Islah & Wanita Gemilang

Tuesday, July 14, 2009

SMIAAG ungguli Debat MUSLEH 2009 , 12 Julai 09

Kuala Lumpur, 12 Julai – Sekolah Menengah Islam Al-Amin Gombak (SMIAAG) muncul juara Kejohanan Debat Antarabangsa Pelajar MUSLEH 2009 kategori Bahasa Melayu setelah menewaskan Sekolah Menengah Islam Hidayah Johor Bahru (SMIH JB) pada perlawanan akhir yang diadakan di Hotel Putra di sini hari ini.

Dengan usul yang dibahaskan bertajuk “Pemansuhan PPSMI Adalah Wajar”, para pendebat SMIAAG yang bertindak sebagai kerajaan yang terdiri daripada Khalilah Alhuda Kamilen, Nurazlina Azizi, Nur Diyana Nas Tamimi dan Nabil Afham M Fuad telah berjaya menarik perhatian juri, seterusnya membawa pulang Piala Pusingan Kejohanan, trofi serta wang kemenangan berjumlah RM500.00.

Tambah manis bagi SMIAAG apabila pendebatnya Khalilah Alhuda telah dipilih sebagai pendebat terbaik dalam perlawanan akhir tersebut.

SMIH JB yang membariskan Ili Syazwani Shairi, Nur Liyana Zakaria, Ilham Nasharuddin dan Abdullah Zubayr Mohd Azaini pula selaku naib johan meraih hadiah wang kemenangan sebanyak RM300.00 serta trofi.

Dalam kategori Bahasa Inggeris, SMIAAG sekadar menjadi naib juara setelah tumpas kepada SRI Ayesha Islamic School pada perlawanan akhir yang mengetengahkan usul “Indonesia Should Not Stop Sending Their Mad to Malaysia”.

SRI Ayesha Islamic School dengan para pendebatnya iaitu Nur Sakeenah Md. Riza, Sharifah Zafirah Jamallail Syed Zainal Abidin, Abd Rahman Seiz dan Wan Nur Fareeha Wan Ahmad Fauzi yang bertindak sebagai kerajaan menggondol Piala Pusingan Kejohanan, trofi serta wang kemenangan sebanyak RM500.00.

Selaku naib juara, SMIAAG yang terdiri daripada Tengku Amirah Tengku Johari, Affan Torla, Adibah Baniah Awang dan Ali Uthman meraih wang kemenangan berjumlah RM300.00 serta trofi.

Namun, kehampaan SMIAAG sedikit terubat apabila pendebatnya Adibah Baniah diumumkan sebagai pendebat terbaik perlawanan akhir.

Manakala dalam kategori Bahasa Arab, kehadiran Madrasah Aljunied Al-Islamiah daripada Singapura nyata berbaloi apabila mereka muncul juara setelah mengecewakan SMIH JB pada perlawanan akhir.

Kejohanan Debat Antarabangsa Musleh 2009 ini telah dirasmikan penutupannya oleh Yang Berbahagia Datuk Zamani Sulaiman, Setiausaha Dewan Negara Parlimen Malaysia. Beliau turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Kejohanan yang julung-julung kali dianjurkan oleh Pusat Pendidikan SRI-SMI Berhad (MUSLEH) ini telah berjaya menarik menyertaan hampir 20 buah sekolah Islam dari seluruh negara dengan menampilkan pelbagai tema yang merangkumi isu-isu politik, ekonomi, alam sekitar, sosial, kesihatan dan pendidikan.

Kejohanan yang mendapat kerjasama daripada Rangkaian Pendidikan Islam (RAPI) serta International Centre For Educational Excellence (ICEE) ini turut diserikan dengan dua sekolah jemputan dari luar negara iaitu SMP Internat Al Kausar, Sukabumi dari Jawa Barat, Indonesia serta Madrasah Aljunied Al-islamiah dari Singapura.

Kejohanan ini dianjurkan bertujuan untuk menjadi medan bagi membentuk sifat yakin diri para pendebat melalui kemampuan berhujah dan mempertahankan hujah dengan cara beradab, penuh berhikmah dan boleh diterima pihak lawan. Dari situ mudah-mudahan akan lahir barisan pimpinan negara pada masa akan datang yang beriman, berilmu, berkemampuan dan berakhlak tinggi.

Di samping itu, kejohanan ini juga menjadi medan pertemuan, perbincangan dan perkongsian pengalaman antara penyelidik, penggiat, pengusaha dan pihak yang berkepentingan dalam sistem pendidikan Islam negara dan serantau.

alamin debat bm with datuk zamani n ust megat

aljunied debat ba with datuk zamani n ust megat ayesha debat bi with datuk zamani n ust megat
ayesha school debat bi best debater final bi

best debater final bm final debat bi
final debat bm penonton debat final
smiaag debat bi smiaag debat bm

smihjb debat bm



No comments:

Post a Comment