Islah & Wanita Gemilang

Friday, September 11, 2009

RM30,000 dalam satu malam?

Mahukah anda menderma lebih RM30,000 dalam satu malam? Ataupun melepaskan kereta kesayangan begitu sahaja kepada jalan Allah? Ataupun menyedekahkan sebuah apartment kos rendah milik anda untuk kebajikan? Kebanyakan daripada kita sudah tentu mempunyai keinginan tetapi apakan daya, kemampuan dan tahap keimanan tidak menyebelahi. Iman kita tidaklah setanding dengan sahabat Rasulullah s.a.w. yang mendermakan beratus ekor unta, berjuta wang dirham and seluruh harta ketika saat-saat dikehendaki.

Sedar tak sedar, inilah rahmat yang dikurniakan Allah kepada umat Muhammad s.a.w. Masa berlalu begitu cepat. Kita sudahpun memasuki fasa terbaru iaitu pembebasan daripada api neraka. Seperti yang diketahui, 10 malam terakhir ini terkandung suatu rahsia. Rahsia yang Allah s.w.t. sahaja mengetahui. Malam di mana rahmat Allah akan datang mencurah-curah kepada mereka yang mengambil peluang. Tidak diketahui berapa sebenar jumlah ganjarannya. Hanya dinyatakan di dalam Al Quran bahawa ianya LEBIH baik daripada 1000 bulan beribadat.


Allah sengaja meletakkan malam Lailatul Qadar pada sepuluh malam terakhir, untuk menentukan siapakah antara hamba-Nya yang betul-betul ikhlas beribadat. Kebanyakan manusia hanya akan teruja pada awal-awal sesuatu peristiwa baik Ramadhan, ataupun hal-halduniawi yang lain. Bak kata pepatah Mat Saleh “If you want to get different results from the others, do things differently from others”. Mat Saleh memberikan nasihat dalam konteks pasaran saham iaitu “When others are buying, you sell. When others are selling, you buy”. Sedikit sebanyak ada kebenaran dalam kata-kata ini jika kita mengaplikasikan dalam konteks Ramadhan iaitu “When others are sleeping, you continue worshipping”. Ingatkah kita sebagai seorang pelajar, kita pernah melakukan ‘cramming’ ataupun bertungkus lumus pada saat-saat terakhir sebelum peperiksaan? Kenapa pula kita tidak boleh melakukan yang sama dalam ibadat?


Diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. mengikat kainnya pada sepuluh malam terakhir. Ada pendapat yang menyatakan bahawa ia bermaksud yang Rasulullah menjauhi perhubungan dengan isteri-isteri Baginda. Ada juga ulama yang menafsirkan bahawa ianya suatu perumpamaan yang Rasulullah ‘getting serious’ dalam beribadat, umpama seseorang itu ‘getting serious’ untuk bekerja apabila ‘menyinsing lengan bajunya’.


Justeru itu, saya menyeru diri sendiri dan saudara/i sekalian supaya marilah kita bersama-sama melipat gandakan ibadat pada sepuluh malam terakhir ini. Moga-moga dengan ganjaran yang dikurniakan dapat memberatkan amal kebajikan kita semasa timbangan di akhirat nanti.
Saya cadangkan kita semua bawalah paling kurang RM1 setiap malam untuk disedekahkan ke masjid. Insyallah kalau kena malam Lailatul Qadar, tidakkah bersamaan dengan RM1 x 30 hari sebulan x 1000 bulan = RM30,000 atau lebih?
Semoga Allah memberi ganjaran terhadap ibadat dan keikhlasan kita.


Oleh,

Mohd Kamal Izham Wahab

PSU JDB


No comments:

Post a Comment