Islah & Wanita Gemilang

Showing posts with label perkongsian. Show all posts
Showing posts with label perkongsian. Show all posts

Tuesday, January 12, 2010

Bingkisan dari Dr Hafidzi - Solat (1)

Assalamualaikum,

Ramai yang bertanya pada zaujah dalam majlis-majlis yang beliau hadiri tentang keadaan kesihatan ana kini. Alhamdulillah ana makin sehat. Cuma dalam tempoh 3 bulan ini adalah tahap kritikal di mana ana kena jaga sangat makanan dan pergaulan di tempat awam untuk mengelak jangkitan kuman. Kini sudah masuk 2 bulan setengah. Dalam 2 minggu lagi jika atas persetujuan doktor ana akan kembali ke pejabat tetapi masih belum mengajar. Mungkin sem depan insyaAllah ana akan kembali mengajar.

Ana tulis e-mail dengan tajuk di atas untuk kongsi satu perkara yang ana fikir cukup penting semasa selepas menjalani pembedahan. Ia adalah berdasarkan pengalaman yang dilalui ketika berada di ICU selama 7 hari. Bagi orang yang sakit tidak ada persoalan yang lebih penting yang perlu diberikan perhatian selain dari solat. Seringkali kita perhatikan solat terabai apabila seseorang itu sakit atau terlantar. Maka ana tulis perkara ini sebagai bekal dan ingatan kepada kita semua yang mungkin akan melaluinya dalam hidup kita.

Ada orang berfikir berdasarkan kefahaman yang salah seseorangt itu diberikan kelonggaran untuk meninggalkan solat apabila sakit - dari mana datangnya kefahaman ini, wallahu'alam. Tetapi mungkin ia berdasarkan pegangan bahawa solat boleh di qada'. Sebenarnya tidak ada alasan yang membolehkan seseorang itu mengqada'kan solat dalam keadaan sakit. istilah qada' itupun boleh dipersoal. Seseorang itu hanya dimaafkan jika tertinggal solat dalam keadaan tertidur atau lupa. Namun apabila dia sudah terjaga atau ingatan nya pulih maka dia wajib mendirikan solat yang luput itu dengan segera. Ini pernah berlaku pada Rasulullah SAW apabila tertidur dan hanya terjaga setelah matahari terbit. Maka Rasulullah SAW terus mendirikan solat subuh tanpa mengqadha'kannya.

Dalam keadaan sakit kaedah feqah telah menetapkan cara-cara solat bagi orang sakit. Jika tidak boleh berdiri maka dengan duduk, jika tidak dalam keadaan berbaring, jika tidak dalam keadaan mengiring, jika tidakpun hanya dengan menggerakkan anggota tertentu atau hatta dengan isyarat mata sekalipun bagi yang tidak boleh menggerakkan anggota badan.

Baiklah ana akan kongsikan apa yang ana lalui selepas pembedahan.

Sebaik sedar dari operation maka ana mengalami satu keadaan yang sukar untruk digambarkan. Mungkin ianya satu halusinasi akibat dari kesan ubat antirejection yang kuat. Tetapi ini yang ana lalui. Pengalaman ini begitu nyata dan seolah-olah bukan mimpi. Ana diziarahi oleh dua orang yang datang menziarahi ana. Pertama ialah anak sulung ana, Mohd Qayyim dan kedua cucu saudara (berumur 2 tahun) yang ana sayang. Semua cucu-cucu sdr ana sayang, tetapi yang ini hati memang selalu teringat. Mereka datang 'menzaiarahi' ana. Di samping itu ramai sahabat-sahabat juga datang membawa pelbagai jenis makanan. Ana sendiri menghantar sms kepada zaujah, supaya datang kerana di sini ada banyak makanan. sms itu memang benar-benar dihantar di terima oleh zaujah. bahkan ana telah memotong pizza dan menyuap ke mulut dan kemudian tersedar yang disuap ke mulut itu ialah handphone.

Setelah sedar sepenuhnya ana terfikir apakah ini yang akan dilalui ketika skarat nanti. Bukankah syaitan akan datang kepada kita di saat-saat akhiran kita untuk memujuk kita untuk kali yang terakhir. Syaitan akan datang menyerupai orang-orang yang kita sayangi, orang-orang yang penting dalam hidup kita lalu menawarkan kita air minuman yang sejuk, memujuk dan memujuk kita supaya masuk agama Nasrani dan Yahudi? Lalu yang boleh menyelamatkan kita hanyalah iman kita kepada Allah yang kita pelihara dan pertahankan sewaktu kita hidup di muka bumi ini. Kita tidak tahu apakah kesudahan kita dan bagaimana kita menangkis godaan syaitan yang datang menyerupai ibu atau ayah kita. Bagaimana mungkin kita tidak mempercayai kalau yang cuba meyakinkan kita ialah ibu yang melahirkan? Maka kesimpulannya hanya satu, iman sahaja yang mampu menelanjangi tipu daya syaitan ini. jadi ana menasihatkan diri dan sesiapa sahaja yang membaca bingkisan ini, marilah kita jadikan usaha untuk memupuk dan meningkatkan keimanan sebagai agenda paling utama dalam hidup ini. Sejauh mana kita pelihara iman kita semasa hayat maka sejauh itu jugalah ampuhnya pertahanan kita dalam pertempuran terakhir kita dengan syaitan. Ingatlah firman Allah SWT 'Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan kamu mati melainkan sebagai seorang muslim'. Persoalannya bagaimana seseorang itu boleh menolak kematian? Kita diingatkan jangan kita mati melainkan sebagai seorang muslim. Satu-satunya jalan untuk mati sebagai muslim ialah hidup sebagai muslim. Kehidupan sebagai muslim ini tidak boleh bermusim tetapi pada setiap saat dan ketika. Muslim ertinya tunduk kepada Allah dalam segenap hal, bukan dalam urusan-urusan tertentu sahaja.

Untuk menjadi seorang muslim, apakah yang paling asas yang perlu dilakukan. ianya tak lain dan tak bukan ialah persoalan solat
dan kekal mengerjakan solat dalam semua keadaan termasuklah dalam keadaan sakit dan terlantar. InsyaAllah akan sambung selepas ini...

Hafidzi MN

Tuesday, June 16, 2009

Thursday, June 11, 2009

PERKASA 09: Jom!!! Bersama Kita Mengubah Dunia , 5-7 Jun 09

Peserta PERKASA Selangor:

Ikhwah (10 orang)

1. Ahmad Nizam Samsudin

2. Ahmad Fadhli Mohd Fauzi

3. Mohd Safwan Ruslan

4. Zubair Tholudin

5. Sahudin Ma’anam@Saat

6. Mohd Nor Azmi Mohd Rodzi

7. Ahmad Amiruddin Mohd Ali

8. Ya Asrul Yaman

9. Ibrahim Aizuddin

10. Muhammad Bukhori Parman



Akhawat (8 orang)

1. Izahana Haron
(Ampang Jaya)

2. Nur Izzatul Azreen Apili
(Ampang Jaya)

3. Rose Jazimah Abdul Jalil

4. Wardah Mustafa Din

5. Aifa Shireen Arifin

6. Musannafah Murtadha

7. Syuhaida Mat Saarani

8. Nurulhuda Khairul Anuar


ukht Izahana wakil dari Ampang Jaya cuba menawan hati juri ...."resepi kami ni...."

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah,Ttuhan yang telah menciptakan semua makhluk serta mentadbirnya. Selawat serta salam buat junjungan mulia, Nabi Muhammad saw seisi keluarga serta para sahabat baginda.

Hampir 85 tahun zaman pemerintahan khilafah jatuh dan tersungkur dimata dunia. Satu demi satu ancaman serta wabak musuh Islam telah mula menusuk di dalam kehidupan dan pemikiran umat Islam, sehingga akhirnya umat Islam kian mundur, kian mudah diperkotak-katikkan oleh pihak musuh. Beberapa persoalan bermain di minda kita, apakah kita mahu terus melihat ancaman kotor musuh-musuh Islam ini terus menjatuhkan kita? Apakah kita tidak mahu berusaha untuk merubah dunia? Sedikit muqaddimah yang seharusnya difikirkan oleh semua umat Islam seantero dunia.

Alhamdulillah, pada 5-7Jun yang lalu, T-PSM JIM dengan kerjasama Akademi Islah & JKPRB telah menganjurkan program Nasional JIM iaitu program PERKASA 09. Program Perkhemahan Nasional ini diadakan khas untuk pemimpin belia JIM yang berumur di bawah 35 tahun. Seramai 45 orang belia lelaki dan 43 orang belia wanita dari kalangan ahli dan pimpinan JIM telah mendaftarkan diri. Program selama 3 hari 2 malam itu telah berjaya diadakan mengikut objektif yang telah disasarkan. Setelah melalui program ini secara penuh, akhirnya dapatlah diringkaskan tips-tips untuk para pemimpin belia yang mahu mengubah dunia, kita huraikan tips-tips ini melalui perkataan PERKASA.

Huruf P dalam PERKASA ini dapat diterjemahkan kepada pemimpin, pengurusan, pengetahuan dan proaktif. 4 perkara ini adalah penting di dalam proses untuk merubah dunia, kita perlukan pemimpin yang mantap dan memenuhi kriteria seperti pemimpin agung dunia iaitu Nabi Muhammad saw. Kita juga memerlukan pengurusan yang baik, pengetahuan yang meluas serta perlu senantiasa proaktif ketika ingin mahu berhadapan dengan musuh-musuh islam demi merubah dunia.

Huruf E di dalam PERKASA pula ialah erat dan efektif. Erat atau lebih sinonim dengan ukhuwwah merupakan asas di dalam mana-mana perkara. Melalui ukhuwwah yang intim, semua perkara akan lebih mudah diuruskan. Selain itu, kerja yang efektif juga perlu disemai di dalam usaha untuk menyelamatkan dunia ini.

Seterusnya ialah huruf R iaitu rancang dan rileks. Setiap sesuatu yang ingin kita lakukan perlulah dirancang dengan baik dan teliti, penggunaan Plan Do Check Action ( PDCA ) di dalam perancangan adalah satu langkah yang bijak dan efektif. Disamping itu, para pemimpin juga adakalanya perlu rileks, rileks yang dimaksudkan di sini ialah dengan kita tidak panik ketika diserang musuh serta tidak terburu-buru di dalam membuat sesuatu keputusan.

Seterusnya ialah huruf K iaitu kompeten, kemahiran, komunikasi dan komitmen. Sebagai seorang pemimpin yang akan mngubah dunia, kita seharusnya mampu bersaing ( kompeten ) dengan pihak musuh serta memerlukan kemahiran-kemahiran yang luar biasa dan mengikut keperluan semasa. Selain itu, kita juga perlu mempunyai komunikasi yang jelas sesama kita dan memastikan setiap dari kita ini mempunyai komitmen yang tinggi untuk melaksanakannya , bukan sekadar omong-omong kosong.

Huruf seterusnya ialah A iaitu amanah serta “ alert “. Sebagai seorang pemimpin Islam , sifat amanah merupakan sifat asas di dalam kehidupan, pemimpin yang tidak amanah tergolong di dalam mereka yang digelar munafik. Kita juga perlu senantiasa “alert” dengan apa jua situasi dan keadaan. Sikap menjangkakan sesuatu yang diluaar jangkaan penting agar kita sentiasa bersedia dengan dengan apa jua serangan yang akan menimpa kita.

Huruf seterusnya ialah S iaitu sihat, syura & sabar. Sudah semestinya, sebagai seorang mujahid, kesihatan tubuh badan, mental dan ruhani perlulah dijaga dengan baik. Pemakanan yang seimbang, senaman yang konsisten serta pengambilan makanan tambahan perlulah diambil berat. Selain itu, konsep syura adalah satu perkara yang amat penting tatkala mahu membuat dan melaksanakan sesuatu keputusan, keputusan yang dibuat melalui syura adalah lebih barakah berbanding dengan keputusan yang dibuat secara individu yang barangkaali akan mengundang permasalahan. Sebagai seorang pemimpin yang mendapat tarbiyah Islam, sifat sabar seharusnya menjadi sebahagian dari kehidupan kita, adalah lebih baik jika kita mampu menjadi seperti apa yang Allah swt katakana “al-hilm “, yakni penyantun. Di dalam keadaan yang kita boleh untuk memarahi seseorang itu sekalipun, kita tetap bersabar dan memaafkannya serta terus berlapang dada.

Huruf yang terakhir ialah A iaitu al-quran dan as-sunnah yang menjadi panduan di dalam merancang serta melaksanakan sesuatu perkara. Kedua-dua sumber syariat ini merupakan sumber yang terbaik dan yang paling boleh dipercayai. Setiap perkara yang tidak dirujuk dengan kedua-dua sumber ini, ditakuti akan mencemarkan titis-titis perjuangan kita kelak.

Begitulah serba sedikit ulasan yang dapat disimpulkan sepanjang melalui program PERKASA ini. Diharapkan, impian kita untuk merubah dunia akan dapat terus direncanakan dengan baik dan saksama. Semoga apa yang telah disimpulkan di atas boleh menjadi sebahagian daripada metod dan uslub kepada kita untuk mengubah dunia.

Kepada semua pemimpin belia JIM, ayuh kita tanamkan dalam hati kita, tingkatkan amal kita, perbanyakkan ilmu pengetahuan kita.

Syabab!!! Yes! Yes! Yes! Change The World !!!

Mohd Hafiz Abd Hamid
Wakil Kuala Lumpur
Kumpulan Al-Fatih
Mentor – SUA JIM, YDP JIM Melaka & P.Pinang.

PERKASA '09

PERKASA '09

PERKASA '09

PERKASA '09

PERKASA '09

PERKASA '09

PERKASA '09

Mohd Hafiz ( bai )
SU Kerja JKPRB

Mantan SUA KNL
019-7517051


( dipetik dari WEBSITE JIM )

Friday, May 29, 2009

Intifadah Diteruskan, Bantuan Diwajibkan - Al-Qaradawi


Intifadah Diteruskan, Bantuan Diwajibkan - Al-Qaradawi

World Popular Conference on Palestine

ISTANBUL, 22 Mei – Gerakan penentangan terhadap pendudukan Israel di bumi Palestin mesti diteruskan kerana hanya itulah sahaja cara untuk mendapatkan pembebasan tanah suci dan kemerdekaan daripada penjajahan. Demikian menurut ulama terkemuka, asy-Syeikh Dr Yusuf al-Qardawi ketika mengulas mengenai penentangan yang berterusan terhadap pendudukan Israel di Palestin. Beliau berkata demikian ketika berucap di World Popular Conference on Palestine yang diadakan di sini semalam.

Menurut beliau, umat Islam cintakan perdamaian dan tidak mahukan peperangan. Tetapi jika peperangan dipaksakan ke atas mereka, setiap orang Islam harus bangkit mempertahankan tanah airnya.

“Oleh itu, penentangan dari dalam Palestin perlu diteruskan dengan sokongan daripada semua pihak. Tanpa penentangan, tanpa intifadah, Israel tidak akan berganjak. Kebebasan hanya boleh diperoleh melalui penentangan,” ujar beliau.

“Ramai yang bertanya kepada saya meminta kebenaran untuk pergi dan berperang bersama saudara-saudara kita di Palestin. Malangnya mereka dihalang oleh negara-negara mereka daripada pergi ke Tanah Suci (Palestin).”

Beliau juga memberi dimensi dan paradigma baru kepada bantuan kewangan yang perlu disalurkan kepada pejuang-pejuang di Palestin. “Bantuan kita perlu dilihat sebagai bukan sekadar sumbangan, tetapi satu kewajipan, satu tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan,” ujar beliau.

Beliau seterusnya menyeru agar negara-negara Islam memutuskan hubungan dengan negara Israel.

World Popular Conference on Palestine

sumber:
http://www.malaysiaharmoni.com/index.php/antarabangsa/turkey/25-intifadah-diteruskan-bantuan-diwajibkan-al-qaradawi

Thursday, May 28, 2009

SALAM TAKZIAH & SALAM PERJUANGAN


Salam takziah di atas pemergian ke rahmatullah ibu kepada Mat Sah Mohamad Satray dan ibu mertua kepada Cikgu Norlaila Othman. Sejak Mat Sah ditahan di bawah ISA sejak lebih 7 tahun yang lepas, ibu yang menyayangi anaknya itu tidak sempat melihat anaknya dibebaskan.

Beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir tanpa anak disisi...dipisahkan oleh kezaliman ISA pada jam 8.30 pagi 27 Mei 2009. Walaupun mereka sempat bertemu beberapa hari lepas tetapi ia tetap tidak sama jika semua tahu Mat Sah boleh datang ziarah ibunya bila-bila masa tanpa diiringi SB, tanpa ditetapkan dan dihadkan waktu.

Semalam, saya telah ke rumah Pakcik Mohamad Satray menziarahi jenazah. Menzahirkan simpati saya kepada Cikgu Norlaila dan kepada pakcik. Saya cuma mendengar kata-kata pakcik. Katanya, beliau terkilan kerana tidur pada malam sebelum itu sedangkan arwah yang kabur matanya seolah-olah memberi petanda dengan tidak semena-mena boleh melihat, menegur pakcik yang pergi ke bilik air walaupun lampu tidak dipasang.

Berulang kali pakcik katakan kepada saya, "kenapalah malam itu pakcik tidur...kenapalah?". Saya jawab ringkas untuk menenangkannya, "Itu semua ketentuan Allah pakcik, Allah lebih mengetahui, Allah Maha Besar...Allah lebih sayang makcik".

Pakcik terdiam sebentar selepas itu tetapi terus menyuarakan rasa tidak senangnya dengan penahanan berterusan anaknya, Mat Sah. "Saya tetap tunggu dia balik tengok jenazah emaknya, barulah hantar ke kubur", tegas pakcik. Masa itu jam 1.30 tengahari.

Saya lalu berpesan kepada pakcik, "Nanti pakcik mintak dengan polis SB supaya beri peluang Mat Sah jumpa ibunya, ikut jenazah ke kubur dan bawa semula ke rumah pada malamnya untuk majlis tahlil...pakcik kena mintak". Bagi saya, ini bukan lagi permohonan tapi tuntutan.

Alhamdulillah saya sempat mengimamkan solat zohor dan kemudian bersama-sama solat jenazah berjamaah. Namun saya tidak dapat menanti kepulangan Mat Sah atau mengiringi jenazah ke tanah perkuburan kerana ada urusan tugas. Saya cuma berpesan kepada Sdr Suhaimi Mokhtar (bekas tahanan ISA yang dibebaskan Januari lepas) dan kepada Pakcik untuk sampaikan salam saya kepada Mat Sah. Pakcik mengucapkan terima kasih kerana mengimamkan solat zohor dan di atas usaha yang dilakukan oleh GMI.

Sejak beberapa tahun ini, sudah banyak insiden begini yang saya alami. Dulu Sdr Nasaruddin Nasir (masa itu tahanan ISA, sekarang sudah bebas) kehilangan ibunya semasa dalam tahanan. Sedih melihat beliau dibawa balik oleh SB dan diberikan masa yang amat terhad bersama keluarga.
Kemudian kisah yang sangat menyedihkan, Sdr Shahrial Sirin (masa itu tahanan ISA, sekarang dibebaskan tetapi di 'deport' ke Indonesia) tidak sempat mendampingi anaknya, Aina Mardhiah yang nazak. Beliau hanya tiba dari kem kamunting setelah anaknya meninggal dunia...setelah jatuh sakit selama lebih 48 jam.

Apakah kesalahan mereka sehingga diperlakukan demikian...ditahan bertahun-tahun sehingga lebih 7 tahun seperti Mat Sah? Mereka merompak? Mereka membunuh? Mereka mengangkat senjata? Mereka menyeludup dadah? Kesalahan mereka tidak pernah dibicarakan mahupun dibuktikan tetapi mereka didapati bersalah dan dihukum bertahun-tahun. Dalam tempoh itu, anak membesar, ibu meninggal, ayah telah pergi...isteri bercerai. Siapakah yang bertanggungjawab?

Sebab itulah undang-undang begini...ISA tidak boleh dibiarkan wujud. Menjaga keselamatan negara tidak membenarkan kezaliman dan ketidakadilan sewenang-wenangnya. Hanya kerana ianya undang-undang sah, maka apa sahaja boleh dilakukan walaupun menzalimi, menyeksa dan mencabuli hak insan?

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas ruh ibu Mat Sah dan dimasukkan ke dalam golongan orang-orang soleh. Semoga jiwa-jiwa yang sayangkan keadilan dan benci kezaliman akan bangkit menegakkan yang hak dan mencegah kebatilan.

Syed Ibrahim Alhabshi
Timbalan Presiden JIM
Pengerusi GMI