Islah & Wanita Gemilang

Sunday, November 8, 2009

TINTA KW

23 November 2009

‘ Dan serulah kepada manusia untuk mengerjakan haji, niscaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki, dan mengendarai unta yang kurus yang datang dari segenap penjuru yang jauh’        Al Hajj (22:27)

      labbayk Allahumma labbayk,
       labbayka laa syareeka laka labbayk,
        innal-hamda wan-ni'mata laka wal-mulk,
   laa syareeka lak"



“Aku sahut panggilan Mu ya Allah, Aku sahut, tidak ada sekutu Mu ya Allah, Kami sahut! Segala pujian, nikmat dan kerajaan adalah kepunyaanMu ya Allah, Tiada sekutu bagiMu”


Talbiyah yang terus menggema dan mengguruh di seantero tanah haram Makkah dikumandangkan para jamaah haji yang beraneka ragam, suku dan bangsa. Sungguh satu pemandangan yang menyentuh hati, pemandangan yang sangat mengharukan. Hanya  berpakaian ihram, melepaskan perhiasan dan tidak memakai apa apa lagi kecuali pakaian ihram sahaja yang mengingati kita kepada kafan dan kematian.  

Talbiyah ini adalah puncak pengikraran iman dan tauhid, di mana hakikat iman dan tauhid adalah pengagungan Allah dengan sebenar-benarnya. Pada talbiyah ini, kita mengikrarkan bahwa segala pujian, kenikmatan dengan berbagai macam dan wujudnya, dan segala kekuasaan, termasuk di dalamnya mengatur alam semesta ini, hanya milik Allah, tiada satu pun yang menjadi sekutu bagi Allah dalam semua hal-hal tersebut. Dan sikap yang demikian ini, merupakan puncak akhlak yang mulia dengan Allah, di mana kita mengakui bahwa Allah-lah yang menciptakan, mengatur, dan hanya Dia-lah yang berhak disembah. 

Ibadah haji - dari amalan paling pertama, iaitu talbiyah, hingga amalan paling akhir, iaitu thawaf wada’, penuh dengan pendidikan akhlak terhadap Allah, Pencipta ‘azza wa jalla

9 Dzulhijjah sudah begitu hampir. Para jamaah haji sedang bersiap sedia  rohani dan jasmani untuk menghadiri satu perhimpunan agung di dunia ini. Wukuf di Padang Arafah sebagai kemuncak ibadah haji merupakan persediaan diri untuk perhimpunan di Padang Mahsyar di hari kebangkitan nanti.

Sambil tangan menadah sayu mengharapkan keampunan dari Allah SWT ditengah lautan manusia mengharap agar mendapat haji yang mabrur tidak tergambar rasanya bagaimana nanti perhimpunan  di Padang Mahsyar.

Alangkah beruntungnya bagi yang mendapat haji mabrur yang diterima di sisi Allah SWT, bagaikan baru lahir daripada perut ibu, mendapat keampunan dari Allah, menebus segala kesalahan-kesalahan lalu. Ini kerana manusia tidak sepi daripada melakukan dosa, apatah lagi terhadap Allah, Rasul-Nya, kepada kedua ibu bapa, guru-guru, jiran-tetangga, sahabat-handai dan lain-lain.

Kemenangan setelah selesai menjalankan ibadah ini disambut dengan takbir dan tahmid kepada Allah SWT pada 10,11,12 dan 13 Zulhijjah hari  Aidhul Adha

Allaahu akbar, Allaahu akbar, Allaahu akbar
الله أكبر الله أكبر الله أكبر
laa ilaaha illAllaah
لا إله إلا الله
Allaahu akbar, Allaahu akbar
الله أكبر الله أكبر
wa li-illaahil-hamd
ولله الحمد
  
Ertinya: “Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah dan Allah Maha Besar, Allah Maha Besar dan segala puji-pujian hanya layak bagi Allah.”

Bagi kita yang tidak berkesempatan berada di Tanah Suci, disunatkan kita bertakbir, menyantuni anak-anak yatim dan kurang bernasib baik, berdoa & memohon keampunan. Semoga ianya menjadi amal terpuji pembersih jiwa 
Eidul Adha adalah hari Raya, hari kemenangan untuk semua umat Islam!

Selamat Menyambut Hari Raya Eidul Adha kepada semua  umat Islam khususnya 
warga JIM AmpangJaya
 
*************************************************************************

9 September 2009


Ramadhan Kareem yang hampir meninggalkan kita dan Syawal yang akan menjelang

Fasa terakhir Ramadhan ( 10 hari terakhir Ramadhan) menjelang beberapa hari lagi. Di surat surat khabar, majalah dan brosur, iklan terpampang tawaran tawaran istimewa Aidul fitri, jualan tawaran istimewa dengan potongan harga 70%, 50% dan berbagai lagi.hadiah istimewa. Begitu ghairah umat Islam membeli belah.

Cuba kita renongkan... jika umat Islam berpusu pusu ke supermarket merebut tawaran tawaran istimewa ini.......adakah juga perpusu pusu untuk merebut tawaran paling istimewa dari Allah SWT di bulan Ramadhan ini.

Satu tawaran sangat istimewa dari Allah SWT untuk umat Islam pada setiap Ramadhan. Tawaran paling istimewa ini tidak ada tolok bandingnya.

“ . Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu?
Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan”
(Al Qadar : ayat 2-3)

Itulah malam Al Qadr yang dijanjikan oleh Allah yang penuh kemuliaan dan kesejhteraan.
Satu malam yang sama saperti 1000 bulan atau 83 tahun lebih. Beribadah pada malam itu mendapat ganjaran sama saperti beribadah 83 tahun. Masya Allah !!

Dorongan Nabi supaya umatnya terus beribadat pada malam tersebut

Kerana keutamaan ini, Rasulullah menganjurkan umatnya agar mencari dan seterusnya mendapatkan malam al-Qadar yang penuh keberkatan itu. Dalam hal ini, Rasulullah perlu dijadikan ikutan yang menampilkan teladan terpuji dalam menghidupkan malam terakhir Ramadan.

Ini dilakukan dengan melaksanakan iktikaf, membangunkan keluarga agar lebih meningkatkan amalan ibadat pada malam hari dan tidak mendekati isterinya dengan tujuan memperbanyakkan amal ibadat di masjid seperti solat tahajud, Witir, solat Tarawih, membaca dan tadarus al-Quran serta berzikir kepada Allah dan amalan solih lain yang dianjurkan Islam.

Rasulullah sentiasa memanjatkan doa ke hadrat Ilahi. Antara yang sering Baginda baca ialah doa maksudnya:
"Wahai Tuhan kami! Anugerahkanlah kepada kami kebajikan di dunia dan juga kebajikan di akhirat serta peliharakanlah kami daripada seksaan api neraka yang pedih."

Doa yang dilafazkan itu bukan sekadar satu permohonan untuk memperoleh kebajikan dunia dan akhirat, malah untuk memantapkan langkah dan kesungguhan agar dapat meraih kebajikan yang dijanjikan Allah. Ini kerana doa itu sendiri membawa maksud satu permohonan yang penuh tulus dan pengharapan, di samping disusuli dengan usaha melipatgandakan amal ibadat yang mendekatkan diri kepada Allah.

Selain itu, setiap Muslim dianjurkan bertaubat dan memohon ampun kepada Allah daripada sebarang kesalahan dan dosa selama ini. Setiap manusia tidak terlepas daripada kealpaan dan seterusnya melakukan kesalahan yang dilarang Allah. Dalam hal ini, Rasulullah bersabda maksudnya
Setiap anak Adam tidak akan terlepas daripada melakukan dosa dan sebaik-baik orang daripada kalangan yang berdosa itu ialah yang bertaubat kepada Allah.
(Hadis riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah)

Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi menceritakan mengenai syarat beramal pada malam Al-Qadr, katanya :
"Membawa kepada apa yang harus dilakukan oleh seorang Islam pada malam tersebut ialah : bersolat Isya' berjemaah, Solat subuh berjemaah dan pada malamnya mendirikan qiyamullail".

Semoga tahun ini kita mendapat rezeki untuk bertemu dengan Lailatul Qadr, iaitu satu malam yang penuh dengan misteri, supaya pahala amalan kita dilipat gandakan oleh Allah dan dikira sebagai amal-amal yang solih, Insya Allah.

Syawal yang hampir menjelang

Kegembiraan menyambut Syawal sudah tentu diiringi kesedihan kerana terpaksa meninggalkan bulan Ramadan yang penuh keberkatan, rahmat serta maghfirah daripada Allah SWT. Bimbang jika tidak berkesempatan bertemu Ramadan akan datang.

Bagi yang berjaya menghidupkan dan menghayati Ramadan Al-Mubarak, mereka muncul pada 1 Syawal seperti anak yang baru lahir bersih daripada dosa-dosa.

Semoga Allah SWT memasukkan kita di dalam golongan ini dan memberi peluang untuk kita bertemu Ramadan pada tahun hadapan.

Dalam menyambut kegembiraan Syawal juga, janganlah kita lupa penderitaan umat Islam lain yang malang di dalam dan di luar negara seperti Iraq, Palestin, Lubnan dan Afghanistan yang menyambut Syawal dengan seribu satu kesedihan, kedaifan dan kerinduan pada ahli keluarga yang tiada di samping mereka.

Akhir kata saya mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat menyambut Eidul Fitri serta memohon ampun dan maaf sekiranya terdapat kesilapan, kesalahan serta tutur kata yang menyinggung perasaan kepada semua khususnya warga JIM Ampang Jaya.


Semoga Allah merahmati kita.
Wassalam



Jeriah Manap
8 Sept /18 Ramadhan


*****************************************************************************************

8 Ogos 2009

Ahlan wa sahlan Ramadhan Mubarak



Assalamu'alaikumwrb

Hanya lebih kurang dua minggu sahaja lagi Ramadhan Mubarak akan menjelang tiba. Moga-moga Allah akan mengurniakan kita usia untuk dapat beribadah di bulan mulia ini. Sungguh cepatnya masa berlalu, rasanya baru semalam kita menyambut Ramadhan dan Aidul Fitri !
Sebagaimana biasa apabila menjelangnya Ramadhan ,marilah kita muhasabah diri, apakah tarbiyyah sepanjang Ramadhan lepas telah berjaya merubah (walaupun sedikit) kehidupan dan amalan kita.

Selepas puasa wajib di bulan Ramadhan masihkah kita teruskan dgn puasa-puasa sunat?
selepas Solat sunat Tarawih sebulan Ramadhan masihkah kita teruskan dengan solat-solat sunat
Selepas qiamullail terutama pada 10 malam terakhir Ramadahn masihkan kita teruskan qiamullail
Setelah bersedekah pada bulan Ramadhan masihkah kita teruskan amalan itu

Masya Allah .. Ramadhan adalah bulan untuk umat Islam menjalani satu latihan intensif serta recharge bagi menjalani kehidupan di dunia ini.

Cantiknya Allah mengatur kehidupan kita. Kalau kita biasa bekerja di pejabat atau agensi memang menjadi amalan bagi setiap pekerja untuk menghadiri kursus motivasi, retreat dan sebagainya untuk boost up semangat dan juga moral pekerja pekerja supaya lebih produktif.

Umat Islam telah diatur oleh Allah menjalani tarbiyyah intensif ini yang bukan sahaja puasa dan solat tarawih serta qiamullail tetapi merangkumi semua aspek - melatih diri menjaga mulut, menjaga telinga, menjaga mata & mengekang hawa nafsu. Ramadhan juga memberi latihan umat Islam berjimat cermat -tidak makan di siang hari bererti penjimatan.

Tarbiyyah intensif satu bulan Ramadhan ini memang sepatutnya berjaya membentuk jiwa dan peribadi umat Islam. Cuba bayangkan:

Selepas berpuasa dan penat bekerja seharian, malamnya pula solat sunat tarawih yg selalunya selesai jam 10.00 malam. Disambung pula dengan tilawah dan tidur seawalnya jam 12.00 mlm. Pukul 4 pagi pula sudah bangun untuk solat tahajjud dan seterusnya makan sahur dan solat subuh. Bagi yang bekerja tiada masa untuk berehat lagi, terus saja ke tempat kerja.

Begitulah rutin harian selama satu bulan Ramadhan. Masya Allah tiada masa terluang untuk perkara sia sia.

Marilah kita sama sama siapkan diri kita untuk menyambut bulan yg penuh rahmat ini dari aspek rohani dan jasmani agar dapat menjalani ibadah ini dengan penuh bermakna.

Pesanan Dr Ahmad Abu Halabiah - ahli majlis tertinggi fatwa Palestin.
Terdapat beberapa adab yang perlu diperhatikan dalam bulan Ramadhan. Adab-adab tersebut adalah:

Pertama: Sabar ke atas musibah dan kecaman yang menimpa. Rasulullah SAW mengajar kita bahawa pada hari Ramadhan, jika seseorang menyakitkan hati atau mencela kita maka katakanlah: “Sesungguhnya aku sedang berpuasa... sesungguhnya aku sedang berpuasa.” (Riwayat Al-Bukhari)

Kedua: Digalakkan bertaqwa kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala kerana Ramadhan merupakan bulan ketaqwaan sebagaimana firman-Nya: “Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan keatas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan keatas orang yang terdahulu daripada kamu moga-moga kamu bertaqwa.” (Al-Baqarah: 183)

Ketiga: Menjaga diri daripada mengumpat dan mengadu domba (gossip) kerana ia adalah perbuatan yang diharamkan secara mutlak sama ada di dalam bulan Ramadhan atau selain Ramadhan, akan tetapi pengharamannya diberi penekanan yang lebih jelas dalam Ramadhan. Ini adalah berdasarkan hadith Rasulullah SAW: “Bukanlah puasa itu sekadar menahan diri dari daripada makan dan minum akan tetapi menahan diri daripada perkataan sia-sia dan kotor.” (Riwayat Al-Hakim, disahihkan oleh Al-Albani)

Keempat: Sentiasa mengingati amalan agama, hal-ehwal sesama Islam dan membantu sesama Muslim menyelesaikan masalah, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang tidak memikirkan urusan umat Islam maka tidaklah dia termasuk golongan mereka.” (Riwayat At-Thabrani, sanadnya Hasan)

Kelima:Dalam bulan yang mulia ini dianjurkan mengambil tahu hal ehwal keluarga kerana mereka itu adalah amanah dan bebanan (tanggung-jawab) kita sebagaimana firman Allah SWT:Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu. (At-Tahrim: 6)

Selain itu saya menasihatkan diri saya dan semua saudara-saudara Islam agar dimanfaatkan bulan Ramadhan dengan amalan-amalan yang baik berikut:

1. Menjaga solat berjemaah bagi lelaki di masjid, dan bagi wanita pula menghadiri majlis majlis majlis ilmu.
2. Menghadiri solat tarawih khasnya bagi lelaki dan tiada larangan bagi kehadiran wanita (di masjid) jika mereka ingin melakukan solat dan kepada mereka terdapat ganjaran.
3. Memelihara solat malam (qiamullail) dan tahajud setelah pertengahan malam bagi lelaki dan wanita yang berkemampuan di dalam rumah.
4. Beri'tikaf untuk beberapa malam di bulan Ramadhan di masjid bagi lelaki tanpa menyebabkan gangguan di dalam kewajipan seharian khususnya bagi mereka yang mencari rezeki.
5. Memelihara pembacaan Al-Quran dan menggunakannya sebagai zikir harian. Pembacaan Al-Quran sekurang-kurangnya hendaklah setiap hari sehinggalah tamat keseluruhannya.
6. Memperbanyakkan sedekah dan mengeluarkan zakat kepada orang-orang fakir, miskin, orang yang memerlukan, mereka yang berjihad di jalan Allah dan sumbangan kepada projek yang baik bagi kegunaan orang Islam seperti pembaikan masjid, pusat rawatan orang-orang tua, sekolah-sekolah dan lain-lainnya.
7. Merapatkan silaturahim dan memperbanyakkan ziarah di dalam bulan Ramadhan.
8. Dilarang melakukan kejahatan dan keburukan terhadap orang Islam secara umum dan jiran-jiran secara khusus. Pesan Rasulullah SAW: “Seorang muslim ialah orang yang selamat lidah dan tangannya terhadap muslim yang lain.” (Riwayat Muslim)

Semoga semua amalan yang disebut oleh Dr Ahmad Abu Halabiah itu bukan sahaja terhenti bila berakhirnya Ramadhan tetapi dapat diteruskan sebagai amalan harian kita umat Islam. Wallahu ‘alam

Semoga Allah merahmati kita.
Wassalam



Jeriah Manap

No comments:

Post a Comment