|
DALAM satu kisah, Nabi pernah menasihati Ibnu Abbas sebagaimana yang diriwayatkan oleh Tirmizi: "Suatu hari, ketika aku berjalan di belakang nabi, lalu baginda berkata kepadaku,
"Wahai anak muda! Sungguh, aku ajarkan kamu beberapa kalimah, Peliharalah Allah, pasti Allah memelihara kamu, pelihara Allah pasti kamu dapati Allah selalu di hadapan kamu. Apabila kamu meminta, mintalah kepada Allah, apabila kamu memerlukan bantuan, mintalah bantuan kepada Allah."
Sebagai hamba-Nya yang mengakui bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah, sudah pastinya kata nasihat Rasulullah SAW yang berbunyi, "Peliharalah Allah, pasti Allah memelihara kamu" di atas, harus diambil perhatian serius, seterusnya diterapkan dalam kehidupan setiap individu Muslim, waima apa status mereka sekalipun.
Malah membina hubungan baik dengan Allah turut ditegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: Apabila kamu mengingati-Ku, supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan. (al-Baqarah: 152)
Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM), Prof. Madya Dr. Anisah Abdul Ghani sewaktu membentangkan kertas kerja bertajuk, 'Perbanyakkan amal, jauhi maksiat' menjelaskan, dalam menghadapi tekanan hidup, apatah lagi ke atas golongan tanpa suami, maka menjaga hubungan dengan Allah adalah amat-amat diperlukan.
Ini kerana golongan sebegini sering dilempar dengan pelbagai tohmahan yang sudah pastinya menyentap dan mengguris hati kecil seorang wanita. Ditambah pula dengan lemparan gelaran dan jolokan seperti 'janda berhias', 'janda meletup' 'andartu' dan 'andalusia'.
Padahal sepatutnya, golongan ibu tunggal harus dibela kebajikan dan dijaga sensitiviti mereka. Besar kemungkinan juga, segelintir wanita yang tidak berkahwin itu bukannya memilih, jauh sekali menafikan sunnah Nabi. Tetapi semua itu adalah dugaan Allah Yang Maha Mengetahui.
Sayangnya, itulah realiti masyarakat kita yang sesuka hati melabelkan seseorang itu tanpa meletakkan diri mereka ditempat si pulan itu.
Hakikatnya, lelucon yang berlebihan dan sindiran yang menyakitkan itu memberi kesan kepada mental, spiritual dan emosi individu yang dimaksudkan itu.
Tambah memburukkan keadaan apabila ada segelintir mengaitkan golongan sebegini dengan perlakuan maksiat dan tidak bermoral. Meskipun tidak dinafikan ada kes sedemikian, namun punca utamanya bukanlah disebabkan oleh status mereka itu.
Lantaran itu, selagi individu yang terpaksa memikul bebanan atas tuduhan yang tidak berasas ini berpegang dengan pendirian setiap sesuatu itu adalah dengan kehendak-Nya, kata Dr Anisah, mungkin tekanan ini dapat dikurangkan atau dijadikan penawar atau sebagai pemujuk hati.
"Oleh itu, sekiranya seseorang itu hendak mengamalkan apa yang dituntut oleh syarak' itu, maka dia terlebih dahulu kena memahami apa matlamatnya Allah jadikan kita (manusia) di atas muka bumi ini dan apakah matlamat kita dalam kehidupan ini?
"Sekiranya perkara ini tidak jelas, akan timbul kesukaran untuk bertindak secara istiqamah serta melahirkan rasa iltizam, yang membolehkan kita mengenal Allah serta melahirkan rasa tenang meskipun dilingkari dengan pelbagai masalah," terang Dr Anisah.
Beliau berkata demikian pada Forum Wanita Tanpa Suami: Bukan Golongan Terpinggir anjuran Wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) yang berlangsung di Auditorium A, Kuliyyah Kejuruteraan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Selangor, baru-baru ini.
Ulas Anisah lagi, matlamat manusia dijadikan oleh Allah SWT tidak lain dan tidak bukan ialah untuk kita mengabdikan diri kepada-Nya.
Ini dijelaskan menerusi surah al-Dzariyat ayat 56 yang bermaksud: Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku.
Ini bermakna, manusia kena tunduk dan patuh, taat kepada semua arahan, ajaran Allah SWT secara total.
"Di samping itu, kita juga mestilah meninggalkan atau menghindari larangan-larangan Allah SWT agar ia menjadi benteng kepada kita untuk melayari kehidupan ini dalam keadaan tenang," katanya.
Contohnya, kata Anisah, ibadat solat yang diketahui menghubungkan secara terus hamba-Nya dengan Allah SWT.
Hakikatnya, penyerahan secara total kepada Allah serta doa yang ikhlas itu akan menatijahkan rasa tenang dalam jiwa setiap seseorang itu. "Sebagaimana firman Allah: Dirikanlah solat supaya kamu mengingati-Ku. Ini bermakna dengan kita mengingati Allah, ia memberi satu ruang kepada kita untuk kita tidak terlalu terbeban dengan pelbagai cabaran hidup..
"Apatah lagi, setiap keluhan kita itu didengar oleh Allah Yang Maha Mendengar Lagi Maha Mengasihani, " jelas beliau.
Selain itu, Dr Anisah menambah, manusia juga kena tegaskan pada diri bahawa tiada kuasa yang lebih tinggi selain daripada Allah.
"Walaupun dalam rumah tangga, isteri wajib mentaati dan mematuhi suami tetapi seandainya apa yang disuruh itu bertentangan dengan ajaran Islam, maka tidaklah dikira berdosa kita mengingkari arahan suami itu," ujar beliau.
Katanya, di samping solat banyak lagi ibadat lain untuk menunjukkan pengabdian kita kepada Allah.
Selain itu menurutnya, tanggungjawab berat membesar dan mendidik anak-anak ditambah pula terpaksa bekerja demi menyara kehidupan anak-beranak, jangan sekali-kali dianggap sebagai satu bebanan.
Seperkara yang perlu diingat bahawa keberkatan sebagai ibu mendidik anak dan mencari nafkah itu adalah menjadi satu ganjaran pahala yang tidak terhingga daripada Allah.
Malah pada masa sama dengan kesabaran serta sentiasa reda dengan takdir-Nya, nescaya Allah akan memberi jalan keluarnya serta pahala yang tidak terhingga.
"Ditinggalkan suami atau lewat berkahwin, itu semuanya bukan alasan untuk berputus asa atau hilang harapan atau pedoman hidup. Malah bukan juga dianggap jalan buntu dalam meneruskan kehidupan," katanya.
Dr Anisah berharap, sebagai seorang Muslim sejati janganlah sekali-kali terlintas dalam fikiran, jauh sekali melakukan perkara-perkara haram di sisi agama, waima untuk mendapatkan rezeki untuk sesuap nasi sekalipun.
"Misalnya, mengambil jalan mudah dengan melacurkan diri dengan alasan Allah memahami situasi terdesak kita.
"Namun hakikatnya, apabila kita melakukan satu perkara yang haram, Allah akan menimpakan banyak lagi bala kepada kita. Sebaliknya, apabila kita tinggalkan perkara maksiat, Allah akan memberi ganjaran," pesan Dr Anisah tengah hari itu.
Sementara itu, Ketua Wanita JIM Pusat, Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj menjelaskan, yang dikategorikan wanita tanpa suami terbahagi kepada empat.
Pertama, wanita yang sudah sampai usia yang layak untuk berkahwin tetapi tidak ada jodoh. Ini berkemungkinan berpunca daripada banyak faktor.
Kedua, Golongan wanita yang sebelum ini pernah berkahwin tetapi sekarang menjalani hidup tanpa suami. Kebiasaannya mereka ini adalah sama ada kerana bercerai hidup ataupun mati dan hidup dengan status janda atau balu.
"Kategori ketiga pula ialah ibu yang ditinggalkan suami atau gelarannya ibu tinggal. Ini mungkin kerana suami tidak bertanggungjawab, dipenjara atau di dalam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
"Golongan keempat pula, wanita yang sepatutnya bersuami tetapi tidak bersuami atau dengan maksud lain, wanita hamil luar nikah," kata Dr. Harlina.
Baginya, setiap satu kategori ini mempunyai masalah masing-masing yang unik.
Beliau berkata demikian dalam ucaptamanya yang bertajuk, 'Wanita Tanpa Suami: Cabaran, Peranan dan Sumbangan kepada Masyarakat'.
Malah tegas Dr. Harlina lagi, penganjuran forum ini bukan bertujuan menimbulkan sentimen anti lelaki.
Sebaliknya, apa yang cuba diketengahkan dalam forum ini ialah realiti yang sedang berlaku di negara iaitu golongan wanita tanpa suami ini, sebenarnya semakin ramai.
Sungguhpun mereka seringkali menerima pelbagai label daripada masyarakat yang kebanyakannya berbaur negatif tetapi Dr. Harlina tidak meletakkan senario ini sebagai satu gejala sosial yang semakin memburukkan.
Oleh sebab itulah, kata beliau, jika setiap Muslimin itu mengikut ajaran yang telah digariskan oleh Islam, tidak mustahil usaha untuk menuju sifar gejala sosial tercapai.
"Selain itu, ibu bapa juga perlu menunjukkan contoh teladan yang baik kepada anak-anak terutamanya dalam membina hubungan yang harmonis di dalam sebuah institusi kekeluargaan.
"Hal ini perlu diambil perhatian kerana salah satu alasan popular tidak berkahwin adalah disebabkan fobia kerana memperoleh contoh yang tidak sihat menerusi perkahwinan ibu bapa mereka," kata Dr. Harlina.
No comments:
Post a Comment