Islah & Wanita Gemilang

Tuesday, September 8, 2009

BICARA YDP

15 September 2009

Assalamualaikum wrt dan Salam Perjuangan,

Saudara/ Saudari Ahli, Rakan & Keluarga JIM yang dikasihi,

Ramadhan Kareem.

Kita bertemu kali ini dalam suasana penghujung bulan Ramadhan yang penuh barakah. Ramai dikalangan umat Islam telah mula merancang bercuti untuk berhari raya, di iringi pula dengan keriangan syawal seperti lagu-lagu raya yang mula berkumandang di media dan gedung-gedung membeli-belah, persiapan barangan balik kampung dan pondok-pondok menjual lemang yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan.

Suasana di Tanah Suci sangat berbeza pada ketika ini dengan umat Islam bertungkus lumus dengan ibadah pada malam-malam akhir Ramadhan. Alhamdulillah, saya berkesempatan berada di Makkah semasa sepuluh malam akhir Ramadhan beberapa kali, memang makin dekat dengan akhir Ramadhan semakin semarak lagi ibadah. Jarang sekali kedengaran hari raya disebut-sebut. Para sahabah Nabi (saw) apabila Ramadhan menjelang tiba akan gembira manakala apabila Ramadhan hampir dipenghabisan para sahabah akan merasa sedih.

Saya amat yakin bahawa kita sedang dan masih bersungguh-sungguh dalam memperbanyakkan amal ibadah dibulan yang mulia ini terutama pada 10 hari terakhir ini termasuk pengharapan bertemu Lailatul Qadr.

Sepanjang bulan Ramadhan, umat Islam juga ditekankan untuk menambah kadar kemurahan hati mengikut sunnah Rasulullah (saw) seperti diceritakan oleh Abdullah ibn Abbas. Alhamdulillah beberapa usaha untuk membantu mereka yang memerlukan telah dijalankan dan mendapat sambutan dan sumbangan daripada Saudara/ saudari sekelian. Allah sahaja yang dapat membalas kemurahan hati Sdr/sdri. Iftar Perdana Hidayah Centre dan Iftar Gabungan JIM Ampang Jaya dan PIBG Sekolah Rendah Islam Al-Amin KL telah mendapat sambutan yang menggalakkan.

Kita harap apabila kita melalui madrasah tarbiyah Ramadhan ini kita dapat mencapai ketaqwaan yang tinggi seperti disebut dalam ayat 183, surah Al Baqarah. Dalam usaha kita ingin mencapai ketaqwaan ini, kita kena terlebih dahulu memahami apa itu taqwa dan natijah dari mencapainya. Kita harap usaha kita dalam bulan mulia ini tidak sia-sia , dimana bukan sahaja tidak meningkatkan ketaqwaan kita malah mendapat kerugian seperti dalam hadith Rasulullah (saw)

“ Ramai yang berpuasa tapi tidak perolehi kebaikan melainkan lapar dahaga dan ramai yang berqiam malam tapi tidak perolehi kebaikan melainkan kurang tidur”( Darimi)

Semoga kita dapat memperbaiki diri kita untuk diri kita sendiri, keluarga kita yang di amanahkan, dakwah kita yang diperjuangkan dan Negara kita yang dicintai.

“ Sesungguhnya Allah tidak merobah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merobah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri”

Semoga Allah menerima puasa, doa, taubah dan ibadah-ibadah kita sepanjang Ramadhan. Saya serta seluruh kepimpinan JIM Ampang Jaya( JIMAJ) ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin kepada seluruh kerabat JIMAJ dan seluruh umat Islam. Bagi yang balik kampung untuk bersama sanak-saudara anggaplah ini sebagai satu ibadah kita untuk menziarahi ibubapa dan saudara mara dan mengeratkan silaturahmi. Mudah-mudahan kita jadikan Hari Lebaran ini satu ibadah dan bukan sekadar majlis perayaan. Jumpa nanti pada Himpunan Syawal Ampang Jaya
( HISYAJ) pada 18 September 2009, insyaAllah.

Wallahu a’lam.


Syed Saleh Syed Abdul Rahman
Yang DiPertua
Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia
Daerah Ampang Jaya
Selangor

25 Ramadhan 1430

*****************************************************************************************

8 Ogos 2009


Assalamualaikum wrt dan Salam Perjuangan,


Ahli-ahli dan rakan-rakan JIM Ampang Jaya ( JIMAJ) yang dirahmati Allah.

Sejak dua minggu yang lalu, ahli-ahli JIM telah terpanggil untuk menyatakan pendirian dan tampil kehadapan menangani dua kondisi yang mendapat perhatian umum.

Yang pertama, pada 1 Ogos 2009, ramai ahli-ahli JIM bersama puluhan ribu rakyat telah menyuarakan pandangan mengenai apa erti keadilan yang sebenarnya yang dituntut dan dijanjikan oleh Islam. Mereka semua memberi sokongan padu kepada Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) yang di terajui oleh Timbalan Presiden JIM sendiri.

Kondisi yang kedua, berlaku apabila YB Jeff Ooi telah mengeluarkan kata-kata yang tidak menjaga sentiment umat Islam sejagat. YB Jeff mengambarkan seolah-olah menjunjung tuntutan menegakkan syariah Allah itu sebagai satu kesalahan. Banyak lagi yang harus diusahakan oleh ahli-ahli JIM untuk menerangkan apa itu JIM dan apa perjuangan JIM.

“Katakanlah, inilah jalanku, aku menyeru kepada Allah dengan penuh kesedaran aku dan pengikutku. Maha suci Allah dan bukanlah aku dari golongan mereka yang musyrik” Surah Yusuf : 108

Para ahli-ahli JIMAJ yang dikasihi sekelian,

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengajak semua ahli dan rakan serta keluarga JIMAJ untuk menghadiri Mesyuarat Agung Wanita dan Daerah JIMAJ (MAWD & MAD) yang akan diadakan pada hari yang sama iaitu pada hari Sabtu 15 Ogos 2009 di SRIAAKL.

Marilah kita hadirkan diri pada rapat umum tahunan ini untuk menilai pencapaian perjuangan kita, sama-sama mencari jalan terbaik untuk mempertingkatkan keberkesanan usaha pengislahan ini dan menjalankan tanggungjawab kita untuk memilih barisan kepimpinan bagi sesi baru ( 2009 – 2011).

“Kamu adalah ummat yang terbaik yang telah dilahirkan untuk manusia” Ali Imran : 3

Akhir kalam, Selamat Berpuasa dan Selamat melakukan amal ibadah di bulan Ramadhan yang penuh barakah.

Syed Saleh Syed Abdul Rahman
19 Syabaan 1430 / 10 Ogos 2009

*****************************************************************************************

15 Jun 2009


Assalamu'alaikumwrb

“Dia lah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul diantara mereka, yang membacakan ayat-ayatNya kepada mereka, menyucikan mereka dan mengajarkan mereka kitab dan hikmah(As-sunnah). Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata.” ( Al- Jumu’ah :2)

Hari Ibu telah lebih sebulan berlalu Adakah kita ingat satu lagi golongan yang juga memberikan jasa yang besar dalam kehidupan kita ini? Apakah masih kita ingat akan jasa dan pengorbanan mereka kepada kita dahulu?
Mereka adalah golongan pendidik!Saya kira masih tidak terlewat untuk saya mengucapkan SELAMAT HARI GURU kepada semua para pendidik yang begitu gigih menabur bakti mendidik anak-anak generasi pewaris kini.Hari Guru 2009 tahun ini bertemakan “Guru Pembina Negara Bangsa”.
Teringat saya kepada sajak Usman Awang dimana sebahagian petikan nya seperti berikut:

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Pada 24 Mei 2009 yang lalu, Majlis Guru Islah ( MGI) yang menganjurkan program Bicara Perdana di Ipoh, Perak telah memberi penghargaan kepada Tokoh-Tokoh Guru negeri-negeri dan telah memilih Tokoh Guru JIM Nasional 2009. Tahniah kepada Puan Siti Aishah Mahamad, Pengetua Cemerlang di Sekolah kerajaan di Kuantan. Beliau juga aktif dalam aktivitisma JIM sebagai Ketua Wanita Negeri Pahang dan merupakan ibu kepada ahli kita di Ampang Jaya iaitu Saudara Ahmad Nizam Samsudin.

Tanamkanlah dalam diri anak-anak agar sentiasa menghormati & mencontohi para pendidik yang tidak kenal jemu membentuk jiwa-jiwa muda menjadi soleh dan musleh

Semoga Allah merahmati kita.

Wassalam

Syed Saleh Syed Abdul Rahman
15 Jun 2009


*****************************************************************************************

15 Mei 2009


HARGAI IBU

Assalamu'alaikumwrb
Ruangan Bicara YDP baru diwujudkan apabila blog JIMAJ ini bertukar wajah dengan beberapa perubahan dan penambahbaikan pada kandungannya. Bicara YDP kali ini ingin menyentuh tentang amalan sambutan Hari Ibu.


10 Mei 2009 yang lalu, masyarakat Malaysia dan seluruh dunia telah meraikan Hari Ibu yang ditetapkan pada Ahad minggu kedua bulan Mei setiap tahun.

Menjelang saja Hari Ibu ini pelbagai usaha dilakukan oleh industri berkaitan untuk mengiklankan barangan atau perkhidmatan mereka bagi menarik perhatian anak-anak untuk menunjukkan penghargaan mereka terhadap bonda yang disayangi. Cokelat, bunga, barang kemas , kad ucapan, telefon bimbit, beg tangan dan pelbagai lagi barangan menjadi pilihan untuk dihadiahkan kepada para ibu. Sambutan kini sudah makin dikomersilkan, seolahnya kasih sayang berpaksikan material.

Rangkap sajak sebagai tanda ingatan dan penghargaan dinukilkan. Hinggakan puisi yang sudah 200 tahun masih terpakai hingga ke hari ini, contohnya dari “Edgar Allan Poe (1809-1849) – poem to my mother” yang menyatakan sehingga malaikat pun berbisik-bisik sesama mereka bahawa tiada cinta yang sehebat cinta dari seorang ibu kepada anaknya. Nukilan yang selalu kita temui ialah “kaulah ratu di hatiku”.

Ibu tidak sepatutnya diraikan pada satu hari sahaja dalam setahun. Ibu mestilah diraikan & diberi perhatian sepanjang tahun! Selepas Hari Ibu, semua kembali seperti biasa, terpisah daripada mereka. Ingatlah, seorang ibu tidak cukup diperlakukan dengan baik, penuh hormat hanya setahun sekali saja. Segelintir kita tidak langsung mengambil tahu kebajikan mereka atas pelbagai alasan walhal anak-anaklah yang berkewajiban untuk menjaga, memberikan perhatian dan taat kepadanya.

Ibu dan bapa adalah insan yang mulia yang wajib dihormati dan diraikan sepanjang masa dan hayat. Kita tidak perlu menunggu hari-hari tertentu untuk menunjukkan penghargaan kita. Malah Islam mengajarkan umatnya untuk sentiasa berlaku baik terhadap kedua ibubapa, bertutur kata dengan bahasa yang lembut. Kita juga diajar untuk mengingati mereka setiap ketika; mendoakan agar diampunkan dosa-dosa mereka. Justeru walaupun mereka sudah tiada, kita juga harus mendoakan mereka serta menghubungi dan memuliakan keluarga dan sahabat handai mereka. Dengan menjadi anak yang soleh dan solehah doa kita akan langsung sampai kepada mereka yang telah pergi dahulu menemui Pencipta.

Baru-baru ini Wanita JIM telah mengeluarkan kenyataan media dengan lima penegasan seperti yang diringkaskan di bawah. :

1. Ibu bekerjaya mestilah mengimbangi antara kerjaya dan tanggungjawab keluarga.
2. Ibu bekerjaya mestilah mendapat sokongan dan dokongan utama dari suami .
3. Ibu dan bapa digesa memberikan sepenuh penekanan ke atas pembinaan sahsiah dalaman anak-anak.
4. Para majikan mestilah sentiasa peka terhadap tanggungjawab yang perlu dipikul oleh para ibu dalam membangunkan keluarga mereka.
5. Pucuk pimpinan negara, diseru memberikan keutamaan kepada usaha menangani gejala sosial dan jenayah yang semakin meruncing.

Wassalam

Syed Saleh Syed Abdul Rahman
15 Mei 2009

No comments:

Post a Comment