri atau mengambil sikap memaafkan maka rosaklah nama baik keluarga dan ia tidak akan pulih sehingga ke anak-cucu. Bahkan ahli keluarga akan merasa malu untuk mengangkat muka apabila bergaul dengan anggota masyarakat. Mereka merasakan semua mata memandang mereka dan melihat mereka dengan penuh kehinaan kerana tidak ada sifat ’kelelakian’ atau tidak cukup jantan untuk menebus maruah kelaurga.
 
Apakah nilai ini datang bersama Islam atau ianya telah tertanam lama sebelum Islam menjadi anutan bangsa melayu? Jika kita lihat begitu sekali tegasnya orang melayu dalam soal menjaga ghirah keluarga, berkemungkinan ia telah menjadi sebahagian dari nilai yang diwarisi oleh orang melayu sejak dahulu. Islam datang untuk mengesahkan dan menyederhanakan sifat ghirah itu supaya cocok dengan fitrah manusia dan tidak sampai seseorang itu melampaui batas lebih dari apa yang diperakui oleh hukum syara’. Namun penerimaan Islam itu adalah satu proses pengislahan yang bertahap sehingga perlakuan-perlakuan mempertahankan ghirah secara melampau tetap mewarnai ciri-ciri kehidupan bangsa melayu yang telah lama menganut Islam. Sebab itu kita dapati salah satu dari ciri masyarakat melayu dahulu ialah budaya memingit anak perempuan meskipun Islam tidak pernah menganjurkan. Kehidupan Rasulullah SAW dan generasi awal muslim tidak sesekali menggambarkan kaum perempuan dikurung di rumah-rumah mereka. Bahkan mereka keluar bersama kaum lelaki termasuk menyertai peperangan dan memainkan peranan penting menguruskan aspek-aspek sokongan dan logistik. Tetapi di dalam masyarakat melayu dahulu anak-anak perempuan dipingit dalam ertikata tidak dibenarkan keluar dari rumahnya melainkan atas sebab-sebab yang tidak boleh dielakkan sama sekali. Bahkan ada anak perempuan yang tidak pernah menjejak kaki di luar rumahnya. Salah seorang tokoh wanita yang terkenal di Indonesia iaitu ibu Kartini juga dikawal dalam masyarakat Jawa tradisional dengan budaya pingit. Beliau langsung tidak boleh keluar rumah sehingga usianya awal belasan tahun dan ini berlaku sekitar awal kurun ke 20.
 
Apabila negeri-negeri melayu (Tanah Melayu dan Kepulauan Melayu-sekarang Indonesia) terdedah kepada sistem persekolahan dalam zaman penjajahan, rata-rata anak-anak perempuan tidak dibenarkan ke sekolah kerana bimbang mereka pandai menulis. Kepandaian ini akhirnya akan digunakan untuk berutus-utus surat dan bercinta. Sebuah keluarga akan ditimpa bencana besar jika anak perempuannya jatuh cinta dengan seorang pemuda kerana istilah cinta dalam kamus masyarakat melayu tradisional tidak wujud bahkan hampir-hampir dianggap haram. Ini adalah kerana perkahwinan diatur oleh keluarga dan anak perempuan hanya mengikut sahaja kehendak orang tua. Mereka tidak punya sebarang hak untuk mempersoal dan menolak pilihan ibu-bapa dalam soal jodoh. Semua ini tidak ada asasnya di dalam Islam kerana Islam memuliakan wanita, menjamin hak untuk mendapat pendidikan yang seimbang sama seperti lelaki dan kehendak serta perasaan wanita dihormati dalam soal pemilihan jodoh. Contoh-contoh dari kehidupan Rasulullah SAW sarat dengan bukti-bukti bagaimana wanita muslim menikmati hak mereka sama seperti kaum lelaki dalam soal-soal penting kehidupan.
 
Bagaimana pula masyarakat melayu lama meladeni anak-anak lelaki dalam hal menjaga harga diri perempuan.? Anak lelaki yang sudah ’besar’ (sudah baligh) tidurnya di surau. Amat janggal dan pelik sekali jika masih ada anak-anak muda yang sudah diharapkan menjaga kampung tidur di rumah ibu. Anak-anak lelaki bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan kampung dan anak-anak gadis. Jangan sampai nanti berlaku pengkhianatan ibarat ’pagar makan padi’. Dengan aturan seperti ini diharapkan kampung terjaga dan anak-anak gadis terpelihara dari sebarang perbuatan sumbang, khianat dan ceroboh.
 
Pemuda juga harus tahu membawa diri di kampung. Jika tiada sebarang keperluan adalah kepantangan besar bagi seorang pemuda melintas di halaman rumah yang ada anak gadis yang sudah besar panjang. Jika melintas juga tanpa sebarang keperluan, silap perhitungan akan diludah oleh tuan rumah atau lebih parah lagi ditetak dengan parang.
 
In zaman dahulu. Namun masa berlalu dan kesan penjajahan barat sedikit demi sedikit meresap masuk ke dalam kebudayaan hidup bangsa melayu. Masyarakat melayu semakin terdedah dengan arus permodenan dan arus budaya barat yang datang bersama penjajahan. Anak-anak perempuan tidak lagi dipingit dan sudah mula mendapat sedikit ruang untuk meneroka dunia luar. Hasil dari kesedaran yang ditanam oleh tokoh-tokoh pejuang bangsa yang berusaha untuk membawa perubahan di dalam masyarakat melayu Islam, akhirnya masyarakat lebih terbuka. Ide-ide progresif yang dipelopori oleh gerakan kebangkitan atau islah (perubahan) yang dibawa oleh golongan cendekiawan yang mempunyai latar belakang pendidikan barat atau Islam mempunyai saham ke arah mengembalikan kemerdekaan dan hak orang perempuan yang selama ini dinafikan oleh nilai-nilai tradisi yang mencengkam.      
 
Tetapi ibarat bandul masyarakat melayu Islam bergerak dari satu kedudukan yang ekstrem kepada satu kedudukan ekstrem yang bertentangan. Sedikit demi sedikit masyarakat melayu yang semakin terbuka mindanya juga semakin terbuka sikap dan pembawaannya. Bukan sahaja fikirannya semakin terbuka, pakain dan pergaulannya juga turut semakin terbuka sehingga melanggar adab-adab berpakaian dan batas-batas pergaulan dalam Islam. Keterbukaan ini dianggap satu kemajuan yang seiring dengan peredaran zaman. Sesiapa yang tidak mengikut trend atau peredaran zaman akan dianggap kolot dan ketinggalan. Nilai-nilai Islam yang dahulunya mengawal akhlak masyarakat melayu tradisi yang kadang-kadang dipraktikkan dengan cara yang lebih ketat dari apa yang diharuskan oleh syarak kini semakin dilupakan dan ditinggalkan. Ghirah atau muru’ah diri yang menjadi kebanggaan turun temurun yang dipertahankan oleh orang melayu semakin terhakis bahkan hampir terhapus dari kamus kehidupan orang melayu. Pergaulan di antara lelaki dan perempuan semakin bebas bahkan semakin tidak mempunyai batasan lagi dengan berlalunya masa. Meskipun tanah air telah bebas dari belenggu penjajahan, trend budaya barat yang dianggap moden dan progresif terus mewarnai masyarakat melayu dengan kesan yang lebih parah lagi.
 
Ibu-bapa tidak lagi mempunyai rasa cemburu terhadap anak perempuannya. Ayah tidak merasa tercabar apabila anak perempuan dikelek oleh lelaki ke hulu ke hilir ibarat suami isteri layaknya. Sesiapapun tidak merasa maruah mereka tercabar atau ghirah mereka tersentuh. Bahkan mereka berbangga pula anak-anak gadis mereka mempunyai teman lelaki atau ’boyfriend’. Pergaulan bebas ini seringkali menyebabkan anak-anak gadis kehilangan mahkota mereka yang sepatutnya diserahkan kepada suami mereka pada malam perkahwinan yang dinanti-nantikan oleh mereka yang mahu mendirikan rumahtangga. Apabila ’kelapa sudah ditebuk tupai’ maka berusahalah keluarga tadi untuk menutup aib dengan menyembunyikan malu yang ditanggung keluarga. Cepat-cepat mereka usahakan agar perkahwinan dilangsungkan sebelum perut yang semakin besar semakin jelas kelihatan. Anak zina itu dilahirkan dan untuk menutup titik hitam itu anak tadi dibinkan kepada suaminya walaupun dari segi hukum anak zina tidak bolih dinasabkan kepada ayah biologikalnya. Pada tahap ini perzinaan berlaku di kalangan pasangan muda-mudi yang bercinta. Meskipun mereka telah ’terlanjur’ tetapi sekurang-kurangnya mereka mengambil tanggungjawab di atas ’keterlanjuran’ itu. Kini persetubuhan haram berlaku bukan sahaja di kalangan mereka yang kononnya dilamun cinta tetapi juga untuk suka-suka. Seseorang itu tidak perlu bercinta atau mempunyai komitmen untuk mengikat hubungan dengan tali perkahwinan untuk melakukan hubungan seks. Dan lebih dahsyat lagi mereka tidak mempunyai niat untuk melahirkan anak yang dikandung itu. Sebaliknya mereka nekad untuk membuang bayi tersebut sebaik ianya lahir. Bagi mereka yang ada peluang untuk membuang janin di dalam kandungannya diusahakan untuk digugurkan diklinik-klinik swasta yang menjalankan pengguguran haram.
 
Inilah transformasi yang berlaku dalam masyarakat melayu Islam dari satu bangsa yang sangat tinggi sifat cemburunya terhadap perempuan kepada satu bangsa yang langsung tidak merasakan wanita mempunyai maruah yang perlu dicemburui dan dipelihara. Masyarakat sudah hilang ghirah yang dulunya dipertahankan meskipun dengan nyawa. Seluruh sendi-sendi masyarakat sudah goyah dan jika penyakit yang semakin parah melanda masyrakat ini tidak diubati, ia bakal runtuh dan membawa kehancuran generasi akan datang.
 
Inilah senario yang menuntut masyarakat melayu supaya menghidupkan semula sifat ghirah dengan Islam sebagai landasannya. Sifat ghirah yang mengikut acuan Islam bertitik tolak dari asas yang diletakkan oleh al-Quran mengenai tanggungjawab lelaki ke atas wanita. Asas itu ialah Ar-Rijalu qowammu  na-alan-nisaa’ (Sesungguhnya lelaki itu adalah pelindung kepada wanita). Hari ini lelaki sudah hilang ghirahnya terhadap wanita sebaliknya mengkhianati amanah Allah dalam urusan memelihara muruah wanita. Ayah sudah hilang ghirahnya terhadap anak perempuan dan suami sudah hilang ghirahnya terhadap isteri. Lelaki pula sudah hilang ghirahnya dan sebaliknya mengambil kesempatan pula terhadap wanita.
 
Sesungguhnya kita mempunyai qudwah (contoh) yang terbaik pada diri Rasulullah SAW dalam hal mempertahankan ghirah ini. Pernah satu ketika seorang wanita muslim disingkap auratnya oleh orang yahudi di pasar. Atas rasa cemburu dan demi memelihara mu’ruah wanita Islam dan Islam itu sendiri, Rasulullah SAW memerangi mereka sehingga mereka diusir dari Khaibar. Ini satu contoh bahawa soal maruah dan ghirah bukan soal kecil. Jika ghirah umat Islam terus diperlekehkan maka natijahnya cukup serius dan Nabi SAW mendidik umat Islam supaya memelihara ghirah ini sebagai suatu yang tidak ternilai harganya, yang dengannya umat Islam dimuliakan. Begitu juga contoh yang ditunjukkan oleh Khalifah Mu’tasim di zaman Khilafah Abbassiyah. Seorang wanita diganggu oleh tentera Rum di perbatasan Syam. Wanita ini berteriak ’Wa Mu’tasim’ sedang Khalifah Mu’tasim berada di Baghdad, yang amat jauh dari Syam. Berita ini sampai ke pengetahuan Khalifah Mu’tasim. Dengan segera surat diutus kepada kerajaan Rum supaya gangguan terhadap wanita ini dihentikan. Jika perbuatan biadap ini berterusan maka khalifah tidak teragak-agak untuk menghantar bala tentera yang besar yang dikatakan ’kepalanya sudah tiba di Syam sedang ekornya masih berada di Baghad’. Lihatlah ghirah yang ditunjukkan oleh para rijal (lelaki sejati) dan rijal seperti inilah yang akan menjunjung perintah Allah – Sesungguhnya Lelaki itu adalah pelindung kepada wanita.
 
Semuga masyarakat hari ini mengambil iktibar dari kesah kelelakian sejati yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan generasi muslim qudwah (contoh terbaik) yang terdahulu. Semuga dengan berputiknya kembali bibit-bibit ghirah di atas landasan Islam yang syumul (sempurna) akan luputlah   gejala pembuangan bayi yang amat menyesakkan hati kita pada hari ini. Semuga Allah mengembalikan umat ini kepada fitrahnya yang sebenar. Ameen Ya Rabbul Alameen
 
Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor 
Pengarah PACE/ahli Lembaga AQSA SYARIF
Jab. Perlindungan Tumbuhan
Fakulti Pertanian
Univ Putra Malaysia

No comments:

Post a Comment