Islah & Wanita Gemilang

Thursday, June 18, 2009

KENYATAAN AKHBAR MENGENAI ISU SERANGAN DI MASJID AL-FURQAN, SELATAN THAILAND

Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) melahirkan rasa dukacitanya di atas tragedi pembunuhan di Masjid al Furqan Narathiwat pada 9 Jun yang lalu serta konflik berterusan yang melanda umat Islam dan bukan Islam di selatan Thailand. Perasaan kesal dan dukacita ini dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa dan agama. JIM mengucapkan takziah ke atas keluarga mangsa pembunuhan kejam tersebut dan mendoakan mereka yang mengalami kecederaan agar sembuh segera.

JIM mengutuk sekeras-kerasnya mereka yang melakukan jenayah keji tersebut dan sesiapa juga yang mendalanginya. Kejadian ini adalah yang terkini dalam rentetan tragedi yang menimpa penduduk Islam di selatan Thailand. Peristiwa ini amat malang kerana pembunuhan yang berlaku di Masjid Krisek (Krue se) dan di Tak Bai yang membabitkan pasukan keselamatan Thailand masih segar di dalam ingatan.

JIM merakamkan rasa kecewa dengan pihak Kerajaan Thailand yang dilihat sebagai kurang serius dan tidak bersegera di dalam menyelesaikan isu ini. Tindakan pihak berkuasa menuduh kumpulan pemisah Islam di belakang pembunuhan di masjid al Furqan adalah sangat tidak bertanggungjawab. JIM mendesak agar penyiasatan yang sewajarnya dan terperinci dilakukan segera untuk mengenalpasti mereka yang bertanggungjawab dan menghadapkan mereka ke muka pengadilan. Tuduhan tanpa bukti yang dilemparkan kepada kumpulan pemisah Islam hanya akan memudaratkan keadaan. Tindakan sebegini dikhuatiri akan menambahkan perasaan marah penduduk Islam yang amat kecewa dengan sikap yang ditunjukkan oleh kerajaan Thai terhadap peristiwa serangan di Masjid Krisek dan Tak Bai. Mahkamah Thailand telah memutuskan bahawa pasukan keselamatan Thai tidak boleh dikenakan sebarang tindakan sedangkan beberapa badan Hak Asasi Manusia mengesahkan tindakan kejam pasukan keselamatan Thai mendera para tahanan dengan menyusun mereka secara bertindih di dalam trak menjadi punca kepada kematian 86 penduduk Islam. Tuduhan terkini pihak kerajaan Thailand pastinya mengundang rasa curiga terhadap pasukan keselamatan sebagai dalang di dalam pembunuhan di masjid al Furqan.

JIM ingin mengingatkan kerajaan Thailand agar bersikap serius dan bersegera di dalam mencari jalan penyelesaian yang adil, berkekalan dan saksama untuk memulihkan keamanan di kawasan yang bergolak ini. Ketidakstabilan di Selatan Thai telah mengakibatkan warga Thai samada penduduk Islam dan Buddha menerima natijahnya. Rasa tidak puas hati, curiga-mencurigai boleh menimbulkan ketegangan yang membawa keadaan huru-hara di kalangan rakyat.

JIM khuatir keadaan yang tidak stabil ini boleh menjurus kepada perang saudara dan rusuhan kaum. Senario ini tidak menguntungkan semua pihak dan boleh menjerumuskan wilayah Selatan yang bersempadan dengan Malaysia kepada suasana konflik yang boleh menjejaskan kedua-dua negara yang berjiran.

Oleh itu, JIM sekali lagi mengulangi desakan agar kerajaan Thailand mengambil langkah proaktif untuk menjalankan siasatan yang adil dan telus ke atas tragedi pembunuhan di masjid al-Furqan, mengenal pasti mereka yang melakukan jenayah keji tersebut dan membawa mereka ke muka pengadilan untuk dijatuhkan hukuman yang sewajarnya.

IR. HJ. ZAIRULSHAHFUDDIN ZAINAL ABIDIN
Naib Presiden
Pengerusi JK Perhubungan Antarabangsa

No comments:

Post a Comment