Islah & Wanita Gemilang

Monday, November 23, 2009

Pace perjuangkan Palestin sepanjang masa

 

Oleh SITI AINIZA KAMSARI


Noorazian anidin


SEBAGAI bumi ketiga paling suci di dalam Islam, iaitu bumi Palestin dan Masjid Al Aqsa di dalamnya maka konflik dengan pihak Israel merupakan satu-satunya ujian besar dari Allah kepada umat-umatNYA.

Ternyata sehingga kini tidak ada sebarang tanda-tanda kemenangan umat Islam berjaya untuk membebaskan sepenuhnya bumi Palestin itu dari kebejatan Israel.
Justeru bayangkan jika ujian yang sama melibatkan bumi Mekah dan Madinah pula? Sedangkan untuk konflik Palestin masih tidak mampu ditangani apatah lagi jika melibatkan bumi pertama dan kedua yang paling suci bagi umat Islam itu!

Tidak mampu ditangani adakah bermakna tiada kekuatan walaupun jumlah umat Islam dari seluruh dunia adalah dalam angka yang berbilion ramainya?
Benar, tidak ada perpaduan atau lebih tepat kesatuan ummah! Begitupun jika kita melihat isu ini dengan dada yang lapang, minda yang terbuka dan sentiasa bertolong-tolongan dengan kesabaran dan solat. Isu ini sebenarnya terlalu banyak hikmahnya kepada kita semua.


Konflik itu menyebabkan terbina jambatan-jambatan yang menghubungkan rakyat Palestin dengan seluruh warga dunia. Ini apabila terlalu banyak pertubuhan dan agensi malah individu-individu yang bermatlamatkan untuk membantu Palestin dari pelbagai aspek.
Malah isu itu kini tidak dilihat sebagai isu konflik agama antara Yahudi dan Islam semata-mata tetapi merupakan krisis kemanusiaan yang sebenarnya boleh berlaku kepada sesiapa sahaja di dunia ini.
Malaysia tidak ketinggalan membantu Palestin, sama ada dalam bentuk kerajaan kepada kerajaan sehinggalah kepada sekecil-kecil anak, semua mempunyai 'kiblat' perjuangan mengadap ke Palestin.
Justeru, jika tidak kerana konflik itu juga, mungkin tidak akan ada apa yang dinamakan Pusat Kecemerlangan Palestin atau Palestine Centre for Excellence (Pace) yang berpengkalan di negara ini.

Pace yang ditubuhkan sejak tahun 2006 adalah antara beribu-ribu NGO Palestin seluruh dunia yang tidak mengenal erti putus asa. Melainkan terus menjalankan tanggungjawab yang sungguhpun berat untuk memastikan Masjid Al Aqsa kembali kepada umat Islam sepenuhnya dan bumi Palestin adalah bumi yang merdeka.

Sebagai pengenalan Pace adalah badan bukan kerajaan (NGO) atau politik yang ditubuhkan oleh sayap Perhubungan Antarabangsa Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), iaitu sebuah pertubuhan NGO yang sangat signifikan nama dan peranannya di negara ini.
Ia berperanan menjalankan kajian strategik dan masa depan terhadap isu umat Islam di Palestin dan Timur Tengah. Pace sangat menekankan isu-isu Palestin, konflik dengan projek-projek Zionis dan Israel serta merangkumi pembangunan rakyat Palestin, Arab, Islam dan antarabangsa.
Dengan lain perkataan Pace adalah satu-satunya 'sekolah' di negara ini yang para pelajarnya akan mempelajari untuk memahami sepenuhnya mengenai isu Palestin sekalipun bukan untuk melahirkan pejuang-pejuang yang akan mengangkat senjata menentang Israel.

Felo Kanan Pace, Noorazian Anidin berkata, ini kerana masih ramai yang menganggap bahawa isu Palestin merupakan isu agama, perebutan wilayah dan percaturan politik dunia.
Walhal ramai yang terkorban itu bukannya anggota tentera mahupun pihak keselamatan tetapi penduduk awam, dari sekecil bayi sehinggalah kepada usia yang telah lanjut, semuanya jadi mangsa.

"Jadi, kita tidak mahu orang ramai berfahaman bahawa krisis kemanusiaan yang berlaku di Palestin tidak lebih merupakan konflik antara agama Yahudi dan Islam.
"Sedangkan ramai yang terbunuh adalah terdiri penganut Kristian juga dan kebanyakan penganut Yahudi sama ada di Amerika dan serata dunia yang lain sendiri tidak setuju dan menentang tindakan kejam Israel terhadap penduduk Palestin," katanya dalam pertemuan dengan Mega, baru-baru ini.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Hubungan Antararabangsa JIM berkata, tumpuan Pace bukan sahaja untuk menarik seramai mungkin mereka yang secara sukarela menghulur derma dan sumbangan terhadap rakyat Palestin yang tertindas.
"Tetapi kita tidak mahu isu Palestin menjadi isu bermusim sahaja. Habis musim, sejuk! Ada konflik besar terbaru, ia kembali meraih perhatian, simpati dan tumpuan rakyat. Sedangkan konflik dengan Israel ini adalah selama kita masih bernafas di muka bumi ini," tegasnya.

Kata Noorazian, tidak ada hari di mana rakyat Palestin tidak ditindas atau sehingga ada yang dibunuh dengan kejam oleh rejim Israel.
"Soal sikit atau banyak yang terbunuh tidak berbangkit kerana yang pasti tanggungjawab membantu rakyat tertindas di mana-mana negara adalah menjadi tanggungjawab yang perlu dilakukan tanpa henti walaupun menerima pelbagai tekanan daripada pihak," katanya.
Palestin dan daerah-daerah sempadan yang menempatkan pelarian-pelarian rakyatnya, krisis kemanusiaan yang paling teruk di abad ini.
Menurut Noorazian, hampir-hampir seperti tiada kehidupan apabila hak-hak sebagai pribumi rakyat Palestin dinafikan.
"Mereka tidak ubah seperti hidup dalam saiz penjara yang paling besar pernah wujud di muka bumi ini. Mereka tidak boleh melakukan aktiviti dan pekerjaan untuk tujuan kelangsungan hidup. Segala-galanya disekat dan dikepung. Jadi, bagaimana mereka hendak hidup dan mampu bertahan," soal beliau.
Oleh itu, kata Noorazian, semua pihak perlu menyedari yang isu Palestin perlu diberi perhatian sepanjang masa.
Malah, Pace mengambil tanggungjawab yang sangat besar ini bagi memastikan soal Palestin tidak luput dalam ingatan semua kalangan rakyat.
"Alhamdulillah, inilah hikmah di sebalik mengapa penyelesaian isu Palestin masih buntu dan belum ada titik penyelesaian. Iaitu semakin ramai yang mula memahami mengenai nasib rakyat Palestin yang dinafikan hak mereka. Dan bagaimana liciknya Israel dan konco-konconya dalam merealisasikan pelbagai aspirasi jahat mereka, iaitu yang mahu melihat umat lain akhirnya tunduk kepada mereka," kata Noorazian.

Segenap lapisan masyarakat di negara ini mula disedarkan mengenai hakikat-hakikat yang mereka perlu tahu dan bantu mengenai Palestin.
"Alhamdulillah, kita berjaya menciptakan kemenangan-kemenangan walaupun kecil sifatnya tetapi ia cukup bermakna.
"Golongan berpendapatan rendah misalnya adalah antara yang paling menghulurkan derma untuk disalurkan kepada Tabung Kemanusiaan Palestin," katanya lagi.
Begitupun perjuangan Pace diterima baik oleh kalangan korporat di negara ini. Sehinggakan sesetengah syarikat menjadikan sebahagian kecil hasil jualan mereka untuk membantu Palestin.
"Yang jelas kini kumpulan-kumpulan sasaran Pace semakin memahami pergolakan yang berlaku dan mereka kini tahu tanggungjawab yang mereka perlu lakukan.
"Ini terutamanya menjayakan kempen-kempen boikot barangan atau produk keluaran negara-negara sekutu Israel dan tidak lagi terpengaruh dengan sebarang dakyah oleh pihak Barat yang pro Israel dan menapis setiap berita-berita yang tersiar," kata Noorazian.
Pace yang telah berjaya menyalurkan jutaan ringgit kepada rakyat Palestin tetap menghadapi pelbagai kekangan dan cabaran apabila permintaan kini telah melebihi penawaran.
"Maksud saya semakin banyak pihak meminta supaya PACE menjadi sebahagian daripada aktiviti-aktiviti keagamaan, sosial dan kemasyarakatan di serata tempat tanpa mengira masa.
"Ini menyebabkan kami memerlukan lebih ramai sukarelawan terlatih (oleh Pace) sendiri bagi memastikan jaringan Pace semakin lebar dan lebih banyak mesej dapat disampaikan," jelasnya.

Road show
Lantaran itu, kata Noorazian, pihaknya amat mengalu-alukan penyertaan mereka yang ingin melakukan 'jihad' kecil ini di Palestin, demi Islam dan demi kemanusiaan.
Sebabnya tugas-tugas semurni ini tidak sahaja menjanjikan kepuasan kepada jiwa namun sekurang-kurangnya memberi peluang seseorang itu melakukan sesuatu yang bermanfaat dalam seumur hidupnya.
"Pace akan mengadakan siri jelajah ke seluruh negara bagi merekrut petugas-petugas sukarela ini untuk mereka diberikan latihan dan sokongan bagi menjayakan pelbagai aktiviti ini," katanya.

Menurut Noorazian, kalangan pelajar dan lepasan universiti tentunya menjadi sasaran utama untuk direkrut.
Namun golongan profesional yang mempunyai pelbagai kepakaran turut dialu-alukan dan termasuk juga kalangan bukan Islam yang cintakan kedamaian boleh juga menyertai Pace.
Namun yang jelas Pace banyak 'mengorbankan' diri mereka untuk misi-misi kedamaian di Palestin atas dasar kemanusiaan dan persaudaraan.
"Sebenarnya rakyat Palestin telah melekatkan Malaysia ini di hati mereka atas segala sumbangan yang telah sampai ke tangan mereka itu.
"Terkadang mereka meminta supaya segala sumbangan dan derma itu dikembalikan semula kepada kita. Ini supaya wang tersebut dapat digunakan untuk melahirkan pejuang-pejuang Islam yang tulen dan sehingga pada suatu hari Palestin akan bebas juga dari cengkaman Yahudi Israel itu.
"Malah yang lebih mereka harapkan agar kita selalu mendoakan mereka, supaya mereka tetap tabah dan cekal menghadapi segala macam kemungkinan jahat dari Israel dan umat Islam yang tidak berpecah-belah tetapi bersatu untuk menyelamatkan seluruh ummah," katanya.

Pace dapat anda lawati di www.jim.org.my. Sumbangan boleh dibuat menerusi no akaun Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia: MBB 5622 0960 8847. Sebarang pertanyaan bagi tujuan ceramah (percuma), boleh hubungi pejabat JIM 03-4108 9669 atau Muhamad Nasir Tampol di 014-311 0628.

No comments:

Post a Comment