Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, dengan kerjasama hampir 100 Badan Bukan Kerajaan (NGO) mempunyai cara tersendiri menyambut kemerdekaan ke 52, pada kali ini.
Esok, satu konvoi membabitkan 100 buah kereta dan motosikal akan bergerak dari daerah Gombak dan Hulu Klang menuju ke Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Program yang dinamakan “Ramadan d Ambang Merdeka” ini, bertujuan menyambut kemerdekaan Negara dalam suasana memuliakan Ramadan, di samping menanamkan semangat patriotisma di kalangan anggota masyarakat.
Pengarah Program Ramadan d Ambang Merdeka, Zun Arif Hakim Abdul Rahman berkata, konvoi ini akan dilepaskan oleh ADUN kawasan masing-masing, iaitu Azmin Ali dan Saari Sungib.
Dalam sidang media bersama Imam Besar Masjid Negeri, Ahmad Mustapha Mohd Sidin, Zun Arif berkata, program ini juga akan diisi dengan tazkirah, persembahan nasyid dan tayangan video, sementara menunggu detik 12 malam.
Selain itu, acara berbuka puasa, solat sunat tarawih dan moreh juga akan disertai peserta terbabit, esok.
“Acara kemuncak adalah laungan takbir tepat jam 12 tengah malam 31Ogos dan diakhiri dengan Solat Hajat berjemaah di masjid ini,” katanya.
Zun`Arif menjangka, lebih 5,000 orang bakal hadir memeriahkan sambutan unik yang menepati kehendak Islam bagi meraikan kemerdekaan Negara dalam bulan yang mulia ini.
Antara Badan Bukan Kerajaan yang terlibat ialah Persatuan Penggiat Industri Nasyid Malaysia(PIN),Palestine Centre of Excellence (PACE), Sahabat Ihsan dan Iman Malaysia(SIDIM), Jamaah Islah Malaysia (JIM) dan banyak lagi.
Tetamu khas yang diundang bagi menyerikan lagi sambutan ini ialah ADUN Kota Anggerik, Yaakob Sapari dan ADUN Batu 3, Rodziah Ismail.
Zun Arif yang juga merupakan Senior Fellow Palestine Centre of Excellence, berkata program esok akan bermula seawal jam 4 petang hingga menjelang tengah malam 31Ogos.
No comments:
Post a Comment