Islah & Wanita Gemilang

Tuesday, June 9, 2009

MEMBINA KELUARGA DU'AT: Cabaran Dalam Era Globalisasi (2)

(sambungan)

Ustaz Alias Othman

3.5.Cabaran Menjajarkan Rumahtangga Dengan Dakwah.

Penjajaran ini bermaksud menyesuaikan kehidupan dalam rumahtangga supaya selari dengan perkembangan dakwah organisasi dalam semua aspek.

Penjajaran ini penting dalam membentuk keluarga du`at yang efektif, kerana penjajaran inilah yang akan membentuk konsep, nilai, prihatin, keutamaan-keutamaan dalam hidup, komitmen dan tanggungjawabnya terhadap dakwah. Kegagalan ketua keluarga menjajarkan kehidupan keluarganya dengan dakwah organisasi akan menimbulkan kekeliruan pewaris terhadap hal-hal di atas. Kekeliruan ini akan menatijahkan sikap negatif mereka terhadap aktiviti dakwah.

Penjajaran ini boleh dilakukan melalui dua perkara terpenting; tajarrud dan kafalah.

3.5.1.Tajarrud.

Tajarrud menyerah atau mewaqafkan diri untuk dakwah. Dalam konteks keluarga du`at tajarrud tidak harus dibatasi kepada pengertian mewaqafkan diri sahaja, malah ia mesti diluaskan kepada pengertian: kesanggupan untuk mengorbankan diri, keluarga dan apa yang dimiliki untuk tujuan dakwah dan sanggup bersabar menanggung kehilangannya.

Dalam konteks keluarga du`at ia bermaksud seseorang mempunyai harta, isteri dan zuriat yang dikasihi. Tajarrud bererti dia sanggup mengorbankan kehidupan bersama mereka jika keadaan dakwah memerlukan pengorbanan itu, malah mengorbankan isteri dan zuriatnya sendiri. Kisah yang berlaku ke atas Nabi Ibrahim dan Ismail, Nabi Ayub kehilangan isteri, perkahwinan Nabi Musa di saat-saat kegentingan dakwahnya begitu juga seluruh kehidupan keluarga Rasulullah s.a.w. adalah contoh jelas konsep tajarrud keluarga dakwah. Contoh semasa juga banyak.

Oleh itu kehidupan keluarga du`at yang mahu efektif mesti dijajarkan dengan fasa-fasa perjuangan dakwah supaya tajarrudnya sejajar dengan keperluan fasa terbabit. Ini akan dapat memastikan pewaris dapat memahami keadaan dan dapat menyesuaikan diri, walaupun mungkin sesetengah situasi itu belum mampu difahami pewaris dalam lingkungan umur tertentu.

3.5.2..Kafalah.

Kafalah ertinya jaminan. Di sini ia bermaksud jaminan organisasi ke atas keselamatan dan kesejahteraan keluarga du`at, sama ada dalam bentuk kafalah maliyah (wang ringgit), nafsiyah (moral) yang akan membawa ketenangan kepada da`ie. Termasuklah sistem sokongan, jaminan terhadap anak isteri yang akan ditinggalkan. Jika ia ditakdirkan di penjara atau syahid, dia yakin pasti akan ada orang yang akan ambil tahu atau mengahwini isteri yang ditinggalkan untuk menjadi pelindung kepada anak-anaknya. Dan banyak lagi yang lain.

Sejarah dakwah Rasulullah s.a.w. dan organisasi-organisasi dakwah dahulu dan kini banyak yang boleh dijadikan contoh.

Apa pun, kafalah Ilahi mesti menjadi pegangan para da`ie.

Era-era mendatang menunjukkan keperluan kepada kafalah ini semakin ketara. Kita mesti bersedia menghadapi cabaran ini kalau mahu dakwah kita efektif.

3.6.Cabaran Membentuk Fikrah Pewaris.

Para du`at bertanggungjawab memastikan keluarga memainkan peranan berkesan dalam membentuk fikrah generasi pewaris. Ini dapat di lakukan dalam berbagai bentuk. Namun yang paling penting ialah qudwah hasanah.

Ketua keluarga (suami dan isteri) mestilah menjadi qudwah sebagai aktivis dakwah kepada pewaris. Mereka mesti menjadi contoh amali kepada pewaris. Ini adalah cabaran kepada ketua keluarga supaya sentiasa dapat menunjukkan penglibatan serius mereka dalam kerja-kerja dakwah. Kata pepatah Melayu:

“Ke mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi”.

“Bapa borek anak rintik”.

“Mana mungkin ketam mengajar anaknya berjalan betul”.

“Bapa kencing berdiri anak kencing berlari”.

Kata pepatah Arab:

لسان الحال افصح من لسان المقال

“Bahasa buat lebih fasih (mudah difahami) dari bahasa cakap.”

فاقد الشىء لا يعطى

“Yang tidak milik apa-apa tidak dapat beri apa-apa”.

كل ينفق ما عنده

“Setiap orang akan membelanjakan apa yang ia ada”.

Ketua keluarga yang gagal menjadi contoh sukar berjaya membentuk keluarga du`at dan sekali gus gagal membentuk genarasi pewaris.

3.7.Cabaran Hidupkan Suasana Dakwah.

Keluarga du`at tercabar untuk memastikan suasana dakwah sentiasa hidup dalam keluarga. Sebolehnya suasana yang mendominasi keluarga ialah suasana dakwah. Seluruh konsep, nilai dan neraca dalam keluarga mesti sejajar dengan nilai, konsep dan neraca dakwah. Cita-cita, cinta, bacaan, keutamaan-keutamaan dalam keluarga, rutin hidup harian, usaha mencari rezeki dan kekayaan, perbelanjaan, perbualan, aktiviti, hubungan-hubungan, hiburan, rekreasi, tetamu dan lain-lain semestinya tidak terpisah daripada dakwah. Kesemua ini secara natural akan berpindah kepada pewaris dalam keadaan yang cukup tabi`ie dan akan mendarah daging.

4.0. Realiti kita.

Setakat ini, realitinya, walau pun kita mampu mempertahankan yang wajib tetapi secara umum kita banyak menurun dalam banyak aspek. Malah dalam sesetengah perkara ada di antara kita yang telah jauh terbabas dari landasan.

4.1. Kehidupan Keluarga.

Daripada sudut kehidupan material secara rawak keluarga kita paling kurang telah mencapai tahap sederhana, malah ada yang kaya.

Daripada sudut pencapaian keluarga bahagia saya rasa majoriti keluarga kita dapat memastikan kebahagiaan berkeluarga. Tetapi tidak dapat dinafikan ada keluarga yang menghadapi masalah. Banyak kes-kes yang sampai kepengetahuan kami.

Daripada sudut pemeliharaan adab dan tata susila Islam kita masih dapat mempertahankan yang wajib-wajib. Tetapi dalam perkara fadzail dan warak kita telah banyak menurun. Dulu kita pakai purdah, sekarang kita pakai tudung tiga segi. Dulu kita pakai jubah, sekarang kita pakai seluar dan kemeja labuh atau pakai stail Hindi.

4.2. Pemeliharaan al-`afaf.

Daripada sudut pemeliharaan al-`afaf golongan bapa dan ibu saya yakin sebilangan besar kita dapat memeliharanya dengan baik dalam hubungan suami isteri dan dengan orang lain. Namun ada kes cinta warga tua di kalangan kita. Ia sampai membawa kepada perpecahan. Ia bukan hanya berlaku kepada orang kecil dalam dakwah, tetapi berlaku kepada orang-orang besar juga.

Perkahwinan kedua ikhwah tidak mengurangkan bilangan akhawat yang belum bersuami.

4.3.Menjajarkan Rumahtangga Dengan Dakwah.

Saya tidak banyak berjalan menziarahi rumah-rumah ikhwah dan akhawat. Jadi, saya tidak dapat satu gambaran jelas mengenai penjajaran kehidupan keluarga kita dengan kehidupan dakwah. Tetapi apa yang dapat kita saksikan, jemaah kita tidak semewah keluarga kita. Dakwah kita tidak mendapat perhatian daripada semua ahli sebagai mana rumah kita mendapat perhatian daripada semua kita.

Fenomena tidak berlaku pertambahan ahli, piramid keahlian yang terbalik, aktivis yang sama di semua program dan di semua peringkat, kelembapan tarbiah adalah petunjuk-petunjuk jelas kepada penjajaran yang tidak sempurna ini.

4.5.Membina Fikrah Pewaris.

Setakat ini mungkin bilangan anak-anak kita telah mencecah ribu. Sudah ada anak kita yang berusia 26 tahun. الحمدلله , telah ada di kalangan mereka yang aktif dalam dakwah. Namun bilangannya amat menyedihkan, terlalu amat sedikit. Yang sedikit itu pun belum mencapai kualiti yang sepatutnya. Belum ada di antara mereka yang layak di serahkan tugas yang lebih bermakna dalam sebuah harakah islamiah. Sedangkan anda dahulu, dalam usia mereka, telah mencapai satu tahap yang boleh diserahkan masuliyah.

Bukan hanya setakat tidak cukup kualiti, tidak terlibat dalam kegiatan dakwah, malah ada anak-anak kita yang terbabas. Yang tidak berminat dengan amal dakwah mewakili majoriti anak-anak kita .(ini senario awal tahun 2000, alhamdulillah ditahun 2009, ramai anak2 generasi pewaris telah berada disaf kepimpinan - nota penyunting)

4.0. Penutup.

Sudah ada antara kita meredah kerja dakwah melebihi 30 tahun
Sudah banyak pahit maung dirasai
Sudah banyak pengalaman ditimba
Sudah ada antara kita yang menjengkau usia tua
Anak-anak sudah ramai yang meningkat usia remaja
Telah ada yang mencapai usia matang dan dewasa
Malah telah ada yang menimang cahaya mata
Tetapi, semuakah mereka berada dalam saf dakwah?.
Pernahkah kita bertanya pada diri
Sudahkah anak-anak terjamin akan mewarisi ?.
Ataukah sebenarnya mereka telah jauh sesat diri
Ataukah kita sendiri yang telah menyesal menjadi da`ie
Dan tidak lagi merestui anak mengikut jalan ini
Atau memang ia kecuaian diri
Anak-anak yang telah remaja,
Dulu kamu dikilik ke hulu ke hilir menghadiri program dakwah
Di dalam dan di luar negara
Kamu tidak tahu apa-apa
Tetapi kini kamu telah mampu menilai
Telah kamu tentukan di saf mana kamu berada
Mari kita renungi bersama,
Mari kita insafi semula
Semoga taufik yang maha esa.

Uao Dag, datok keramat
12 .3.02
kemaskini 16.7.02
kemaskini 2.4.03
ubahsuai 14. 0. 03




No comments:

Post a Comment