Sempena sambutan Maulid Nabi SAW yang diraikan setiap tahun pada 12 rabiul Awal maka penulis ingin mengingati peristiwa penting ini dengan berlatar belakangkan perjuangan rakyat Palestin yang semakin mendapat liputan hari ini ekoran dari kepungan dan serangan biadap
Rasulullah SAW adalah Nabi terakhir yang dinanti-nantikan oleh semua terutama dari kalangan ahli kitab (Yahudi dan Nasara). Kelahiran Nabi yang bernama Ahmad ini disebut di dalam kitab Injil dan Taurat (termasuk kitab perjanjian Lama dan Baru iaitu kitab-kitab suci yang diselewengkan oleh rahib-rahib dan rabbi-rabbi yahudi). Malangnya apabila Nabi Muhammad SAW ini muncul di Tanah Arab yang kelahirannya dinantikan dengan tanda-tanda yang amat dikenali oleh mereka berdasarkan apa yang terkandung di dalam kitab-kitab Taurat dan Injil, Baginda didustakan. Pendustaan ini dirakamkan oleh Al-Quran seperti dalam surah as-saff.
'Dan berkata Isa anak Maryam, Wahai Bani Israel, sesungguhnya aku adalah Rasul yang diutus kepada kamu yang membenarkan apa yang diwahyukan kepada kamu dalam Taurat dan membawa berita gembira tentang kelahiran seorang Rasul yang bernama Ahmad. Apabila Nabi ini diutus mereka mengatakan 'Ini adalah sihir yang nyata'.
Bermula dari saat itu, orang-orang Yahudi menyimpan dendam kesumat yang tidak berkesudahan terhadap Rasulullah SAW dan apa yang dibawa oleh baginda berupa risalah Tauhid. Mereka mengharapkan Nabi akhir zaman yang dijanjikan itu lahir dari jalur keturunan Bani Israel iaitu Nabi Ishaq AS. Tetapi Allah SWT mempunyai perancangannya yang tersendiri lalu memilih Nabi akhir zaman itu dari jalur keturunan Nabi Ismail AS. Sesungguhnya penolakan Bani israel ini tidak mempunyai sebarang rasional kerana Nabi Ismail sebagaimana Nabi Ishaq adalah putera-putera dari ayah yang sama iaitu Nabi Ibrahim AS. Lagipun kedengkian dan kesumat yang ada di dalam jiwa orang-orang Yahudi tidak akan memungkinkan mereka menerima kebenaran hatta jika Nabi akhir zaman itu lahir dari jalur keturunan Banu Israel sekalipun.
Telah terbukti bahawa mereka menolak kebenaran yang dibawa oleh Nabi-Nabi dari keturunan Bani Israel seperti Nabi Zakaria, Nabi Yahya dan Nabi Isa as. Bahkan kedua dari Nabi ini dan beberapa Nabi yang lain seperti yang disebut di dalam Surah Yaasin dibunuh oleh orang-orang Yahudi.
Jika Allah SWT tidak menyelamatkan Nabi Isa AS maka baginda juga bakal menerima nasib yang sama akibat peresekongkolan orang-orang Yahudi dan golongan kafir yang berkuasa di Baitul Maqdis. Pokoknya penolakan orang-orang Yahudi ke atas kerasulan Nabi Muhammad SAW bukan kerana baginda dari jalur keturunan Nabi Ismail AS tetapi kerana kebenaran yang dibawanya.
Pengajaran pertama yang boleh digarap dari peristiwa Maulid ini ialah permusuhan yang sudah tertanam di dalam sanubari orang-orang Yahudi terhadap agama Islam.
Ia juga memberi satu isyarat yang sangat penting bagi umat Islam supaya menjadikan sikap orang-orang Yahudi sebagai sempadan. Jangan sampai umat Islam ghairah menyambut kedatangan Maulid dan menyambutnya dengan pelbagai acara tetapi menuruti jejak orang-orang Yahudi yang memusuhi dan menolak misi perjuangan Rasulullah SAW. Kenyataannya pada hari ini
- berapa ramai dari kalangan umat yang membuat sambutan Maulud tetapi penentang perlaksanaan syariat Islam dalam semua lapangan kehidupan, terutama dalam aspek perundangan dan kehakiman.
- Berapa ramai yang berselawat sempena sambutan Maulud tetapi memperlekeh dan mempersenda cara hidup Islam yang merupakan sunnah Rasulullah SAW baik dari sudut pakaian,penampilan, pergaulan dan akhlak.
- Berapa ramai yang menghargai kelahiran Nabi Muhammad SAW tetapi menentang para ulama dan pejuang-pejuang Islam yang berusaha untuk meneruskan misi dakwah Rasulullah SAW.
Semuga umat Islam membuat semakan dan mengaudit diri masing-masing agar kita tidak terjebak dengan fenomena orang yahudi yang kononnya menanti kelahiran Nabi akhir zaman tetapi kemudiannya menentang secara terbuka apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW.
Apabila umat Islam menyambut maulud pada 12 Rabi'ul awal setiap tahun, haruslah diinsafi pada tarikh yang sama juga Rasulullah SAW meninggalkan kita. Tarikh lahir dan wafatnya Rasulullah SAW adalah pada tarikh yang sama iaitu pada 12 Rabi'ul Awal juga. Apabila menyebut tentang wafatnya Rasulullah SAW maka ia turut membabitkan konspirasi orang Yahudi. Ahli-ahli sejarah sepakat mengatakan bahawa kematian Rasulullah SAW ada kaitan dengan perancangan jahat orang Yahudi yang ingin membunuh baginda.
Dari Tabari jilid 8, halaman 123, 124
Ketika nabi Allah beristirahat dari pekerjaannya, Zaynab bt. al-Harith, istri dari Sallam b. Mishkam, menyajikan daging bakar. Dia telah menanyakan bagian mana dari daging domba yang disukai Muhammad,dan dikatakan padanya yang disukai Muhammad adalah bagian kaki depan.Lalu ditaburinya racun pada bagian itu, dan dia juga meracuni bagian yang lain. Lalu disajikannyalah daging beracun itu. Ketika daging itu sudah disajikan, maka nabi Allah mengambil bagian kaki depan dan
mengunyahnya sedikit, tetapi ia tidak menelannya.
Bersama dengan dia adalah Bihsr b. al Bara b. Marur, yang juga mengambil dan memakan daging itu. Tetapi ia terlanjur menelan, sementara nabi Allah memuntahkan semua daging yang ada di mulutnya dan berkata ”Tulang ini berkata bahwa ia diracun.” Lalu bertanyalah ia, “Apa yang menyebabkan engkau mau meracuni aku,” jawab perempuan itu,”Tentunya engkau sudah mengetahui bagaimana engkau sudah membuat kaumku menderita. Lalu aku katakan kepada kaumku,”Bila ia nabi sejati, ia akan diberi peringatan, tapi kalau ia palsu aku akan menyingkirkannya.” “ Nabi“memaafkannya. Bihsr mati karena racun yang ia makan.
Nabi tidak tidak jadi memakan daging tersebut tetapi racun didaging yang dikunyah sudah cukup untuk menyebabkan beliau demam berpanjangan sehingga membawa kepada kewafatan baginda beberapa tahun kemudian.
Peristiwa ini menunjukkan bahawa orang-orang Yahudi yang memusuhi Islam akan berusaha untuk menggunakan pelbagai tipu daya, penyamaran dan kerja-kerja perisikan (espionage) untuk membunuh tokoh-tokoh pejuang Islam. Bahkan inilah pendekatan yang digunakan oleh agen perisikan Israel, Mossad pada hari ini di dalam melaksanakan beberapa pembunuhan politik ke atas pemimpin-pemimpin gerakan Islam seperti Yahya Ayyash dan cubaan membunuh ke atas Khaled Meshal beberapa tahun dahulu di
Jordan. Bahkan dalam cubaan membunuh ke atas Khaled Meshal, dua orang ajen Mossad telah menyuntik racun kepada beliau dan sekiranya tidak tertangkap dan dipaksa untuk memberikan antedot (penawar) kemungkinan Khaleh Meshal juga terbunuh di tangan mereka. Bahkan kematian yang dirancang ke atas ramai pimpinan Hamas adalah melibatkan maklumat-maklumat yang dikirimkan oleh agen-agen perisikan Yahudi samada dari pihak Israel atau dari kalangan orang palestin yang mereka upah.
Memperingati Maulud bererti memperingati perjuangan Rasulullah SAW.Rasulullah SAW diutus untuk menyempurnakan satu misi yang mengambil masa selama 23 tahun. Seerah ataupun perjalanan hidup Rasulullah SAW ini merupakan khazanah yang tidak ternilai kepada umat Islam yang melaksanakan amanah Rasulullah SAW di dalam meneruskan misi ini. Rasulullah SAW telah wafat namun misi yang beliau bawa telah diwariskan kepada umat yang datang kemudian. Ini dinyatakan secara khusus di dalam khutbah wida' (haji perpisahan) ketika Nabi menyampaikan pesan-pesannya yang terakhir iaitu
'hendaklah mereka yang hadir menyampaikan kepada yang tidak hadir agar yang tidak hadir lebih memahami’.
Mereka yang tidak hadir itu ialah umat Islam yang datang silih berganti dari satu generasi kepada satu generasi dan mereka semua dituntut untuk memahami tugas yang diamanahkan kepada mereka iaitu menyeru kepada al-khair (Islam), menyuruh kepada ma'ruf dan menghalang dari kemungkaran. Inilah misi besar yang ditaklifkan ke atas umat Islam 'yang tidak hadir' agar 'mereka lebih memahami'. Dalam ertikata yang lain, sesiapa juga di kalangan umat yang mengambil taklif ini untuk meneruskan misi Rasulullah SAW maka mereka pasti akan berhajat kepada panduan yang terkandung di dalam seerah. Sebabnya ialah seerah mengandung prinsip-prinsip perjuangan yang memandu umat Islam dalam memikul tugas yang maha berat ini. Umat Islam harus faham bahawa seerah junjungan adalah gambaran terhadap apa yang bakal diterima oleh mereka yang mahu mengikuti sunnah perjuangan Nabi.
Dalam konteks perjuangan rakyat Palestin, maka kita dapati begitu banyak persamaan di antara apa yang dihadapi kini dengan apa yang dilalui oleh Rasulullah SAW. Bukankah rakyat Palestin pada hari ini menerima pelbagai bentuk penindasan dan kezaliman zionis Israel samada dalam bentuk sekatan perjalanan, penyingkiran dari tanah-tanah milik mereka, kepungan oleh tembok-tembok pemisah dan terakhir sekatan ekonomi dan penutupan laluan darat, udara dan laut di Gaza. Semua bentuk kezaliman dan penindasan ini pernah ditimpakan oleh orang-orang Quraish kepada Rasulullah SAW dan seluruh Bani Hasyim, samada muslim ataupun sebaliknya. Seluruh penduduk Mekah membuat perjanjian supaya memboikot dan memulau Rasulullah SAW dan Bani Hasyim dengan tidak membuat sebarang hubungan dengan mereka, tidak berjual beli dengan mereka, tidak berkahwin dengan mereka. Selama tiga tahun lamanya Rasulullah SAW dan Bani Hasyim dipinggirkan di Shiib Abi Talib, Lembah Abi Talib. Keadaan menjadi begitu getir sehingga anak-anak menangis kelaparan pada waktu malam sehingga mereka terpaksa mengalas perut dengan kulit-kulit unta dan kulit-kulit kayu. Mereka dikhianati dan di aniaya oleh penduduk Mekah termasuk oleh Bapa saudara Nabi sendiri iaitu Abu Lahab. Apabila kita memerhatikan peristiwa yang berlaku pada hari ini maka kita akan melihat persamaan yang amat ketara. Bukan sahaja rakyat Palestin dikepung dan dipulau oleh masyarakat antarabangsa yang didalangi oleh Amerika Syarikat bahkan mereka dikhianati oleh pemimpin-pemimpin Arab. Dalam keadaan rakyat Gaza diserang bertalu-talu oleh zionis Israel, pemimpin-pemimpin Arab bersekongkol menyokong serangan ini dan menghalang bantuan dari menyeberang masuk ke Gaza. Semua drama yang pahit ini sedang kita saksikan di Gaza. Anak-anak merintih kelaparan pada waktu malam sehingga ibu-ibu mengutip rumput di jalanan untuk direbus dan mengalas perut anak-anak mereka. Ini jugalah yang dialami oleh Rasulullah SAW.
Dek kerana tidak tertahan mendengar rintihan anak-anak maka ada di kalangan orang-orang Quraish yang tidak sampai hati dan menyusup pada waktu malam untuk menghantar makanan. Kini rakyat Gaza merintih tetapi tidak ada di kalangan umat Islam yang menghulur bantuan, bahkan memeritkan lagi keadaan dengan mengenakan pelbagai sekatan dan halangan untuk bantuan segera di sampaikan kepada penduduk Gaza. Kita
perhatikan juga bagaimana sikap pemimpin-pemimpin Arab yang saling tidak tumpah seperti sikap pemimpin Quraish yang diketuai oleh Abu Lahab yang merupakan keluarga Rasulullah SAW sendiri. Kita melihat bagaimana Hosni Mubarak, pemerintah Arab Saudi, Raja Jordan bahkan Presiden Mahmud Abbas (Pihak Berkuasa Palestin) sendiri merestui serangan ke atas Gaza, melantik kontraktor Mesir untuk membekalkan makanan kepada askar Israel dan mengenakan pelbagai syarat tidak menasabah sehingga menghalang bantuan untuk menyeberang ke Gaza.
Namun seerah menunjukkan bahawa pemulauan ke atas Rasulullah SAW adalah merupakan siri-siri awal kepada kemenangan yang bakal ditempa oleh umat Islam. Boikot ini berakhir setelah tiga tahun dan diikuti pula dengan pelbagai bentuk penderitaan yang terpaksa ditanggung oleh Rasulullah SAW. Ini termasuklah kematian Abu Talib dan isteri tercinta,Sy Khadijah RA yang merupakan tonggak utama kepada Rasulullah SAW. Ini disusuli dengan peristiwa menyayat hati apabila Rasulullah diusir dari Taif dan dilontar dengan batu. Dalam saat-saat yang amat menekan inilah Rasulullah SAW dikurniakan mukjizat yang amat besar iaitu peristiwa Isra' dan Mikraj. Dalam peristiwa bersejarah ini Nabi singgah di Masjid Al-Aqsa sebelum meneruskan mikraj ke Sidratul Muntaha. Perjalanan ini punya makna yang sangat simbolik dalam perjuangan Palestin pada hari ini. Selepas peristiwa Isra' dan Mikraj ini bermulalah pertemuan dengan penduduk Yathrib yang membawa kepada perjanjian Aqabah I dan II yang disusuli dengan hijrah yang mulia dan pemasyuran Yathrib sebagai Kota Madinatul Nabi. Bermula dari saat itu kemenangan demi kemenangan ditempa sehingga cahaya Islam memancar ke seluruh ufuk timur dan barat. Kesemua ini menunjukkan kepada kita bahawa kemanangan bakal datang setelah pelbagai ujian dan mehnah dilalui oleh umat Islam di Palestin.
Sambutan Maulud juga mengingatkan kita kepada gambaran-gambaran akhir zaman yang telahpun dinyatakan oleh Rasulullah SAW. Beriman dengan Rasul bererti beriman dan meyakini dengan berita-berita ghaib yang disampaikan oleh baginda, samada menyangkut tentang peristiwa masa depan apatah lagi tentang hari Qiamat. Berkaitan tentang peristiwa masa depan yang bersangkutan dengan Palestin, terdapat begitu banyak perkhabaran-perkhabaran yang disampaikan oleh Nabi. Sepatutnya perkhabaran-perkhabaran ini menguatkan azam dan keyakinan umat Islam tentang jihad yang sedang berlaku di palestin. Malangnya umat Islam pada hari seolah-olah hilang punca apabila berhadapan dengan isu Palestin. Sebabnya ialah umat Islam pada hari ini tidak lagi menggunakan neraca iman dalam menilai perjuangan umat Islam. Mereka lebih cenderung menggunakan penialain material dan kebendaan.
Seringkali mereka berputus asa apabila berlaku serangan ke atas rakyat Palestin dan seringkali menyalahkan umat Islam atas apa yang berlaku. Sedangkan apa yang sedang kita saksikan pada hari ini telahpun digambarkan oleh Rasulullah SAW.
Di antara perkhabaran tersebut disampaikan oleh Abu Hurairah dari Hadis yang diriwayatkan oleh at-Tabarani.
"Akan ada di kalangan umatku, mereka yang terus berjihad di pintu-pintu Dimasq (Damsyik) dan akan ada dari kalangan umatku mereka yang berjihad di pintu-pintu al-Quds dan sekitarannya. Mereka ini tidak dapat dilemahkan oleh golongan yang membelot dan berkhianat. Mereka akan terus menjadi golongan yang menang, istiqamah sehingga akhir waktu."
Beruntunglah umat Islam kerana para sahabat hanya mampu mendengar sahaja perkhabaran ini sedang kita pada hari ini menyaksikan ianya menjadi kenyataan. Bukankah pada hari ini umat islam terus berjihad di bumi as-Syams (Palestin dan sekitarnya) dan mereka ini terus menerus menjadi golongan yang menang dan istiqamah. Hakikatnya umat Islam telah berjuang lebih dari 60 tahun bahkan lebih lama lagi semenjak deklarasi Balfour diluluskan di parlimen British pada tahun 1917 dan mereka tidak pernah meninggalkan medan perjuangan jauh sekali dari berputus asa. Mereka tetap teguh memegang amanah mempertahankan tanah suci meskipun mereka dikelilingi oleh golongan pengkhianat dan pembelot dari kalangan bangsa mereka sendiri. Semua ini sepatutnya membakar jiwa raga umat Islam untuk terus memacu jihad di bumi Palestin dan tergolong di dalam kelompok yang dijanjikan kemenangan oleh Rasulullah SAW.
Inilah di antara beberapa perkara yang boleh kita kaitkan di dalam keghairahan umat Islam menyambut Maulud pada hari ini.
Prof Madya Dr Hj Hafidzi Mohd Noor
Pengarah PACE
(
No comments:
Post a Comment