Tahniah untuk sahabatku Ir Endok dan ibunya Puan Hajah Sakinah Abdul Hamid yang merupakan salah seorang penulis dalam buku, "Ibu Madrasah Pertama Ku". Keistimewaan lain ibu ini ialah kecintaan terhadap ilmu, dimana beliau sudah tamat mengikuti Latihan ESQ dan dapat pulak memujuk 13 orang anak-anaknya mengikuti Latihan ESQ ini. Lagi sekali tahniah! kerana ia merupakan satu rekod!
Ir Endok Sempo binti M Tahir-
M & E Consulting Engineers
Sudah terlalu lama aku pendamkan niat ini. Niat untuk menulis tentang emak. Namun kini adalah masa terbaik untuk merakamkannya. Semasa artikel ini ditulis, aku sedang terlantar sakit kerana menjalani rawatan dan proses pemulihan dari serangan asthma yang terjadi seminggu yang lepas. Sambil berbaring di katil teruja fikiran untuk mula menulis. Masa inilah aku terasa benar-benar memerlukan kehadiran emak di sisi.
Teringat zaman kanak-kanak dan remaja, masa sakitlah emak terlalu dekat dengan kita. Rasa sakit, terpinggir, keseorangan, kesepian dan kesedihan ini membolehkan aku menulis sesuatu. Ilham dan bayangan masa lalu datang bertindih-tindih. Jelas wajah kasih dan simpati emak. Terasa kelembutan sentuhan emak dan motivasi emak mengalir dalam diri.
Perjuangan masa lalu emak menanamkan iman dan semangat dan menggilap potensi aku sejak dari kecil hingga dewasa malah semakin terkesan dalam rumahtangga apabila usia semakin senja. Emak adalah idola dan mentor dalam membentuk jati diri, membina kerjaya, melayari bahtera rumahtangga, menyusur alunan ombak kehidupan yang silih berganti antara susah dan senang.
Emak bersuamikan seorang pejuang revolusi
Kedatangan seorang ‘Guru’ dan Pejuang Revolusi dari Makassar Indonesia ke Tanah Melayu tahun 1948 menjadi buah mulut suku kaum Bugis yang telah bermastautin sejak abad ke 19 di Benut, Johor. Perawakan ‘kiyai’ dan keilmuan Islam nya yang terserlah memancing minat sepasang keluarga ‘berada’ kacukan Bugis-Banjar di Sungai Pulai Muar. Pasangan itu ialah datuk dan nenek aku. Mereka amat berkenan dengan semangat keislaman yang berkobar-kobar, kelakuan bersopan santun serta gaya pertuturan ‘guru’ itu yang kemudiannya menjadikan ayah aku menantu mereka.
Pada tahun 1949, ayah aku menjadi menantu idaman datuk aku. Emak aku, Sakinah Binti Abdul Hamid menjadi isteri seorang pejuang revolusi semasa dia masih bersekolah dalam darjah 4 di sekolah rendah. Umur emak di kala itu ialah 10 tahun. Menjadi isteri seorang pejuang revolusi bermakna menempah ranjau perjuangan yang penuh kesusahan. Gadis kecil se muda itu (anak orang berada yang serba cukup) tidak pernah terfikir risiko bersuamikan seorang yang berjiwa revolusioner. Emak seperti gadis-gadis di zamannya bukan tidak punya pilihan, tetapi mereka terlalu muda untuk memilih. Kedua ibu bapa merekalah yang memilih dan menentukan calon pasangan hidup mereka......
No comments:
Post a Comment