Islah & Wanita Gemilang

Wednesday, September 16, 2009

SABRA dan SHATILA - SATU REFLEKSI


Assalamualaikum and greetings

PACE reminds the world that 16th September, the day Malaysia was formed, is also one of the darkest day in the history of the Palestinian struggle. On this day, between 3,000 - 4,000 unarmed civilian was mercilessly murdered by the criminal Ariel Sharon and his dogs (zionist and phalangist militias).

Below is an article that revisited the tragedy, written by Hj Ridzuan Harun, Senior Fellow Researcher from PACE Malaysia. May the victims be recompensed and the perpetrators be prosecuted. May the sufferings of the Palestinians be lifted up someday soon, in our lifetime, InsyaAllah.

Dr Hafidzi Mohd Noor
Director
PACE
*****************************************************************************************

Muqaddimah

Palestin dan Al-Aqsa tidak dapat dipisahkan dari jiwa umat Islam walau dimana mereka berada. Dari ummah bumi suci Mekah dan Madinah, bumi kering kontang di Sahara, bumi hutan belantara di selatan Amerika, bumi beku di kutub selatan dan utara sehinggalah kita, ummah di bumi bertuah milik bersama, Malaysia.

Palestin adalah tanah suci ketiga umat Islam selepas Mekah dan Madinah. Ia tempat bermulanya mikraj Rasulullah SAW ke Sidratul Muntaha bagi menerima perintah untuk melaksanakan ibadah paling utama kita yakni perintah menunaikan solah lima waktu. Bumi suci ini menempatkan Masjid Al-Aqsa, qiblat pertama umat Islam untuk selama lebih kurang 18 bulan seusai peristiwa yang menakjubkan di malam Israk dan Mikraj itu.

Palestin adalah Bumi Anbia. Tidak ada walau seinci pun bumi lain yang terdapat di seluruh alam ini yang telah menerima kehadiran lebih ramai para nabi dan rasul berbanding bumi suci ini. Palestin bumi muqaddas juga dikenali sebagai Ardh Ribath – bumi pertahanan jihad, di mana sesiapa sahaja yang tinggal di sini kerana Allah diibaratkan sebagai seorang yang sedang berjihad di jalan Allah.

Hanya terdapat 3 buah masjid sahaja yakni Masjid Haram di Mekah, Masjid Nabi di Madinah serta Masjid Al-Aqsa di Palestin yang dianjur sangat-sangat oleh Rasulullah SAW untuk setiap umat Islam menziarahinya.

Bersama Mekah dan Madinah, Palestin adalah nadi dan jantung umat Islam.

Namun bumi suci ini telah sekian lama berada di tangan penjajah. Bukan sebarang penjajah tetapi penjajah yang paling zalim yang pernah disaksikan oleh dunia moden. Dan bersama kedatangan penjajah zalim ini, bermulalah penderitaan yang berpanjangan kepada umat Palestin, berterusan sehingga ke saat ini.

Masihkah ada Palestin di hati Kita?

Adakah kita semakin kurang sensitif dengan apa yang berlaku di Palestin serta terhadap nasib pelarian-pelarian dari Palestin yang bertaburan di negara-negara jiran. Kekejaman demi kekejaman telah dilakukan hari demi hari, bulan demi bulan, tahun demi tahun malah telah menjangkau lebih 60 tahun jika diambil dari tarikh kelahiran negara haram Israel yang telah diisytiharkan pada 14hb Mei 1948 itu.

Siri-siri kekejaman ini telah berlanjutan begitu lama sehinggakan masyarakat mungkin telah menjadi semakin lali terhadapnya dan menerima berita-berita demikian sebagai sesuatu yang biasa. Jika tersiar berita berkaitan Palestin, sebahagian anggota masyarakat mungkin akan membaca, mendengar atau menonton berkaitannya. Paling hebat pun, mungkin ada yang mengeluh dan mungkin mengutuk zionis. Namun dalam satu helaan nafas yang sama kebanyapauziah16kan anggota masyarakat ini kemudiannya akan terus kembali kepada kegiatan hariannya.

Sewaktu serangan ganas rejim Israel terhadap Gaza di penghujung tahun 2008 lalu, seluruh dunia bangkit menyatakan bantahan. Ceramah demi ceramah dianjurkan. Kempen Selamatkan Gaza menjadi antara agenda utama masyarakat Malaysia. Ribuan malah jutaan ringgit dikumpul bagi disalurkan ke Palestin. Malah ada anggota masyarakat yang mencari-cari tempat untuk mendaftarkan diri sebagai sukarelawan untuk dihantar berjihad ke Palestin.

Kini keadaan kembali tenang!!!!???

Palestin kembali dilupakan. Dan Palestin terus menderita.

Kita ditipu untuk kesekian kalinya!!

Usai pengunduran tentera zionis dari Gaza maka isu Palestin semakin kurang dibicarakan. Sebahagian anggota masyarakat kita menyangka keadaan di Palestin telah menjadi semakin baik. Itulah gambaran yang dapat kita simpulkan jika kita mengambil keadaan di mana semakin kurangnya perbicaraan berkaitan Palestin di kalangan masyarakat serta kurangnya berita-berita berkaitan Palestin yang disiarkan oleh media saban hari sebagai kayu pengukur.

Hakikatnya keadaan di Palestin tidak sekali-kali kembali menjadi lebih tenang selepas pengunduran tentera ganas zionis dari Gaza awal tahun ini. Pengunduran itu hanya mengembalikan Gaza dan Tebing Barat kepada keadaan sebelum serangan ganas Disember 2008.

Tiada apa yang berubah di Palestin!

Hakikatnya Gaza masih terus dikepong rejim zionis secara mutlak dari darat, laut dan udara sebagaimana sebelum serangan. Kepungan yang melanjutkan bencana kemanusiaan.

Hakikatnya Baitul Maqdis dan Masjid Al-Aqsa terus terkepung oleh Tembok Keselamatan yang telah memisahkan dari Tebing Barat sebagaimana sebelum serangan.

Hakikatnya tanah-tanah milik umat Islam terus dirampas dan mereka berterusan dihalau dari kampung halaman masing-masing yang akan kemudiannya dijadikan kawasan penempatan pendatang haram Yahudi.

Hakikatnya umat Islam di Palestin serta saudara-saudara mereka yang telah menjadi pelarian dalam Negara sendiri atau di negara-negara jiran sejak puluhan tahun lalu terus dizalimi.

Dari mana sumber maklumat kita?

Turun naiknya perhatian umat Islam terhadap nasib saudara-saudara mereka di Palestin banyak dicorakkan oleh paparan-paparan berita yang mereka baca, dengar atau tonton setiap hari.

Selagi umat Islam masih mengharapkan berita dan maklumat berkaitan Palestin dari sumber-sumber asing terutama dari agensi berita yang kita maklumi dikuasai oleh pihak yang menjadi musuh kepada perjuangan membebaskan Palestin itu sendiri, maka selama itulah kita akan kecewa. Kita tidak akan dibekalkan dengan maklumat yang menceritakan secara jujur apa yang telah , sedang mahu pun apa yang akan berlaku.

Sebagai mengambil satu contoh, berapa ramaikah diantara umat Islam di Malaysia ini yang maklum atau menyedari berkaitan satu peristiwa besar, tragis dan amat menyayat hati yang telah berlaku kepada umat Palestin dalam bulan September 1982?

Lebih tepat lagi, apakah yang telah berlaku kepada umat Islam Palestin pada tarikh 16hb September 1982?

16hb September Hari Bersejarah

16hb September 1963 adalah tarikh bersejarah, hari pembentukan Malaysia - Hari Malaysia.

Jika tarikh 16hb September menjadi sumber kegembiraan rakyat Malaysia namun tarikh yang sama sekitar 20 tahun kemudiannya telah mencatatkan sejarah sebagai hari bermulanya peristiwa yang amat tragis dan menyayat hati yang berlaku ke atas umat Islam Palestin khasnya dan seluruh umat Islam amnya.

16hb September 1982 menyaksikan peristiwa pembunuhan beramai-ramai pelarian Palestin di kem pelarian Sabra dan Shatila.

Untuk memudahkan ingatan kita, peristiwa ini telah dirakamkan dalam bentuk lagu puisi oleh Almarhum Zubir Ali untuk menjadi kenangan sepanjang zaman.

Balada Seorang Gadis Kecil

Gadis kecil itu telah bertahun
Dicengkam derita
Di khemah pelarian
Yang menjanjikan duka cita

Munir tak mengenal erti cinta
Telah kering airmata
Menangisi kematian
Ayahbonda dan saudara

Pada suatu senja
Langit Syatila
Menyaksikan pembunuhan
Anak kecil dan wanita

Munir ditembak
Penuh luka
Tapi ajalnya belum tiba
Kerna Tuhan mengasihi dia

Peristiwa hitam 17 September
Telah menjadi bukti
Sempurnalah kekejaman
Suatu bangsa yang sombong dan hina

(Dendangan Zubir Ali)


Latarbelakang Peristiwa

Sabra dan Shatila

Sabra adalah nama sebuah penempatan rakyat Lebanon di bahagian selatan Beirut Barat. Shatila pula adalah tempat perlindungan untuk pelarian Palestin. Shatila adalah di bawah kelolalaan salah sebuah agensi Bangsa-Bangsa Bersatu yang khusus untuk pelarian Palestin, UNRWA (United Nations Relief and Works Agency for Palestine Refugees in the Near East). Kem pelarian Shatila telah ujud sejak tahun 1949 lagi kesan dari kempen keganasan yang dilaksanakan oleh zionis Israel selepas pembentukannya pada tahun 1948. Menjelang 1949 lebih dari 100,000 pelarian Palestin berada di Lebanon termasuk di Shatila.

Sabra dan Shatila berjiranan.

Terdapat interaksi yang rapat antara penduduk di kedua-dua kawasan penempatan miskin ini. Secara tidak rasmi kedua-dua kejiranan itu akhirnya dikenali sebagai “Kem Sabra dan Shatila”.

Palestine Liberation Organisation (PLO)

PLO telah ditubuhkan pada tahun 1964. Ia sebenarnya adalah sebuah badan induk yang memayungi beberapa pertubuhan lain termasuk Al-Fatah yang sebenarnya menguasai PLO. Al-Fatah (dan PLO) dibawah pimpinan Yasser Arafat . Kesemua pertubuhan ini bergabung untuk satu tujuan yakni untuk membebaskan keseluruhan bumi Palestin dari cengkaman zionis Israel.

Pada tahun 1969 dalam satu pertemuan di Kaherah Mesir. Perdana Menteri Lebanon telah memberi kebenaran kepada pihak PLO untuk menggunakan bumi Lebanon sebagai pengkalan operasinya menentang Israel. Kekuatan PLO di Lebanon bertambah dengan kemasukan ramai pejuang PLO yang telah diusir dari Jordan di awal 70’an.

Kehadiran ramai pejuang PLO di Lebanon bukan sahaja membawa masalah kepada Israel tetapi telah juga menimbulkan pertelingkahan dengan penduduk serta kumpulan militia tempatan termasuk pertentangan dengan kumpulan Phalangists yang didokong oleh pihak Kristian Maronite.

Dari selatan Lebanon, pejuang PLO melancarkan serangan secara berterusan terhadap negara haram Israel.

Serangan Israel terhadap Lebanon

Bagi menghentikan serangan terhadap Israel dari selatan Lebanon terutama dari pihak PLO, Israel telah melancarkan beberapa siri serangan.

Akhirnya pada pada 6hb Jun 1982, Israel telah melancarkan satu serangan besar-besaran terhadap Lebanon. Serangan ini didakwa Israel sebagai tindak balas terhadap satu percubaaan untuk membunuh dutanya di London dua hari sebelumnya. Dianggarkan sekitar 60,000 orang tentera rejim haram Israel memasuki Lebanon walau pun telah menerima kecaman dari Majlis Keselamatan PBB.

Tujuan utama serangan ini adalah untuk menghapuskan PLO dari bumi Lebanon. Untuk mencapai tujuan ini pihak Israel telah dibantu oleh beberapa kumpulan Kristian tempatan termasuk pihak Phalangists.

Menjelang 18hb Jun, tentera Israel Berjaya mengepung pejuang PLO di bahagian barat Beirut. Bencana kemanusia yang besar dijangka akan berlaku terhadap pejuang PLO serta penduduk-penduduk setempat sekiranya Israel melancarkan serangan terakhir

Gencatan Senjata dan Pengkianatan

Kepungan berterusan. Dua bulan kemudian yakni dipertengan bulan Ogos 1982, atas perantaraan wakil kerajaan Amerika Syarikat, Philip Habib, satu gencatan senjata telah dipersetujui diantara Israel dan PLO.

Melalui “Habib Roadmap”, pejuang dan pegawai-pegawai PLO bersetuju untuk meletakkan senjata dan meninggalkan bumi Lebanon. Mereka juga dikehendaki menutup dan menghentikan semua operasi pejabat dan prasarana PLO. Proses pengunduran (atau lebih tepat lagi, pengusiran) ini dilaksanakan di bawah pengawasan pasukan tentera antarabangsa yang terdiri dari pasukan Itali, Perancis dan Amerika Syarikat. Pasukan ini dijadualkan untuk berada di lapangan selama 30 hari dari tarikh ketibaan mereka. Mereka juga bertanggung-jawab terhadap keselamatan penghuni kedua-dua kem tersebut termasuk keselamatan ahli keluarga pejuang yang ditinggalkan di Sabra dan Shatila. Di pihak Israel mereka berjanji untuk tidak meneruskan kemaraan ke Beirut.

Pengunduran yang bermula pada 24hb Ogos itu selesai sepenuhnya menjelang 1hb September 1982. Dua hari kemudian, tentera rejim zionis mula menempatkan tentera-tenteranya di sekeliling kedua-dua kem tersebut.

Tidak lama selepas itu, pasukan tentera antarabangsa mula meninggalkan kawasan tersebut, lebih awal dari yang dijanjikan!

Pembunuhan Beramai-ramai

Pada 11hb September 1982, Ariel Sharon, Menteri Pertahanan Israel yang bertanggung-jawab terhadap serangan keatas Lebanon, mengistiharkan bahawa terdapat seramai 2,000 “pengganas” Palestin bersembunyi di kalangan pelarian di kemah-kemah pelarian sekitar Beirut. Pada hari Rabu 15hb September 1982 yakni sehari selepas pembunuhan bakal Presiden Lebanon yang menjadi sekutu Israel-Phalangists, Bashir Gemayil, tentera Israel mara dan memasuki Beirut Barat dan mengepung kem pelarian Sabra dan Shatila. Menjelang tengahari 15hb itu, seluruh penempatan terkepung oleh tentera dan kereta-kereta kebal Israel. Mereka mendirikan pos-pos kawalan tentera di tempat-tempat strategik bagi memantau setiap pergerakan.

Pada petang yang sama, kedua-dua kem tersebut mula dibedil.

Pada tengahari Khamis 16hb September 1982, sepasukan sekitar 150 orang anggota Phalangists, sekutu Israel, mula bergerak memasuki kem. Dengan disaksikan oleh dunia, untuk tempoh 40 jam berikutnya anggota-anggota militia Phalangist ini telah merogol, membunuh dan mencederakan begitu ramai orang awam yang tidak bersenjata. Kebanyakkan mangsa terdiri dari wanita, kanak-kanak serta orang-orang tua. Tiada jalan untuk melarikan diri kerana semua jalan keluar telah dikepong kukuh oleh tentera Israel.

Amukan anggota Phalangist berterusan hingga 18hb Sepetember 1982.

Jumlah angka korban adalah diantara 700 orang (angka rasmi pihak Israel) hingga 3500 orang. Laporan rasmi Palang Merah Antarabangsa pula menyebutkan angka 2,400.

Sehingga kini tiada sesiapa pun telah dihukum atas satu tindakan keganasan melampau yang tidak pernah terbayang akan dilakukan oleh manusia yang berakal, apatah lagi mendapat sokongan dan kerjasama sebuah kerajaan.

Penutup - Sikap Dunia

Dengan 4000 angka kematian sebagaimana yang dilaungkan akibat serangan 11 September, Amerika Syarikat telah melancarkan apa yang disebut sebagai kempen peperangan menentang keganasan. Melalui kempen ini mereka telah pun memusnahkan dua buah negara – Afghanistan dan Iraq. Kempen ini masih berterusan.

Bandingkan pula sikap Amerika Syarikat dan dunia terhadap pembunuhan 16hb September. Telah jelas bahawa yang terkorban adalah terdiri dari orang awam yang tidak bersenjata, wanita dan kanak-kanak yang lemah serta orang-orang tua yang tidak berdaya. Yang lebih dahsyat lagi mereka dibunuh semasa mereka sepatutnya mendapat perlindungan pasukan tentera antarabangsa melalui satu jaminan dan perjanjian yang ditaja oleh Amerika Syarikat. Namun akhirnya mereka dibunuh di sekitar rumah dan kawasan kediaman masing-masing.

Yang jelas penghuni Sabra dan Shatila telah dikianati, dikepung dan kemudian dibunuh.

Yang jelas, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu terus mempamirkan sikap baculnya sehingga ke saat ini. Yang lebih jelas, seluruh pemimpin negara-negara umat Islam walau pun dengan keujudan OIC sejak 1969, terus tidak berdaya melindungi umat Islam dari keganasan walau di mana mereka berada terutama di Palestin.Dan dunia akan terus mengenang 11 September dan melupakan 16 September. Itu lebih mudah dan selamat!

Hj. Ridzuan Harun
Felo Kanan PACE
Pusat Kecemerlangan Palestin

No comments:

Post a Comment