1.0. Pengantar.
1.0.Idealsme kita.
Dari dulu kita mengharapkan semua keluarga kita akan menjadi keluarga du`at yang dapat dijadikan muntalaq atau pengkalan ledak kepada kebangkitan ummah. Ia diharapkan dapat berfungsi sebagai industri yang akan menjana tenaga dakwah yang mampu memikul dan menggarap tugas menegakkan hakimiyah ilahiyah di bumi Allah ini.
2.0.Keluarga Du`at Dalam Era Globalisasi.
Di era globalisasi, keluarga dakwah akan menghadapi keadaan yang lebih mencabar. Berbagai bentuk cabaran, umumnya cabaran globalisasi menjadikan langit terbuka. Ia tidak mampu dikunci lagi. Maklumat positif dan negatif, hiburan bernilai dan tak bernilai, lucah dan tak lucah, komunikasi silang jantina, silang julat usia, budaya, akhlak, agama, `asi dan muttaqi tiada kawalannya lagi. Ia sudah sampai ke bilik tidur. Oleh itu di era ini keluarga dakwah mestilah lebih berdaya tahan, ada imuniti kendiri, berdaya maju, mampu mengkondisi diri dengan suasana berasaskan konsep, nilai dan neraca agama.
3.0. Cabaran Keluarga Du`at Dalam Era Globalisasi.
Keluarga du`at dalam era globalisasi menghadapi cabaran-cabaran berikut:
3.1.Cabaran Memastikan Keluarga Sentiasa Bahagia.
Keluarga yang tidak bahagia, apa lagi yang porak peranda tidak akan mampu menjadi keluarga du`at yang efektif dalam era globalisasi. Oleh itu adalah menjadi cabaran kepada keluarga duat merealisasikan prinsip-prinsip keluarga Islam dan rukun keluarga bahagia.
Keluarga du`at mestilah sebuah keluarga yang mengamalkan nilai-nilai rabbani, bermusyawarah, mengamalkan persamaan hak dan adil. Ia mestilah keluarga yang penuh ketenangan, (sakinah) kasih sayang, (mawaddah) dan timbang rasa (rahmah). Keluarga du`at mestilah mengamalkan komunikasi yang baik dan mampu menyelesaikan masalah dengan baik.
3.2.Cabaran Memelihara Adab dan Tatasusila Islam.
Keluarga du`at menghadapi cabaran untuk memastikan ia sentiasa ber`aurah dengan menjaga karamahnya, memelihara hukum halal haram, tatacara hidup Muslim, adab-adab Islam dalam semua aspek seperti pergaulan, perhiasan, hiburan, budaya, sederhana dan lainnya.
3.3. Cabaran Mempengaruhi Ahli Keluarga Menerima Ajaran Islam
Ketua keluarga du`at menghadapi cabaran untuk dia mampu mempengaruhi isi keluarganya supaya menerima ajaran Islam yang syumul serta mengamalkannya. Dia juga sepatutnya mampu mendorong ahli keluarga menghormati fikrah Islam yang sahih dalam proses pengislahan masyarakat. Seterusnya dia harus mampu membawa mereka ke dalam kancah perjuangan dakwah.
3.4.Cabaran Mengamalkan Prinsip al-`Afaf.
`Afaf bererti enggan atau mengelak diri daripada melakukan sesuatu yang haram atau sesuatu yang dilihat tidak baik, tidak bermaruah dan tidak bermoral. Ringkasnya, menjaga kehormatan diri daripada sesuatu yang menghinakan dan menjatuhkan maruah..
`Afaf adalah salah satu dari tiga perkara yang terawal diperintahkan Rasulullah s.a.w. kepada para sahabat :
قال أبو سفيان : امرنا رسول الله (ص) بالصلاة والعفاف
“ Kata Abu Sufian: Baginda memerintahkan kami solat, bersikap benar dan `afaf”.
Mengambil berat terhadap `afaf dapat dilihat dalam tegahan-tegahan dari perbuatan-perbuatan yang menjatuhkan maruah seperti zina, khalwat, memelihara kehormatan wanita, pendedahan aurat dan tabarruj. Rasulullah berkali-kali berwasiat tentang wanita; baik dalam bentuk berawas terhadap fitnah wanita, penjagaan sewajarnya ke atas wanita dan lainnya.
Ini bukan bererti wanitalah punca kejahatan, tetapi ia menjelaskan satu hakikat dalam masyarakat ( dulu dan kini ) bahawa hubungan seks dan cinta antara lelaki dan wanita merupakan titik mula kepada penyelewengan, malah kegelinciran, sekiranya ia berlaku menurut nilai jahiliyah. Lebih ketara jika kita kembali kepada fitrah asli lelaki terhadap wanita; dia mahu menguasai wanita sebanyak yang termampu. Soalnya bukan kemampuan, tetapi `afaf dan kesan tidak menjaga `afaf ke atas keluarga dan seterusnya kesan ke atas dakwah.
Dalam konteks dakwah, penilaian yang jelas terhadap persoalan ini amat penting, baik bagi genearasi du`at ibubapa, lebih-lebih lagi generasi pewaris.
Sekiranya seks dan cinta konsep jahiliah yang mendominasi keluarga dakwah dan masyarakat ia akan mempengaruhi kelancaran dakwah. Kerana dalam masyarakat yang seperti ini gulungan du`at atau mereka yang kuat berpegang dengan Islam yang tidak searus dengan masyarakat akan menghadapi dua keadaan:-
- Mereka diajak sama mengamalkan seks dan cinta masyarakat jahiliyah. Jika enggan, mereka akan difitnahkan. Kisah Juraij dengan pelacur contoh paling tepat. Mungkin ada contoh semasa. Mungkin pengendali Raudhtus Sakinah banyak contoh.
- Masyarakat jahiliyah akan mentafsirkan seks dan cinta dengan satu tafsiran yang bercanggah dengan hakikat seks dan cinta itu sendiri. Mereka akan terus menganggap tafsiran yang tidak sealiran dengan mereka ada kelemahan atau luar biasa, padahal merekalah yang luar biasa.
Selain perkara di atas, seks dan cinta punya daya kekuatan untuk berkembang dengan cepat, kerana ia didorong oleh kekuatan daya syahwat, sedangkan syahwat itu sendiri sebahagian dari naluri manusia.
Oleh itu, prinsip `afaf yang dijuruskan kepada persoalan seks dan cinta perlu dikendali dengan baik dalam keluarga. Nilai seks dan cinta hakiki perlu diterap dalam keluarga, terutama kepada pewaris. Pewaris dan ketua keluarga yang terjebak dalam seks dan cinta jahiliyah tidak akan efektif mewarisi dan mewariskan dakwah.
Keluarga yang berjaya memastikan prinsip `afaf akan mampu mengendalikan hubungan seks dan cinta antara suami isteri (terutama yang telah senior) dan antara anak-anak dan pasangan mereka dengan baik.
Kejayaan mengamalkan prinsip 'afaf ini berkait rapat dengan kejayaan dakwah, sebab itulah sewaktu mendengar perintah Rasulullah s.a.w. yang disampaikan Abu Sufian, maharaja Rum terus faham dan berkata:
“ kalaulah apa yang beliau katakan itu benar,beliau akan memiliki tempat berpijakku ini” .
Dalam era globalisasi ini cabaran memelihara prinsip al-'afaf ini amat mencabar. Mudahnya mendapat bahan-bahan seks, mudahnya komunikasi maya menjadi pemangkin yang berkesan ke arah terkuburnya prinsip al-'afaf . Kita ada pengalaman dan kisah-kisah benar.
(bersambung)
No comments:
Post a Comment