Mengharungi kehidupan dalam negara yang pesat membangun seperti Malaysia apatah lagi di negeri yang maju seperti Selangor memang cukup mencabar. Pelbagai gejala sosial yang menjadi kebiasaan di negara-negara maju sudah pun mewarnai kehidupan kita di sini seiring dengan rancaknya pembangunan fizikal yang sedang berlaku di negara ini. Laporan akhbar baru-baru ini mengenai peningkatan mendadak kadar rogol adalah amat menggerunkan dan tidak seharusnya dipandang sepi oleh mana-mana pihak walaupun mungkin ada yang beranggapan bahawa ini adalah masalah kaum wanita sahaja. Lebih menyedihkan lagi ada yang beranggapan bahawa ia adalah masalah yang lumrah berlaku dalam suasana negara yang ingin mencapai kemajuan ekonomi. Sebarang jenayah yang berlaku walau seremeh manapun harus dilihat sebagai isu masyarakat yang mesti dibanteras agar semua anggota masyarakat boleh hidup dengan selamat dan selesa di mana sahaja mereka berada.
Suasana kebejatan akhlak ini tambah dirumitkan dengan krisis ekonomi yang sedang melanda dunia kini dan masih belum diketahui bila serta bagaimana kesudahannya. Tiada yang terselamat dari kesannya walaupun ada yang cuba menafikan realiti ini. Ramai yang kehilangan sumber pendapatan terutama di sektor perkilangan dan swasta. Impak krisis ekonomi lebih lagi dirasakan oleh keluarga besar yang hidup di bandar-bandar besar dengan pendapatan yang kecil. Institusi keluarga juga terkesan dengan kegawatan ekonomi apabila perhatian terhadap anak-anak kurang diberikan akibat ibubapa yang sibuk mencari rezeki bagi menampung keperluan keluarga dengan kos kehidupan yang meningkat begitu mendadak sekali. Krisis ekonomi juga menyumbang kepada meningkatnya kadar jenayah seperti samun, mencuri dan rompak serta tidak kurang juga jenayah kolar putih seperti rasuah dan pecah amanah.
Bagi mengatasi krisis kewangan, begitu banyak pihak tampil untuk mengutarakan pelbagai langkah penyelesaian bagi memulihkan keadaan ekonomi. Begitu juga, setiap kali diumumkan mengenai peningkatan kes jenayah banyak juga pihak yang tampil dengan pelbagai idea untuk mengatasinya. Namun sehingga kini masih belum kelihatan lagi keberkesanannya kerana langkah-langkah yang diambil lebih bersifat reaktif seperti meningkatkan penguatkuasaan undang-undang. Penyelesaian yang sebenarnya perlu merangkumi langkah-langkah pencegahan dan rawatan.
Allah s.w.t telah menggariskan satu cara hidup yang jelas dalam Islam yang merangkumi kesemua aspek kehidupan termasuk ekonomi, sosial dan politik; manfaatnya adalah untuk seluruh manusia dan alam, bukan sekadar untuk orang Islam sahaja. Bukan sahaja isu ekonomi menjadi kerisauan kita, isu sosial juga sepatutnya lebih merungsingkan kita. Satu jalan penyelesaian yang bersifat holistik bermula dari individu dan keluarga adalah perkara asas dalam menghadapi krisis akhlak dan ekonomi ini. Setiap orang perlu berganding bahu dan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk memulihkan keseluruhan keadaan masyarakat sebagaimana yang disebutkan dalam Al-Qur’an dalam Surah Ar-Ra’d ayat 11 yang bermaksud “Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri”.
Wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) Negeri Selangor bertekad untuk mengajak orang ramai bersama-sama memahami kaedah-kaedah kehidupan yang sudah sedia termaktub dalam Islam. Penghayatan ajaran Islam yang menyeluruh mampu memperkasakan setiap individu untuk membuat pertimbangan yang bijak dalam menghadapi gelombang kehidupan. Kami meyakini bahawa tiada jalan lain lagi bagi kita menghadapi krisis kehidupan yang melanda kini selain dari kembali melaksanakan ajaran Islam sepenuhnya. Salah satu usaha Wanita JIM Negeri Selangor untuk mencapai tujuan ini adalah dengan menganjurkan program berikut:
SEMINAR MENANGANI ISU WANITA ISLAM (SMIWI)
“Krisis? Relakslah…Kemelut? Usah kalut…”
pada 26 April 2009 di Auditorium Daeng Chelak, Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam.
Program ini diadakan bagi mencapai objektif berikut:
1. Memberi kefahaman bahawa Islam adalah jalan penyelesaian krisis.
2. Berkongsi panduan untuk menangani krisis dalam kehidupan.
3. Memberi kesedaran mengenai kepentingan memperkasakan diri
Program ini adalah terbuka kepada orang ramai termasuk ahli-ahli NGO Islam lelaki dan wanita, kakitangan kerajaan dan swasta serta pelajar IPT.
Sekian.
Prof. Madya Dr. Roohaida Othman
Timbalan Ketua
Wanita JIM Negeri Selangor
14 April 2009
No comments:
Post a Comment