Islah & Wanita Gemilang

Thursday, February 25, 2010

WANITA KUASAI SEKTOR AWAM: ADAKAH IANYA SESUATU YANG MEMBIMBANGKAN?

KENYATAAN MEDIA
WANITA PERTUBUHAN JAMAAH ISLAH MALAYSIA (JIM)
24 Februari 2010


1.0       Peningkatan wanita dalam menjawat jawatan tinggi merupakan satu fenomena global yang bukan hanya berlaku di negara ini sahaja. Ianya menggambarkan polisi pendidikan negara telah berjaya mendapat respon serta kesan yang positif dalam kalangan kaum wanita. WJIM menjangkakan penglibatan wanita dalam sektor awam khususnya akan terus meningkat. Oleh itu langkah-langkah perlu diambil bagi membuat penyesuaian terhadap sistem bekerja sedia ada dengan memberi perhatian kepada keperluan dan kebajikan pekerja wanita bagi menghadapi perubahan ini.

2.0       Di samping itu, adalah juga lebih utama bagi pihak Cuepacs mengenal pasti faktor-faktor yang menyebabkan kemerosotan penglibatan kaum lelaki dalam sektor awam dan membincangkan langkah positif bagaimana ianya harus ditangani. Mengurangkan secara paksa atau mengekang penglibatan wanita bukan merupakan cara penyelesaiannya.

3.0       Dari sudut pandangan Islam, walaupun hukum mencari nafkah itu tidak wajib ke atas wanita, Islam tidak melarang wanita untuk terlibat dalam apa jua bidang pekerjaan yang boleh menyumbang kepada kepakaran dan keperluan sesuatu masyarakat selagi mana ianya berada dalam landasan syariah.

4.0       Wanita yang ingin terlibat di dalam sektor pekerjaan perlulah memastikan :
-          pekerjaan yang dilakukan itu adalah halal dari sudut syarak;
-          dapat menjaga dan mematuhi adab islami; dan
-          tanggungjawab asas seorang wanita tidak terabai.
Walaubagaimana pun, WJIM juga tidak menafikan bahawa penglibatan wanita dalam pekerjaan luar rumah juga telah banyak memberi kesan kepada institusi keluarga.

5.0       Selaras dengan itu, WJIM menyarankan beberapa perkara berikut dikaji dan diberi perhatian perlaksanaanya oleh semua pihak dalam menghadapi fenomena ini iaitu :

5.1             Wanita yang bekerja perlu bijak memilih bidang pekerjaan yang diceburi, sesuai dengan fitrah dan meletakkan keutamaan pada tempat yang betul. Tanggungjawab wanita dalam institusi keluarga perlu diutamakan dan ianya perlu disokong oleh semua ahli keluarga terutamanya para suami.
5.2             Majikan mewujudkan suasana kerja yang membolehkan semua pekerja sama ada lelaki mahupun wanita mencapai keseimbangan di antara kerjaya dan keluarga (work life balance).
5.3             Mewujudkan budaya kerja yang anjal bagi membolehkan pekerja mengurus urusan kerja dan urusan peribadi dengan lebih baik dan seterusnya melahirkan suasana kerja yang lebih positif dan produktif.
5.4             Pengukuran kepada produktiviti pekerja dibuat berdasarkan sistem penanda aras yang betul. Dengan itu kekangan kepada pekerja wanita yang mengambil cuti bersalin tidak sepatutnya menjejaskan prestasi pekerja.
5.5             Membuat kajian perbandingan dengan negara yang mengutamakan kebajikan pekerja wanita dan hubung kaitnya kepada pembangunan keluarga dan produktiviti di tempat kerja.
5.6             Ceupacs selaku badan yang mewakili golongan pekerja (lelaki dan wanita) memainkan peranan memperjuangkan kebajikan pekerja wanita yang antara lain memerlukan kepada persekitaran tempat kerja yang lebih selamat, kemudahan tempat penjagaan anak di tempat kerja dan waktu kerja yang anjal bagi membolehkan wanita bekerja dalam suasana yang sejahtera, keluarga terjaga dan akhirnya akan menghasilkan produktiviti yang tinggi.

6.0       Kaum wanita merupakan separuh daripada masyarakat yang mendidik separuh masyarakat yang lain. Apabila kebajikan wanita terjaga maka keseluruhan masyarakat akan turut terjaga. Dengan itu, sumbangan kepakaran kaum wanita dalam proses pembangunan diri, keluarga, masyarakat dan negara akan menjadi lebih bermakna.



CHE ASMAH IBRAHIM
Ketua Wanita  
Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia
24 Februari 2010

No comments:

Post a Comment