Islah & Wanita Gemilang

Friday, August 21, 2009

Dari Meja SUA - Madrasah Ramadhan 1430 H - Satu Lagi Peluang Bagi Mengislah Dan Memperbaiki Diri Dan Keluarga

Assalamu'alikum wrb

InsyaAllah kita akan bertemu Ramadhan Kareem 1430 Hijrah dalam beberapa jam lagi.
Sebagai para duat, ana percaya kita telah menyediakan mental, spiritual dan fizikal kita untuk melalui Madrasah Ramadhan 1430 Hijrah ini.

Bulan latihan yang datang setahun sekali ini memberikan kita peluang sekali lagi untuk berusaha bersungguh-sungguh untuk mengislah dan memperbaiki diri dan keluarga kita.

Diri kita sudah pasti perlu diperbaiki dan dipertingkatkan iman dan amalnya, akhlaq dan syakhsiahnya, ilmu dan kekuatan mindanya serta keazaman perjuangan dan iltizamnya. Madrasah Ramadhan memberi kita peluang untuk membersih dan mentazkiahkan diri kita, meningkatkan taqarraub kita kepada Pencipta kita dan kemudian muncul sebagai duat dan pejuang yang lebih kental, iman yang lebih mendalam, berakhlaq tinggi dan iltizam yang semakin membara.

Madrasah Ramadhan 1430 H juga memberi peluang untuk mengislah dan memperbaiki keluarga kita. Kita adalah nakhoda rumahtangga. Kita yang melafaz dan berikrar semasa akad nikah untuk mengambil pertanggungjawaban dan mengambil alih daripada wali isteri kita untuk menjaga, memelihara dan membina isteri kita dan kemudian anak-anak dan keluarga kita.

Membina keluarga dengan penuh kasih sayang sehingga isteri dan anak-anak berasa dipelihara, dijaga kebajikan mereka dan berasa selamat dengan kehadiran kita - ini merupakan usaha berterusan yang kita perlu lakukan bersungguh-sungguh.

Setiap masa adalah waktu yang terbaik untuk memulakan apa-apa sahaja yang baik. Apa lagi dengan menjelmanya 1 Ramadhan pada petang ini. Marilah kita sama-sama berazam untuk menghidupkan Ramadhan Al Mubarak yang datang setahun sekali sahaja ini. Marilah kita berazam untuk terus mengislah dan memperbaiki diri dan keluarga kita.

Masih belum terlewat (bagi yang belum) untuk esok kita kemas dan bersihkan rumah, basuh songkok/kopiah dan telekung serta jubah (jika tidakpun membeli yang baharu) bagi menyediakan "mood" diri kita, isteri dan anak-anak untuk menyambut bulan yang dipenuhi sejuta rahmat ini...

Moga Allah swt membantu kita untuk menghidupkan Ramadhan pada tahun ini.
Bantulah kami ya Rabb, 'Azzawajalla...

Selamat Menyambut Ramadhan Mubarak 1430H!


Wassalam

Nahar Md Nor
Setiausaha Agung JIM

30 Sya'ban 1430 H
21 Ogos 2009

No comments:

Post a Comment