Islah & Wanita Gemilang

Friday, May 22, 2009

WASIAT IMAM HASAN AL-BANNA


  1. Ya akhi, janganlah engkau hidup tanpa matlamat. Sesungguhnya Allah tidak menciptakanmu dengan sia-sia dan Dia tidak meninggalkanmu begitu saja.
  2. Ya akhi, jadikan Allah itu matlamatmu. Dengarilah seruanNya yang bermaksud: “Maka segeralah kembali kepada (mentaati) Allah. Sesungguhnya aku seorang pemberi peringatan yang nyata dari Allah untukmu”. Adz Dzaariyat:50
  3. Ya akhi, sesungguhnya apa yang kau bimbangi di dalam kehidupan ini hanya dua perkara: rezekimu dan ajalmu. Dan tidak ada siapa yang dapat menentukan kedua-duanya untukmu kecuali Allah. Maka janganlah kebimbangan terhadap kedua-dua perkara itu (rezeki & ajal) menghalangmu daripada menegakkan kebenaran.
  4. Ya akhi, sesungguhnya umat hanya akan maju dengan pengorbanan. Dakwah hanya akan tegak dengan kesetiaan. Sekiranya engkau hidup untuk umatmu maka berkorbanlah untuk kemajuannya. Dan sekiranya engkau yakin kepada dakwahmu maka berusahalah untuk setia kepadanya.
  5. Ya akhi, janganlah engkau berkata apa yang engkau tidak buat. Janganlah engkau terpedaya sekiranya manusia menganggap engkau telah bekerja. Apa yang perlu engkau fikirkan ialah Allah mengetahui bahawa engkau benar-benar telah bekerja. Sesungguhnya manusia sekali-kali tidak dapat melindungimu daripada Allah.
  6. Ya akhi, tiada seorangpun dari kalangan sahabatmu yang dapat bersama denganmu selain daripada di dunia ini. Namun di sana terdapat seorang sahabat yang akan sentiasa menemanimu di dunia ini dan di akhirat sana. Sahabat itu ialah amal soleh. Maka cubalah sedaya mampumu untuk menjadikannya (amal soleh) sebagai sahabatmu setiap waktu. Ingatlah firman Allah yang bermaksud: “Hai rasul-rasul, makanlah dari makanan yang baik-baik, dan kerjakanlah amal yang saleh. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan” Al Mu'minun : 51
  7. Ya akhi, Allah melihat pada hatimu. Maka berhati-hatilah. Jangan engkau kotori hatimu dengan perbalahan. Sesungguhnya perbalahan itu merupakan hijab di dunia dan azab di akhirat. Firman Allah bermaksud: “(yaitu) pada hari harta dan anak-anak tidak berguna, kecuali orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang bersih,” Asy Sya'araa':88-89
  8. Ya akhi, berusahalah untuk yakin kepada fikrahmu sehingga ke tahap segala cita-cita dan usahamu tunduk kepadanya. Dengarilah firman Allah Ta’ala bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, dan hendaklah kamu bersama orang-orang yang benar” At Taubah: 119
  9. Ya akhi, ketika engkau berusaha untuk mencapai matlamat, engkau mesti yakin kepada dua perkara, iaitu engkau akan berjaya dan melaksanakan apa yang diwajibkan ke atasmu. Seandainya perkara pertama tidak sempat engkau raih, engkau tidak terlepas perkara kedua. Firman Allah bermaksud: Dan (ingatlah) ketika suatu umat di antara mereka berkata: "Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazab mereka dengan azab yang amat keras?" Mereka menjawab: "Agar kami mempunyai alasan (pelepas tanggung jawab) kepada Tuhanmu, dan supaya mereka bertakwa". Al-A’raf : 164
  10. Ya akhi, engkau pasti akan mati. Maka jadikanlah kematianmu di jalan Allah. Sesungguhnya kemusnahan dalam menegakkan kebenaran itulah sebenar-benarnya keabadian. Sesungguhnya pada hari engkau gugur syahid engkau memperolehi kemuliaan, ganjaran, keabadian dan kehidupan. Pada masa yang sama engkau tidak rugi suatu apapun selama-lamanya. Firman Allah bermaksud: “Janganlah kamu mengira bahwa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati; bahkan mereka itu hidup di sisi Tuhannya dengan mendapat rezki” Ali 'Imran: 169
Akhar Mingguan Ikhwan Muslimin, th ke4, bil 34, Dis 1936

No comments:

Post a Comment