Menurut Nalini.E, salah seorang barisan seketariat GMI, buat julung kalinya debat ISA ini diadakan antara MGI dengan Majlis Permuafakatan Ummah (PEWARIS) sebagai satu ruang perdebatan yang sehat kepada masyarakat Malaysia. GMI sebagai pihak penganjur memulakan inisiatif ini selepas beberapa kenyataan menyokong pelaksanaan ISA yang dikeluarkan oleh PEWARIS, sebuah NGO gabungan, dilihat bertentangan dengan prinsip GMI yang juga bertentangan dengan pegangan Islam.
Pada tarikh 25hb April yang lalu, GMI telah menghantar jemputan kepada PEWARIS untuk turut serta dalam acara debat ini. Justeru itu, satu perbincangan akan diadakan antara GMI dengan PEWARIS pada esok hari bagi menentukan perjalanan debat yang bakal diadakan Sabtu ini. Namun demikian, wakil dari PEWARIS masih belum diputuskan lagi manakala wakil dari pihak GMI adalah YB Saari Sungib, ADUN Hulu Kelang, yang merupakan salah seorang bekas tahanan ISA.
Cikgu Norlaila yang merupakan aktivis GMI menyatakan bahawa GMI telah mengeluarkan senarai 20 dalil dari prinsip-prinsip Islam yang membantah pelaksanaan ISA di Malaysia. “Namun, ISA masih dilihat relevan kepada beberapa golongan Muslim jadi kami ingin mendapatkan hujah dari pihak PEWARIS mengapa mereka melihat ISA sebagai selari dengan prinsip Islam” katanya ketika sidang media tadi.
Pihak GMI turut mengalukan kehadiran semua lapisan masyarakat Malaysia dan juga pihak media ke acara debat ‘ISA: Halal atau Haram’ pada pukul 3 petang hari Sabtu ini bagi mendapatkan informasi serta penilaian yang benar kepada isu ISA.
Bagi mendapatkan berita bergambar, layari www.jim.org.
Sekian, wassalam
Khadijah Azman
Pegawai Eksekutif Komunikasi Korporat
Ibu Pejabat JIM
No comments:
Post a Comment