”Apa pendapat Cik Dah tentang penceramah tadi?” Cik Yah bertanya rakan belajarnya di sebuah surau di pinggir kota tentang ’ustaz’ yang baru pertama kali mengajar di surau mereka.
”Bagus. Isinya padat. Penyampaiannya jelas dan mantap,” ulas Cik Dah.
”Maksud saya tentang orangnya...!”
”Kenapa?” Cik Dah tidak begitu faham apa maksud Cik Yah.
”Saya nampak orangnya serius je.”
”Dia mengajar agama. Perkara yang disampaikan adalah berkaitan dengan masalah hidup dan mati kita. Ini perkara serius. Takkan dia nak buat lawak pula!”
”Cik Dah rasa kalau dengan isterinya di rumah, dia romantis tak?”
”Eh, Cik Yah ni! Ke situ pula fikirannya!”
”He he...” Cik Yah tergelak disambut oleh Cik Dah.
Suami yang romantis memang menambat hati isteri. Sebaliknya suami yang bersikap serius, garang dan tidak suka bersembang dengan ahli keluarga menjadi punca retaknya hubungan dan kurangnya kemesraan dalam rumah tangga. Akibatnya, yang selalu menderita memendam rasa adalah para isteri.
Allah s.w.t. memerintahkan para suami agar menggauli isteri-isteri dengan cara yang baik. Allah s.w.t. berfirman (maksudnya):
”Wahai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan paksaan dan janganlah kamu menyakiti mereka (dengan menahan dan menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian daripada apa yang kamu telah berikan kepadanya, kecuali (apabila) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata, dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).”
(An-Nisa’:19)
Ketika membincangkan hukum kekeluargaan dan hubungan suami isteri dalam surah al-Baqarah mulai ayat 222 hingga 242, kita dapati Allah s.w.t. menyebut berulang kali perkataan-perkataan yang membawa maksud kebaikan. Perkataan ma’ruf sahaja diulang sebanyak 12 kali di samping beberapa kali perkataan islah, ihsan dan ‘afw (kemaafan).
Rasulullah s.a.w. adalah contoh terbaik dalam semua perkara, tidak terkecuali dalam hubungannya dengan para isteri baginda. Di rumah baginda sentiasa tersenyum, ketawa, berjenaka den menolong kerja-kerja isteri. Lantaran itu baginda sangat disayangi oleh keluarga baginda sehingga pernah salah seorang isteri baginda menawarkan baginda supaya berkahwin dengan adiknya sendiri.
Pada suatu hari Ummul Mukminin, Ummu Habibah binti Abi Sufyan berkata kepada suaminya, Rasulullah s.a.w.:
”Ya Rasulullah! Nikahilah ukhti (adik kandungku)”.
Rasulullah s.a.w. bertanya untuk mendapatkan kepastian dan mengetahui apakah sebab yang mendorong Ummu Habibah mengemukakan cadangan yang luar biasa itu? Berkongsi suami bukanlah sesuatu yang digemari oleh wanita atau mungkin lebih tepat sesuatu yang sangat dibenci dan ditakuti oleh wanita. Tetapi lain pula halnya isteri Rasulullah s.a.w. yang satu ini.
”Apa betul kamu suka saya berkahwin dengan adik kandungmu?”
Tanpa teragak-agak, Ummu Habibah menjawab:
”Ya! Selama ini pun saya tidak bersendirian (maksudnya: dia bukan satu-satunya isteri kepada baginda. Malah baginda mempunyai beberapa orang isteri selain dirinya). Jadi saya suka kebaikan ini dikongsi oleh adik saya sendiri.”
Lihat betapa mendalamnya kasih sayang Ummu Habibah kepada suaminya Rasulullah s.a.w. dan betapa dia berasa begitu beruntung memiliki suami yang sangat penyayang, mesra dan bijak melayani isterinya-isterinya. Maka dia terfikir alang-alang dia sudah berkongsi kebaikan dan keberuntungan itu dengan wanita lain, lebih baik dia berkongsi dengan adik kandungnya sendiri.
Akhirnya Rasulullah s.a.w. menjelaskan dengan lemah lembut dan penuh hikmah bahawa baginda tidak boleh berkahwin dengan adik Ummu Habibah kerana seseorang lelaki tidak halal mengahwini adik-beradik isterinya (kecuali selepas isterinya meninggal dunia atau telah diceraikan).
Jawapan itu belum memuaskan hati Ummu Habibah. Dia berkata:
”Kami diberitahu bahawa Rasulullah akan berkahwin dengan puteri Abu Salam.”
Rasulullah s.a.w. bertanya meminta kepastian:
”Maksud kamu, puteri Ummu Salamah?”
Ummu Habibah menjawab:
”Ya.”
Jawapan ini langsung tidak menimbulkan kemarahan Rasulullah s.a.w. Baginda. tidak melenting dan menengking dengan kata-kata seperti:
”Dari mana kamu dapati cerita karut ni? Tidakkah kamu tahu bahawa dia anak tiri aku? Seorang lelaki tidak boleh berkahwin dengan anak tirinya sendiri!”
Tidak sekali-kali. Baginda tidak pernah bercakap seperti itu walaupun apa yang dikatakan oleh Ummu Habibah memang sesuatu yang tidak masuk akal.
Dengan tenang baginda menjelaskan:
”Kalau bukan kerana gadis itu anak tiriku, dia tetap tidak halal untukku kerana Abu Salamah adalah saudara sesusu denganku. Kami sama-sama disusukan oleh Thuwaibah. Maka janganlah kalian mengemukakan adik-beradik serta puteri-puteri kalian kepadaku.”
(Riwayat al-Bukhari)
lagi artikal menarik di malaysiaharmoni
No comments:
Post a Comment