Penghinaan terhadap semua agama - Zaid
Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia ~ Bersama Islam Membina Masyarakat ~
Semoga doa Ad Dhuha mengiringi sepanjang masa hari2 para du'at soleh musleh
"Ya Allah Sekiranya rezeki kami ini di langit, Engkau TURUNKANLAH"
"Ya Allah Sekiranya rezeki kami ini di bumi, Engkau KELUARKANLAH"
"Ya Allah Sekiranya rezeki kami ini susah, Engkau MUDAHKANLAH"
"Ya Allah Sekiranya rezeki kami ini jauh, Engkau DEKATKANLAH"
"Ya Allah Sekiranya rezeki kami ini dalam keharaman, Engkau BERSIHKANLAH"
Berkat Dhuha Mu.Ameen Ameen Ameen Ya Robbal'aalameen.
Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:
“Tiga perkara yang boleh mengeratkan persahabatan dengan saudaramu iaitu
Memberi salam apabila bertemu dengannya dan Menyediakan tempat duduknya dalam sesuatu majlis serta Panggillah ia dengan nama yang paling disenanginya.”
Riwayat Al-Tabrani
| JIM: Bukan Islam boleh masuk masjid |
| Nov 10, 09 1:20pm |
Seseorang bukan Islam tidak dilarang memasuki masjid jika niatnya baik dan dibenarkan orang Islam kecuali Masjidil Haram di Mekah, kata Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM). Beberapa tokoh ulama tersohor dalam pemikiran Islam tidak melarang orang Islam berbuat demikian kecuali di tanah haram tersebut, kata Yang Dipertua JIM Selangor, Mohd Kamal Mohd Rathi. "Menurut pandangan majoriti para ulama termasuk Imam Malik, Syafie dan ulama fiqh yang lain, adapun larangan khusus bagi bukan Muslim daripada memasuki masjid hanyalah terhad kepada Masjidil Haram di Mekah dan kawasan tanah suci di sekitarnya berdasarkan firman Allah dalam surah at-Taubah ayat 28," katanya. Beliau mengulas ura-ura tindakan Jabatan Agam Islam Selangor (Jais) terhadap jawatankuasa sebuah masjid di DUN Seri Andalas minggu lalu yang membenarkan wakil rakyat di situ Dr Xavier Jayakumar menyampaikan ucapan di dalam tempat ibadat itu, Ogos lepas. Wakil rakyat PKR itu, yang juga exco kerajaan Selangor, dilaporkan menyampaikan ceramah ketika merasmikan satu majis berbuka puasa tetapi dakwaan itu dinafikan oleh jawatankuasa masjid. Dalam kenyataannya, JIM negeri juga berkata seseorang bukan Muslim wajar memasuki masjid berdasarkan syarat-syarat berikut: - Non-Muslim diharuskan memasuki masjid selain daripada Masjidil Haram di Mekah dengan keizinan orang Islam. - Mereka harus mempunyai sebab yang munasabah untuk memasuki masjid. Oleh itu sekiranya tujuan mereka memasuki masjid untuk memecahbelahkan perpaduan masyarakat atau menyebarkan fitnah maka hal ini adalah dilarang. - Mereka seharusnya menghormati kesucian masjid dan perlu sedar bahawa masjid adalah tempat suci bagi orang Islam beribadah. - Kedua-dua kaum lelaki dan wanita non-Muslim yang ingin memasuki masjid mestilah tidak mendedahkan aurat yakni anggota tubuh mereka yang seharusnya ditutup dengan pakaian yang bersesuaian. "JIM Selangor juga percaya bahawa sikap terbuka masyarakat Islam dengan membenarkan bukan Muslim memasuki masjid berdasarkan syarat-syarat yang tersebut di atas sudah pasti memberikan peluang dan ruang untuk masyarakat Islam berdakwah dan menyampaikan mesej Islam kepada bukan Muslim," kata Mohd Kamal. Tambahnya, bukan Muslim pula akan melihat keterbukaan Islam dalam memelihara keharmonian hubungan antara pelbagai kaum dan agama dalam negara ini. "Amalan menerima bukan Islam memasuki masjid atas tujuan yang murni juga telah diamalkan di beberapa negara lain dan ia terbukti memberi nilai positif kepada keberkesanan dakwah Islam kepada bukan Muslim." |
KENYATAAN MEDIA - KARNIVAL HARMONI 2009 ANJURAN PERTUBUHAN JAMAAH ISLAH MALAYSIA (JIM), JAWATANKUASA DAKWAH, HIDAYAH CENTRE PADA PADA 13 MEI 2009.
KEHARMONIAN KAUM DAN SIFAT SALING MEMAHAMI ANTARA SATU SAMA LAIN MELALUI USAHA DAKWAH KEPADA BUKAN ISLAM.
Keharmonian dan kerukunan hidup dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia merupakan suatu nikmat yang amat besar. Ianya perlu dipandang serius oleh semua pihak ,sebagai tunjang kekuatan dan kestabilan negara. Keharmonian hanya akan tercapai jika wujudnya sifat saling faham memahami antara satu sama lain terutamanya bagi sesebuah negara bermasyarakat majmuk seperti Malaysia, yang diiktiraf sebagai sebuah negara Islam yang maju, makmur dan progresif. Pengiktirafan perlembagaan negara kita bahawa Islam adalah agama persekutuan adalah suatu hakikat yang perlu difahami dan dihayati oleh setiap individu kerana ia adalah asas penting dan tonggak pembentukan negara ini yang telah terbukti berkesan menjamin kerukunan dan sikap saling hormat menghormati antara satu sama lain.
Karnival Harmoni 2009 adalah satu program yang berbentuk menyeluruh secara konseptual –Karnival ini merupakan Karnival Dakwah yang julung kali dianjurkan oleh Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia(JIM)
Karnival ini berlandaskan konsep keharmonian kerana ia bersesuaian dengan kata dasar Islam itu sendiri iaitu ‘salam’ atau sejahtera dan selamat. Islam menyeru kepada kesejahteraan dan keharmonian hidup di dunia dan juga akhirat. Proses penyeruan dan ajakan inilah yang dinamakan ‘dakwah’. Dakwah juga bermaksud menyeru dan mengajak setiap manusia ke jalan Allah yang menjadi tanggungjawab setiap individu muslim. Dakwah dijalan Allah perlu disebarluaskan sebaik mungkin agar lebih ramai umat manusia memahami serta merasai nikmat Islam yang harmoni, indah dan adil. Nikmat kerukunan dan kestabilan dalam Islam telah memupuk masyarakat Malaysia menerajui hakikat kehidupan yang syumul,yakni lengkap dan menyeluruh .
Pada hari ini,masih terdapat jurang yang sangat ketara dari segi kefahaman terhadap Islam diantara umat Islam dan bukan Islam di Malaysia. Kedudukan Islam sebagai agama persekutuan adalah ciri-ciri khas Malaysia yang perlu dikongsi dikalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama. Usaha yang lebih gigih dan kreatif perlu diterapkan untuk merapatkan jurang perbezaan ini.
Pengiktirafan, penerapan dan perlaksanaan unsur-unsur syariah Islam yang adil dan saksama di Malaysia harus dikongsi bersama agar ia bukan sahaja menjadi agenda umat Islam sahaja tetapi ia juga dapat difahami,diterima serta mendapat sokongan majoriti rakyat negara ini, sama ada dari kalangan orang Islam dan bukan Islam. Hanya melalui usaha yang bersungguh-sungguh dalam perkongsian maklumat dan pengalaman yang jelas sahaja, cita-cita ini akan tercapai dan terlaksana.
Karnival Harmoni 2009 bertujuan menyemarakkan lagi agenda keharmonian masyarakat Malaysia yang berbagai kaum, bangsa dan agama. Karnival Harmoni 2009 cuba mewujudkan suasana dakwah dan kefahaman asas-asas Islam secara meriah, kreatif, interaktif, santai dalam kepelbagaian kaum dibawah satu bumbung pada masa yang sama yang mudah difahami oleh orang ramai terutamanya masyarakat bukan Islam.Corak perjalanan Karnival ini akan menimbulkan kefahaman yang jelas dan menyerlah. Segala bentuk tanggapan negatif , konservatif dan salah faham terhadap Islam akan dapat dihapuskan .Kejernihan serta keunggulan Islam agama sejagat akan direalisasikan dalam karnival ini melalui program dan aturcara yang telah disusun rapi .Harapan dan matlamat kami agar usaha dakwah ini akan diberkati Allah dan berjaya mencapai objektifnya.
Kami dengan ini mengajak semua pihak termasuk pihak media agar bersama-sama JIM-Hidayah Centre memainkan peranan menyeru menjayakan dan memeriahkan lagi program Karnival Harmoni 2009 ini. Kami mengalu-alukan segenap lapisan masyarakat terutamanya masyarakat bukan Islam di sekitar Lembah kelang, bersama ahli keluarga,rakan taulan dan jiran tetangga, beramai-ramai datang mengunjungi Karnival Harmoni 2009 ini.
Sedikit maklumat mengenai program tersebut:
Tarikh Program Karnival Harmoni : 22 – 24 Mei 2009 (Jumaat, Sabtu dan Ahad)
Tempat : Aras G, Concourse Summit USJ Subang Jaya
Masuk adalah Percuma
Program-Program menarik:
Pameran dan Jualan,persembahan tarian singa, pertunjukan seni mempertahankan diri silambam, gendang masyarakat India,tarian pelbagai bangsa Arab, nasyid, forum, pertandingan melukis kanak-kanak, cabutan bertuah dan banyak lagi. Agenda penuh disertakan bersama.
Untuk maklumat lanjut sila hubungi :
Wabillahi taufik wal hidayah, wassalamu alaikum warah matullahi wabarakatuh.
NASHIRUDDIN MOHD TAHIR
Pengarah Program
Karnival harmoni 2009.
KENYATAAN MEDIA
Wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)
Sempena Sambutan Hari Ibu 2009
8 Mei 2009
PERANAN IBU MEMBANGUNKAN MASYARAKAT BEBAS JENAYAH DAN GEJALA SOSIAL
Perutusan media Wanita JIM sempena Hari Ibu 2009 didahulukan dengan rakaman ucapan takziah kepada keluarga ketiga-tiga orang ibu yang menjadi korban jenayah ragut dalam minggu ini, iaitu arwah Jamilah Selamat, 31 tahun dari Air Hitam Johor, Saripah Mohd. Nor, 33 tahun dari Ketereh Kelantan dan ibu warga emas, Tom Salleh yang berusia 86 tahun dari Tasek Gelugor, Pulau Pinang. Mereka bertiga menjadi mangsa peragut bermotosikal yang kejam dan tidak mempunyai pertimbangan perikemanusiaan. Apa yang lebih menyayatkan hati, kedua ibu muda tersebut juga didapati sedang hamil. Semoga roh mereka dicucuri rahmat oleh Ilahi, sementara keluarga terbabit didoakan terus tabah dan diberikan kekuatan oleh Allah SWT untuk menghadapi pemergian bonda mereka yang selama ini menjadi tonggak kasih sayang keluarga.
Apa yang nyata, jenayah ragut semakin menjadi-jadi di seluruh pelusuk tanahair. Memetik laporan yang dikeluarkan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah bulan lalu, jenayah ragut di ibu negara semakin membimbangkan dengan peningkatan 99 peratus kes dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Statistik mencatatkan kenaikan sebanyak 600 kes iaitu 1,206 kes pada bulan Januari hingga April, berbanding 606 kes sepanjang tempoh yang sama tahun lalu. 50% dari kes ragut ini dikatakan dilakukan oleh penagih dadah yang perlu mendapatkan wang untuk bekalan dadah harian mereka, di samping faktor pengangguran akibat kemelesetan ekonomi.
Dalam masa yang sama, ribuan para ibu di Malaysia hari ini, sebenarnya telah, sedang dan akan terus menumpahkan airmata kesedihan, menangisi anak-anak kesayangan mereka yang terbabit secara langsung dalam jenayah dan gejala sosial yang melambangkan keruntuhan akhlak, nilai dan moral segelintir generasi muda hari ini. Masyarakat amnya hanya cenderung menuding jari menyalahkan ibu dan bapa yang dikatakan gagal mendidik anak-anak menjadi manusia berguna. Para ibu yang malang ini juga sentiasa tertanya-tanya, di manakah kesilapan mereka mendidik anak-anak ini, yang asalnya ibarat kain yang putih bersih. Entah bila dan bagaimana anak yang dibesarkan itu berubah menjadi agen perosak masyarakat yang mengancam ketenteraman dan kesejahteraan orang lain!
Wanita JIM akur sesungguhnya tiada penyelesaian simplistik dan jawapan yang mudah kepada permasalahan yang kompleks ini, yang dicetuskan oleh pelbagai faktor yang saling berkaitan. Namun hakikatnya, perubahan struktur keluarga moden dan pegangan nilai yang menjadi batu asas institusi kekeluargaan hari ini, sememangnya mempunyai kesan yang amat ketara kepada perkembangan anak-anak generasi muda Malaysia. Tidak dapat dinafikan, pembabitan ibu ke dalam sektor kerjaya di luar rumah sebenarnya mengurangkan peruntukan masa, tenaga dan emosi para ibu untuk menguruskan keluarga dan rumahtangganya. Dari menjadi ibu yang sepenuh masa berada di rumah memberikan tumpuan kepada keluarga, ibu bekerjaya kini perlu pintar mencari ruangan masa berkualiti untuk dihabiskan bersama keluarga. Walaupun kebanyakan ibu bekerjaya begitu komited terhadap keperluan dan tuntutan keluarganya, mahu tidak mahu tanggungjawab memikul amanah di tempat kerja sering men`curi’ tumpuan dan me`misah’kan wanita dari keluarganya. Anak-anak di pelbagai peringkat usia pula sentiasa memerlukan bimbingan yang khusus untuk menjamin pertumbuhan jasmani, minda, emosi dan spiritual yang sihat.
Perkembangan mutakhir mengenai gejala sosial dan jenayah yang membabitkan khususnya generasi muda hari ini, menjadi pencetus kepada lima (5) penegasan Wanita JIM seperti yang disenaraikan di bawah :
1. Ibu bekerjaya mestilah melengkapkan diri dengan kemahiran tinggi menguruskan keseimbangan antara kerjaya dan tanggungjawab keluarga. Keutamaan mestilah diberikan kepada pembangunan jatidiri setiap ahli keluarga terutamanya dalam membuat keputusan yang bijak mengenai kehidupan. Kerjaya tidak boleh dijadikan liabiliti, malahan mesti menjadi kekuatan utama ibu (dan juga bapa) dalam mendapatkan pengetahuan, pengalaman dan kepintaran menguruskan kepelbagaian dalam menempuh cabaran hidup berkeluarga.
2. Ibu bekerjaya mestilah mendapat sokongan dan dokongan utama dari suami yang tidak lagi sepatutnya berada di takuk peranan sterotaip yang tradisional. Suami kepada seorang isteri yang bekerjaya harus mampu memainkan peranan aktif dan berkesan dalam membangunkan keluarga bersama-sama. Yang ringan sama dijinjing, yang berat sama dipikul. Bagi ibu tunggal yang bekerjaya, sokongan ahli keluarga dan jiran tetangga mestilah mampu dijana bagi menjamin pertumbuhan keluarga yang sihat.
3. Ibu dan bapa digesa memberikan sepenuh penekanan ke atas pembinaan sahsiah dalaman anak-anak melalui penerapan nilai spiritual yang tinggi dan mantap, bermula dari dalam rahim sehinggalah mereka mencecah usia muda belia. Kecerdasan emosi dan kekuatan rohani telah terbukti menjadi perisai paling kukuh untuk membentengi manusia dari terjerumus ke lembah kehinaan dan kemusnahan.
4. Para majikan mestilah sentiasa peka dan responsif terhadap tanggungjawab yang perlu dipikul oleh para ibu dalam membangunkan keluarga mereka, bukan semata-mata memberikan penekanan kepada produktiviti organisasi sahaja. Majikan yang menjaga kebajikan pekerja mereka, khususnya yang berkaitan dengan keluarga, akan diganjari dengan komitmen dan kesetiaan yang tinggi di kalangan pekerja yang seterusnya membuahkan produktiviti dan daya saing yang tinggi.
5. Barisan kepimpinan yang baru mengambil alih pucuk pimpinan negara, diseru memberikan keutamaan paling tinggi kepada usaha menangani gejala sosial dan jenayah yang semakin meruncing. Usaha yang serius, bersepadu dan konsisten membenteras permasalahan kronik ini hingga ke akar umbinya, mestilah dimulakan di peringkat tertinggi dalam pentadbiran negara, agar segala polisi dan peraturan yang dibentuk selaras dan sejajar dengan nilai kepentingan institusi kekeluargaan. Pendek kata, sebarang polisi yang menyumbang kepada penghakisan nilai dan moral, serta boleh memberikan pengaruh negatif kepada keluarga mestilah digantikan dengan polisi yang lebih bersifat mengawal dan mengekalkan keutuhan keluarga.
Ayuh segera letakkan keutamaan kepada institusi kekeluargaan sebelum terlambat! Sudah terlalu banyak indikator atau petunjuk dalam masyarakat kita hari ini yang membayangkan institusi kekeluargaan sebenarnya berada di ambang bahaya dan terancam.
Sempena Hari Ibu 2009, ayuh pastikan keluarga tidak akan kehilangan wanitanya dan wanita juga tidak akan mensia-siakan penghormatan menjadi tonggak keluarganya sebagai satu anugerah yang amat berharga dari Allah SWT!
Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj
Ketua Wanita JIM Pusat 2007-2009
012-3243134