KENYATAAN MEDIA
Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)
Jumaat 3 April 2009
Sah Datuk Seri Najib Perdana Menteri Ke-6
Umum akan mengucapkan tahniah dan menyambut baik Perdana Menteri yang baru. Apa jua tanggapan lalu biasanya digantung untuk memberi peluang PM baru menetapkan gaya dan dasar kepemimpinannya.
JIM berharap Datuk Seri Najib menjalankan pemerintahan dengan adil berlandaskan matan dan semangat Perlembagaan. JIM ingin mengingatkan bahawa Perlembagaan itu telah meletakkan kedudukan yang tinggi kepada agama Islam sehingga hanya dengan memelihara agama Islam perlembagaan negara dapat dilaksanakan. Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan dirinya sebagai “undang-undang utama Persekutuan” [Perkara 4 (1)] mengukuhkan lagi kedudukan Islam kerana terkandung di dalam Perlembagaan itu, dan disebut terlebih dahulu bahawa, “Agama Islam ialah agama bagi Persekutuan.
Datuk Seri Najib mengambil alih teraju negara dalam suasana cabaran yang besar. Cabaran kemelesetan ekonomi dunia harus ditangani dengan mencari penyatuan kehendak politik (political will), kerjasama dan pelaksanaan langkah-langkah pemulihan yang adil. Cabaran kepada kewibawaan diri Datuk Seri Najib sendiri, seperti yang berhubung dengan urusan pembelian kapal selam Scopene, isu yang dikaitkan dengan kes Altantuya dan isu cubaan rasuah politik di Perak, hendaklah dijawab dengan menghilangkan sebarang rasa sangsi rakyat.. JIM mengesyorkan Datuk Seri Najib menjelaskan melalui saluran yang ada seperti di mahkamah atau kepada suatu suruhanjaya bebas. Berdiam diri atau mengambil tindakan menekan (suppression or repression) akan hanya mengesahkannya di dalam pemikiran rakyat.
Semoga Allah membimbing Datuk Seri.
Zaid Kamaruddin
Presiden
Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia
No comments:
Post a Comment