Layan pasangan sebagai kawan
~ KOSMO ~
KESERASIAN pasangan ditentukan berdasarkan personaliti.
MEMILIH pasangan hidup yang benar-benar serasi dan sesuai merupakan keputusan penting bagi individu yang memutuskan untuk hidup berumahtangga.
Kebanyakan individu cenderung memilih paras rupa, status dan ada pula yang melihat ketebalan poket bakal pasangan. Namun, adakah semua itu menjamin kebahagiaan yang berkekalan?
Sememangnya jodoh dan ajal itu di tangan Tuhan, namun kita juga perlu berusaha mencari pasangan yang sesuai.
Perkara yang perlu diambil kira dalam mencari pasangan ialah mencari keserasian antara dua jiwa. Tetapi bagaimanakah caranya untuk mengetahui sama ada pasangan itu serasi atau tidak?
Menurut Pensyarah Jabatan Psikologi dan Pembangunan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Madya Dr. Khaidzir Ismail, keserasian ditentukan berdasarkan personaliti seseorang.
"Memang ramai yang mahu mencari pasangan yang serasi dan memahami tetapi jika terlalu serasi sangat pun akan membuatkan sesuatu perhubungan itu membosankan.
"Keserasian berubah seiring dengan peningkatan usia. Pada mula-mula bercinta atau baru berkahwin perhubungan cinta antara dua jiwa sangat serasi tetapi apabila semakin berusia, keserasian itu kian pudar," katanya.
Berikut tip panduan menjadi pasangan serasi:
Komunikasi
Komunikasi yang berkesan amat penting dalam perhubungan kepada pasangan bercinta mahupun yang sudah berumahtangga.
Inilah faktor utama yang memupuk keserasian. Jika anda mempunyai masalah komunikasi setiap kali berdepan dengan sesuatu isu atau masalah, fikirkan kembali.
Saling percaya
Kepercayaan antara kedua-dua pasangan salah satu faktor menyuburkan keserasian antara dua hati yang sedang bercinta.
Jangan terlalu berahsia kerana ia tidak bagus dan ia akan memburukkan lagi keadaan akibat pasangan menaruh syak wasangka.
Sifat terbuka
Berterus-terang dan berfikiran terbuka merupakan sesuatu yang dicari-cari dalam setiap pasangan.
Ini salah satu perkara membuktikan keikhlasan dan kejujuran dalam sesuatu perhubungan.
Anggap sebagai kawan
Melayan pasangan sebagai kawan merupakan salah satu pendekatan yang baik bagi merapatkan lagi sesuatu hubungan. Apabila kita menganggap pasangan sebagai kawan, kita tidak akan segan atau malu bercerita tentang masalah yang dihadapi kerana tiada jurang di antara anda berdua.
Tidak hairanlah ada sesetengah kes, hubungan yang bermula sebagai kawan rapat berakhir menjadi pasangan hidup.
Persamaan
Persamaan sesama pasangan juga menyumbang kepada keserasian. Tidak kira apa persamaan yang ada antara anda dan pasangan sama ada bersukan, berkaraoke dan sebagainya.
Persamaan dalam aktiviti yang dilakukan membuatkan anda berdua sering meluangkan masa bersama dan secara tidak langsung ia akan mengeratkan hubungan serta menyuburkan rasa cinta.
Saling melengkapi dan memerlukan
Anda pernah merasakan hidup tidak lengkap jika tidak berjumpa atau mendengar suaranya?
Keadaan ini menunjukkan bahawa anda berdua saling memerlukan dan melengkapi antara satu sama lain. Tanpa kehadiran salah seorang, semua kerja tidak menjadi.
***********************************************
Jadi anak salih tanda syukuri pengorbanan ibu bapa
Abdurrahman Haqqi
Rasulullah beri peringatan keras terhadap individu abai tanggungjawab kepada orang tua
ANDA mungkin tahu sebuah hadis Rasulullah SAW seperti yang diriwayatkan Imam al-Syafie dan Abu Daud bermaksud yang mana baginda pernah berkata kepada seseorang: “Kamu dan hartamu adalah milik ayahmu.”
Namun bagaimanakah jalur ceritanya sehingga baginda berkata demikian? Sungguh mengharukan. Mari kita lihat dalam hadis lain yang diriwayatkan Imam al-Tabrani dalam dua buah kitabnya al-Jami’ al-Saghir dan al-Ausath daripada Jabir ibn Abdullah.
Jabir meriwayatkan, seorang lelaki datang menemui Nabi SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya ayahku ingin mengambil hartaku....” Dan perintah baginda: “Pergilah kamu membawa ayahmu ke sini.” Pada masa sama malaikat Jibril AS turun menyampaikan salam dan pesan Allah kepada baginda. Jibril berkata: “Wahai Muhammad, Allah Azza wa Jalla mengucapkan salam kepadamu, dan berpesan kepadamu, kalau orang tua itu datang, engkau harus menanyakan kepadanya apa-apa yang dikatakan dalam hatinya dan tidak didengar oleh telinganya.
Ketika orang tua itu tiba, maka Nabi pun bertanya kepadanya: “Mengapa anakmu mengadu mengenai kamu? Apakah benar engkau ingin mengambil wangnya?” Lelaki tua itu menjawab: “Tanyakan saja kepadanya, wahai Rasulullah, bukankah saya menafkahkan wang itu untuk beberapa orang ibu saudara sebelah ayahnya dan pihak ibunya, atau untuk keperluan saya sendiri?”
Rasulullah bersabda lagi: “Lupakanlah perkara itu. Sekarang ceritakan kepadaku apa yang engkau katakan di dalam hatimu dan tidak pernah didengar oleh telingamu!” Maka wajah kerepot lelaki itu tiba-tiba menjadi cerah dan nampak bahagia, dia berkata: “Demi Allah, wahai Rasulullah, dengan ini Allah SWT berkenan menambah kuat keimananku dengan kerasulanmu. Memang saya pernah menangisi nasib malangku dan telingaku tak pernah mendengarnya ...”
Nabi mendesak: “Katakanlah, aku ingin mendengarnya.” Orang tua itu berkata dengan sedih dan air mata yang berlinangan: “Saya mengatakan kepadanya kata-kata ini: “Aku mengasuh kamu sejak bayi dan memelihara kamu waktu muda. Semua hasil jerih perih kau minum dan kau teguk puas. Bila kau sakit pada malam hari, hatiku gundah dan gelisah, lantaran sakit dan deritamu, aku tak dapat tidur dan resah, bagai akulah yang sakit, bukan kau yang menderita. Lalu air mataku berlinang dan meluncur deras. Hatiku takut engkau disambar maut, padahal aku tahu ajal pasti akan datang. Setelah engkau dewasa, dan mencapai apa yang kau cita-citakan, kau balas aku dengan kekerasan, kekasaran dan kekejaman, seolah-olah kaulah pemberi kenikmatan dan keutamaan. Sayang..., kau tak mampu penuhi hak ayahmu, kau perlakukan aku seperti jiran jauhmu. Engkau selalu menyalahkan dan membentakku seolah kebenaran selalu berada pada dirimu, seakan-akan kesejukan bagi orang yang benar sudah dipasrahkan.”
Selanjutnya Jabir berkata: “Pada saat itu Nabi langsung memegang hujung baju pada leher anak itu seraya berkata: “Engkau dan hartamu milik ayahmu!”
Hak ibu bapa tidak pernah dipenuhi oleh anak mereka walau apa pun yang mereka lakukan apatah lagi hanya dengan meraikannya sehari dalam setahun. Allah SWT berfirman bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya sudah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah juga tempat kembali (untuk menerima balasan). (Surah Luqman: 14)
Sungguh agung hak ibu bapa kita sehingga ia disamakan dengan hak Allah SWT ke atas manusia yakni “bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu.” Apa yang menariknya lagi daripada ayat ini adalah peringatan mengenai kiamat selepas mengingatkan kita kepada hak orang tua iaitu kepada Allah SWT juga tempat kembali untuk menerima balasan.
Ini ditegaskan oleh baginda SAW dalam sebuah hadis bermaksud: “Rasulullah SAW ditanya mengenai peranan kedua-dua orang tua. Baginda lalu menjawab, “Mereka adalah (yang menyebabkan) syurgamu atau nerakamu.” (Hadis riwayat Ibnu Majah) Dengan pengertian kalau anak berbuat baik kepada mereka, dia masuk syurga dan kalau bersikap derhaka kepada mereka, dia masuk neraka.
Malah satu peringatan keras sudah disampaikan baginda dalam hadis lain bermaksud: “Jangan mengabaikan (membenci dan menjauhi) orang tuamu. Barang siapa mengabaikan orang tuanya maka dia kafir.” (Hadis riwayat Muslim) ‘Kafir’ dalam hadis ini bermakna kufur nikmat, bukan kufur akidah.
Pengertian syukur adalah mengucapkan terima kasih dan memperlakukan pemberian sesuai dengan fungsinya. Oleh itu, tanda terima kasih kita kepada orang tua kita mesti dibuktikan dengan tujuan mereka melahirkan kita untuk membimbing kita menjadi anak yang salih dan sentiasa berbuat baik kepada mereka sebagai mana tersirat dalam firman Allah dalam Surah Maryam, ayat 12 hingga 14.
Ada lima sifat anak yang mesti dipupuk menurut ayat-ayat ini yakni ilmu, salih (takwa), berbuat baik kepada ibu bapa dan tidak sombong serta derhaka. Menjiwai dan mengamalkan kelima-lima sifat ini adalah amat mustahak
Berita Minggu 2010/05/09
___________________________________________
Apakah yang ibu2 pesan kepada anak2 ketika anak2 melangkah kaki ke sekolah?
Jika jawapannya "belajar pandai2, nanti dapat kerja bagus2, gaji besar dll" dengan niat yang bersifat duniawi, maka anak pun akan melakukan perkara2 yang bersifat dunia dan mengejar dunia tanpa mempedulikan Akhirat.
- untuk dia mengenal Tuhannya
- untuk dia mengenal dirinya (dan tahu potensi diri dll)
- untuk dia mentaati Tuhannya (dengan itu dia akan taat ibubapa, guru, melakukan kebaikan dan menjauhi kemungkaran)
- untuk menyumbang kepada umat manusia sejagat
No comments:
Post a Comment