Islah & Wanita Gemilang
Friday, June 19, 2009
QIYAMULLAIL : TUNTUTAN DAN KEPENTINGANNYA KEPADA PENDAKWAH
Ta’rif
Qiyamullail diambil dari bahasa Arab, gabungan dua patah perkataan iaitu qiyam dan al-lail yang membawa makna ‘bangun’ dan ‘malam’ untuk tujuan beribadat sama ada bersolat, berzikir atau berdoa. Amalan Qiyamullail ini adalah sangat-sangat dituntut dalam Islam berdasarkan banyak ayat-ayat Al-Quran dan hadits-hadits. Ia merupakan amalan Nabi-nabi, rasul-rasul dan golongan salaf.
Tuntutan dan Kelebihan Qiyamullail
Sebagai contohnya, firman Allah dalam surah Al-Muzammil ayat 1-5 yang bermaksud :
“Wahai orang yang memakai pakaian ! Bangunlah berjaga malam (bersolat) selain sedikit waktu saja, seperduanya atau kurangkan lagi daripada itu, dan bacalah Al-Quran dengan terang dan perlahan-lahan. Kami akan memberimu perkataan yang berat”.
Juga firman Allah dalam surah As-Sajadah ayat 16 yang bermaksud :
“Mereka meninggalkan tempat tidur mereka menyeru tuhan mereka dengan penuh kecemasan dan pengharapan ….”.
Manakala di dalam banyak hadits terdapat gesaan dari Rasulullah s.a.w agar umat Islam berqiyamullail, sebagai contohnya apa yang diriwayatkan oleh At-Tirmizi dengan sanad yang sohih bahawa Nabi pernah bersabda bermaksud :
“Wahai umat Islam , tebarkanlah salam , dan berilah makan , dan jalinlah silaturrahim sesama kamu dan solatlah ketika orang lain tidur, nescaya kamu akan masuk syurga dengan salam ( selamat )”.
( At-Tirmizi : 2487, Ibn Majah : 1334, 3451, Ahmad 5 / 451 , Hakim 3 / 13, 4 / 160, Thobaqat Ibn Sa’ad 1 / 235, Ad- Darimi 1 / 340-341 ).
Hassan Basri r.a pernah berkata :
“Aku tidak pernah jumpa suatu ibadat yang lebih utama dari bersolat pada waktu tengah malam”. Beliau kemudiannya ditanya : Mengapa orang-orang yang bangun bertahajjud ( qiyamullail ) lebih baik wajahnya pada hari dibangkitkan di padang mahsyar dari orang lain . Beliau menjawab kerana mereka sentiasa bertemu dengan Allah secara bersendirian menyebabkan Allah memakaikannya dengan nurNya .( Mukthosar Minhajil Qosidin : hlm 60 )
Qiyamullail Amalan Nabi-nabi dan Salafussoleh
Qiyamullail merupakan amalan salafussoleh (golongan terdahulu) seperti yang disebutkan oleh Nabi Muhammad s.a.w dalam satu hadits yang lain bermaksud :
“Hendaklah kamu berqiyammullail sesungguhnya ia adalah amalan orang-orang soleh sebelum dari kamu , ia adalah jalan menghampiri tuhan kamu dan cara menghapuskan dosa-dosa kamu serta cara menjauhi dosa-dosa”
.( At-Tirmizi : 3459 )
Nabi s.a.w sendiri pun sentiasa bangun malam untuk bertahajjud, berzikir dan beristighfar sehingga bengkak-bengkak kaki baginda. Al-Mughirah bin Syu’bah meriwayatkan hadits yang bermaksud :
Tidakkah telah diampunkan dosamu wahai Rasulullah ?, para sahabat bertanya. Nabi menjawab : Tidakkah patut aku menjadi hamba yang bersyukur .
( Muttafaqun Alaihi , Ihya Ulumiddin . hlm. 418 )
Menunaikan Solat Dua Rakaat Untuk Menghadapi Kesunyian Kubur.
Rasulullah saw. amat menggalakkan umatnya bangun malam untuk bertemu dengan Allah, bersolat dan mengabdikan diri kepadanya. Di dalam ‘Bahtera Penyelamat Dalam Kehidupan Pendakwah’ karangan Al-Ustaz Prof. Dr. Fathi Yakan, ada disebutkan betapa penting para pendakwah bangun berqiyamullail dengan harapan semoga Allah memberi kekuatan kepadanya, keikhlasan dan ketabahan dalam menghadapi liku-liku perjalanan dakwah yang dilalui .Kesusahan yang dihadapi dalam menjalankan kegiatan dakwah dan amal islami akan menjadi ringan dengan cara menjalin hubungan langsung dengan Allah menerusi aktiviti qiyamullail yang menjadi rutin kehidupan seseorang pendakwah itu. Pendakwah haruslah mengingatkan diri mereka bahawa tidak ada tempat lain bagi mereka memohon pergantungan melainkan hanya kepada Allah.
Di dalam satu hadits yang panjang, Nabi saw. menyebut yang bermaksud :
“Dan tunaikanlah solat dua rakaat dalam kegelapan malam bagi menghadapi kesunyian alam kubur” .
Sembahyang malam tidak dapat ditandingi oleh sebarang ibadat. Ia membekalkan kita dengan potensi dan daya juang yang hebat seperti yang disebut oleh Allah swt. dalam surah Al-Muzammil ayat 6 yang bermaksud :
“Sesungguhnya jiwa yang terbentuk di waktu malam itu lebih mantap ( keperibadiannya ) dan lebih jitu kata-katanya” .
Berpandukan kepada ayat di atas, para pendakwah yang ingin melihat perubahan pada diri orang yang didakwahnya haruslah tidak mengabaikan tanggungjawab berqiyamullail .
Diriwayatkan bahawa Jibril datang bertemu Nabi saw. lalu berkata “Hai Muhammad, hiduplah seperti mana yang engkau mahu namun engkau akan mati. Berbuatlah apa yang engkau mahu namun engkau pasti akan dibalas kelak. Cintalah sesiapa yang engkau kehendaki namun engkau pasti akan berpisah dengannya. Ketahuilah kemuliaan seseorang Islam disebabkan qiyamullail manakala kehebatannya disebabkan tidak mengharapkan sesuatu dari orang lain.
( Riwayat At-Tabrani )
Jika seseorang itu tidak mampu mengamalkan perkara ini dan membudayakannya dalam kehidupan maka kegiatan dakwah yang dilakukan menjadi kurang berkesan. Bencana yang menimpa umat Islam hari ini adalah disebabkan kekurangan individu yang mempunyai ciri-ciri dakwah dan akhlak yang sepatutnya.
Bagaimana Memudahkan Qiyamullail ?
Sayugia diingatkan bahawa terdapat beberapa halangan yang pasti dihadapi untuk melaksanakan ibadat ini. Dalam hadits disebutkan apabila seseorang hendak menunaikan sembahyang malam datanglah malaikat seraya berkata kepadanya : “Bangunlah , hari telah pagi , solat dan ingatlah kepada Tuhanmu” . Syaitan pula datang dan memujuknya dengan berkata : “Malam masih panjang , tidurlah lagi . Nanti engkau bangunlah”. Sekiranya dia bangun maka badannya menjadi ringan dan cergas ( sihat ). Jika tidak bangun dan tidur hingga ke siang hari maka syaitan telahpun kencing dalam telinganya.
Di antara langkah-langkah yang patut diambil bagi mengelakkan diperlakukan oleh syaitan sedemikian rupa, di mana Al-Imam Al-Ghazali memberikan kepada kita beberapa teknik supaya mudah berqiyamullail. ( Ihya Ulumiddin hlm. 421 ). Antaranya :
1. Kurangkan makan .
2. Kurangkan kerja-kerja berat yang menyebabkan badan menjadi letih dan tidak mampu bangun pada malam hari .
3. Hendaklah tidur sebentar di waktu siang sebelum atau selepas zohor seperti yang diamalkan oleh Nabi saw.
4. Elakkanlah daripada melakukan sebarang dosa sama ada melibatkan percakapan, perbuatan dan niat. Sufiyan At-Thauri berkata : Aku tidak dapat berqiyamullail selama lima bulan disebabkan dosa yang ku lakukan .
Tingkatan Mereka Yang Berqiyamullail
Menghidupkan malam atau berqiyamullail mempunyai beberapa cara . Antaranya :
1. Menghidupkan keseluruhan malam. Ini ada diriwayatkan pernah dilakukan oleh ramai Salaf. Barangkali ini sesuai dilakukan pada hari-hari cuti secara berjemaah .
2. Menghidupkan separuh malam. Cara yang dilakukan ialah malam dibahagikan kepada enam bahagian. Sepertiga yang pertama untuk tidur, seperdua kedua untuk qiyamullail dan seperenam yang akhir adalah untuk berehat .
3. Menghidupkan sepertiga malam. Iaitu dengan cara tidur seperdua yang awal dan seperenam yang akhir. Menurut athar ini adalah amalan Nabi Daud a.s. Di dalam Sahih Bukhari dan Muslim ada disebutkan sebaik-baik qiyamullail adalah apa yang dilakukan oleh Nabi Daud a.s, baginda tidur seperdua, qiyam sepertiga dan tidur seperenam yang baki. Tidur di akhir malam itu sebelum subuh boleh menghilangkan mengantuk pada waktu siang nanti. Tetapi haruslah diingat agar tidak terlajak tidur hingga mengakibatkan tertinggal solat subuh . Paling baik bagi golongan muslimin ialah bersolat subuh secara berjemaah pada pagi itu kerana seperti yang disebut dalam hadits sahih, Solat subuh berjemaah menyamai ibadat Qiyamullail seluruh malam .
4. Mendirikan seperenam ataupun seperlima malam dan sebaik-baiknya pada separuh yang terakhir.
5. Berqiyamullail tanpa mengambil kira mana-mana bahagian malam kerana tidak mampu mengikuti panduan di atas.
Qiyamullail Untuk Golongan Yang Uzur.
Halangan seperti sakit, haid, nifas dan keuzuran syar’ie yang lain, tidaklah menyebabkan gugurnya tuntutan berqiyamullail. Mereka boleh duduk menghadap kiblat sambil mengingati Allah dan berdoalah apa yang dikehendaki. Jika tidak berkemampuan maka bolehlah dilakukan dalam keadaan baring. Ini kerana Nabi ada bersabda dalam satu hadits Sahih yang bermaksud :
“Pada waktu malam ada satu waktu Allah swt. menerima segala permintaan hambanya iaitu sewaktu qiyamullail”. ( Muslim 2 / 175 )
Amaran Bagi Mereka Yang Meninggalkan Qiyamullail.
Di dalam hadits sahih riwayat Bukhari dan Muslim , Nabi saw bersabda:
“Janganlah jadi seperti folan itu ( dia ) , dahulu dia berqiyamullail, sekarang tidak”.
( Al-Bukhari 2/68 , Muslim 3/164 ) .
Namun begitu ini hanyalah amaran kepada mereka yang selalu qiyamullail .
Malam-malam Yang Digalakkan Berqiyamullail
1. Tujuh hari dalam Ramadhan iaitu hari ke 17, di mana berlakunya pertempuran Badar dan 6 hari-hari terakhir bulan Ramadhan.
2. Lapan hari yang lain iaitu pada hari pertama Muharram, malam hari A’syura ( 10 Muharram ), awal Rejab, pertengahan Rejab, 27 Rejab di mana berlaku Isra’ dan mikraj, Nisfu Syaaban, malam Arafah ( 9 Zulhijjah ), malam dua hari raya ( Fitri dan Adha ) .
3. Hari-hari terpilih dalam seminggu pula ialah hari Isnin dan Khamis dan pada hari ke 11, 12 serta 13 tiap-tiap bulan Islam . Hari-hari ini juga digalakkan berpuasa .
Rujukan
- Al-Quran Al-Karim
- Sohih Al-Bukhari
- Sohih Muslim
- Jami’ At-Tirmizi
- Ihya` Ulumiddin lil Ghazali takhrj Al-‘Iraqi
- Mukhtasar Minhajil Qosidin lil Maqdisi
- Mukhtasar Qiyamillail lil Marwazi
- Qawaribun Najati Fi Hayatid Duat li Fathi Yakan
- Panduan Praktikal Qiyamullail (Telaga Biru Sdn Bhd) Us Nik Ab Rahim
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment