Islah & Wanita Gemilang

Wednesday, June 3, 2009

Teks Khutbah sempena hari Naksah - (5 - 10 Jun)

Teks khutbah yang disediakan oleh akh Wan Mujahid Abdullah Bin Hassanuddin (Fellow PACE) sempena hari an-Naksah (5 - 10 Jun). Ia merujuk kepada ulangtahun ke 42 kekalahan paling memalukan umat Arab yang membawa kepada penaklukan Baitul Maqdis dan Masjid al-Aqsa pada tahun 1967.

Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengarah PACE
Palestine Centre of Excellence


اَلْحَمْدُ للهِ الَّذِيْ لَهُ مَا فِى السَّمَوَاتِ وَمَا فِى الأَرْضِ وَلَهُ الْحَمْدُ فِى الآخِرَةِ وَهُوَ الْحَكِيْمُ الْخَبِيْرُ. أَشْهَدُ أَنْ لآ اِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لآ شَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ! اِتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.

Sidang jumaat yang dimuliakan


Khutbah Jumaat kita pada hari ini akan membawa kita mengimbau kembali beberapa peristiwa penting yang berlaku ke atas masjid Al-Aqsa. Masjid yang telah diwaqafkan kepada umat Islam oleh Khalifah Umar Al-Khattab sebaik sahaja beliau membuka negara Palestin dari genggaman tentera salib 1300 tahun yang lalu.

Masjid Al-Aqsa merupakan masjid ketiga yang paling mulia di sisi kita umat Islam selepas Masjidil Haram di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah. Masjid di mana berlakunya Israk dan Mikraj. Dan yang paling penting masjid pertama yang menjadi kiblat, arah kita bersujud sebelum berubah arahnya ke Kaabah.

Dalam sebuah peristiwa yang pasti menyentuh hati kita, tatkala Khalifah Umar Al-Khattab menjejakkan kaki ke Masjid Al-Aqsa, beliau mendapati masjid tersebut menjadi tempat buangan sampah semata. Lantas pemimpin yang zuhud hatinya itu tadi menyinsingkan lengan bajunya dan mengaut ke luar sampah-sampah tersebut.

Sahabat-sahabat beliau ketika melihat peristiwa itu segera menuruti langkah Umar Al-Khattab. Bagaimana tidak tersentuh masyarakat Nasrani yang melihat peristiwa tersebut. Seorang pemimpin nombor satu umat Islam sendiri mengutip sampah sarap dengan tangannya sendiri.
Khalifah Uthmaniah yang terakhir, Sultan Abdul Hameed ketika ditawarkan wang serta kekayaan untuk ditukarkan dengan sebahagian kecil dari jajahan kuasanya di palestin dengan tegas berkata,

“Demi keturunanku, beta lebih rela dikerat daging dari tubuh beta sendiri daripada mengeluarkan Palestin dari tanah orang Islam. Tanah Palestin bukan milik beta tetapi milik orang Islam keseluruhannya. Beta tidak akan membenarkan sesiapa mengambilnya selagi beta masih hidup. Tetapi jika suatu hari khilafah Islam tumbang, anda boleh mengambilnya dengan percuma."

Itulah yang terjadi pada hari ini. Kiblat pertama kita, bumi para Anbiya dan rasul, bumi yang telah di muliakan oleh Allah di dalam Al-Quran sebagaimana di dalam surah Al-Israa` ayat 1-4:

سبحن الذي أسرى بعبده ليلا من المسجد الحرام إلى المسجد الأقصى الذي بركنا حوله لنريه من ءايتنا إنه هو السميع البصير

Maksudnya :
Maha suci Allah yang memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari masjidil Haram ke Masjid Al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

Profesor Dr. Muhammad Sayyid Tantawi telah menggambarkan sifat keji bangsa ini melalui bukunya, 'Israel fi Al-Quran wa As-Sunnah', bahawa Israel sebagai bangsa penjenayah kejam yang tidak membezakan orang tua, wanita, kanak-kanak, masjid, rumah ibadah, tempat awam dan sebagainya. Israel juga terkenal sebagai bangsa penjenayah yang kuat memusuhi Islam dan Arab. Golongan ini bukan sekadar ingin menguasai Palestin, malah Jordan, Syria, Lebanon, Iraq, semenanjung Sinai dan termasuklah Madinatul Munawwarah.

Benarlah firman Allah sepertimana yang di bacakan khatib di awal khutbah tadi :

Maksudnya:
" Orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan menceroboh."
(al-Maidah ayat 78)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah

Tanggal 14 Mei 1948, buat pertama kalinya bendera yang berlambangkan ‘Star of David’, iaitu bendera rasmi Israel dikibarkan di negara Palestin. Keesokan harinya pula, pada 15 Mei 1948, negara haram Israel telah diisytiharkan kewujudannya dan disambut gilang-gemilang di seluruh dunia sebagai Hari Kemerdekaan Israel setelah memenangi Peperangan Arab – Israel yang pertama.

Perdana Menteri keempat negara haram Israel, Golda Meir, pernah berkata:

“Kita tidak mengambil tanah ini daripada rakyat Palestin. Mereka (rakyat Palestin) sebenarnya memang tidak pernah wujud.”

Daripada deretan peristiwa dan tregedi yang berlaku di Palestin, negara haram Isreal bukan sahaja tidak jemu-jemu melanggar hak asasi umat Palestin sejak 60 tahun dahulu, malah langsung tidak menghiraukan undang-undang antarabangsa yang ditetapkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Pertama, Israel melanggar ketetapan PBB 149 (III) mengenai hak pelarian (1949). Kedua, Israel tidak pernah melaksanakan ketetapan PBB 242 (1947) yang mengarahkan keluar dari Tebing Barat dan Baitul Maqdis. Malah, Israel mengistiharkan Baitul Maqdis sebagai ibu negaranya.
Israel menuduh HAMAS sebagai penghalang Israel untuk menghormati hak rakyat Palestin. Sedangkan, HAMAS hanya muncul pada tahun 1987, dan berkuasa di Palestin pada tahun 2006. Jadi, bagaimana Israel menjawab hampir 40 tahun kekejaman dan penyembelihan yang dilakukannya sebelum kewujudan HAMAS lagi?

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah

Mulai tahun lepas 2008, 15 Mei akan diingati sebagai tarikh penting peristiwa Nakbah. Kempen akan dilaksanakan di seluruh pelusuk negara untuk memperingati peristiwa Nakbah ini. Juga, seluruh umat Islam umumnya dan rakyat Malaysia khususnya digesa menyebarkan penggunaan istilah ‘NAKBAH’ supaya umat Islam punya kepekaan yang tinggi terhadap tragedi ini.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah

Pada bulan Jun 1967 pula, umat Islam dianda oleh satu lagi kekalahan besar atau ’NAKSAH’ Pada tarikh tersebut jatuhlah pula Semenanjung Gaza, Tanah Tinggi Golan, Semenanjung Sinai, Tebing Barat dalam peristiwa yang disebut sebagai Perang enam hari. Peristiwa ini amat penting dalam batu tanda sejarah konflik Arab-Israel sejak tahun 1947 kerana bukan sahaja kekalahan ini menyebabkan wilayah-wilayah Arab seperti Bukit Golan, Tebing Barat, Sinai, Baitul Maqdis Timur dan Gaza jatuh ke tangan Israel, bahkan lebih penting lagi Masjid al-Aqsa menjadi tawanan Israel sehingga kini.

Pada 5 Jun 1967, tepat pukul 7.45 pagi waktu Israel (8.45 pagi waktu Kaherah), jet-jet pejuang Israel telah membedil kedudukan pangkalan tentera Arab di Mesir, Syria, Iraq dan Jordan. Sementara itu, pangkalan tentera udara Mesir di sekitar Kaherah, Terusan Suez dan Lembah Nil menjadi sasaran utama bedilan jet pejuang Israel. Serangan udara Israel ini menandakan permulaan perang 6 hari Arab-Israel 1967. Perang ini kemudiannya berterusan dari 5 Jun hingga 11 Jun 1967, sebelum Israel dan negara Arab bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata berdasarkan resolusi PBB 233, 234 dan 235.3.

Perang yang berlaku selama enam hari ini menyaksikan pakatan negara Arab yang diketuai oleh Presiden Gamal Abdul Nasser dari Republik Arab Bersatu (Mesir) tumpas kepada Israel dalam keadaan yang amat memalukan. Republik Arab Bersatu selain kehilangan wilayahnya di Gaza dan Sinai turut menyaksikan lebih 15 ribu tenteranya terkorban dan lebih 5000 lagi hilang tanpa dikesan. Manakala lebih 700 tentera Jordan terkorban dan 450 tentera Syria maut.
Sementara bagi Israel pula 679 orang tenteranya telah terkorban. Dari segi kemusnahan kelengkapan pertahanan pula, lebih 15 peratus daripada kelengkapan tentera Republik Arab Bersatu bernilai lebih US$2 juta telah dimusnahkan termasuklah 320 kereta kebal, 480 senjata berat dan ringan dan 10,000 kenderaan tentera telah dirampas oleh Israel. Lebih 85 peratus kelengkapan pertahanan udara Republik Arab Bersatu telah dimusnahkan oleh Israel.

“Never in the history of military aviation has the exercise of air power played so speedy and decisive a part in modern warfare.”

“Tidak pernah dalam sejarah peperangan, serangan udara yang cukup luar biasa dari segi kekuatan dan kelajuan yang amat signifikan dalam era peperangan modern .”

Demikianlah pandangan seorang penganalisis perang British, R. Goring Morris dalam menggambarkan kejayaan Israel. Perang ini juga menyaksikan masalah pelarian Palestin kian meruncing khususnya dengan pertambahan pelarian yang mendadak dari Tebing Barat. Sementara itu di Baitul Maqdis Timur, penaklukan Israel menyaksikan proses ‘meYahudikan’ kota bersejarah tersebut dilakukan secara agresif oleh Israel.

Laporan berhubung Baitul Maqdis Timur (Jerusalem Timur) oleh Ernesto A. Thalman, wakil Setiausaha Agong PBB, U-Thant pada September 1967 mengesahkan tindakan tidak bertanggungjawab Israel jelas bertentangan dengan undang-undang antarabangsa. Thalman dalam laporan beliau mengkritik Israel yang mengaplikasikan undang-undang Israel di Baitul Maqdis mulai 28 Jun 1967.

Lebih 75,000 penduduk Arab Islam iaitu kira-kira 81 peratus dan Arab Kristian berjumlah 17 peratus mula berdepan dengan tindakan Israel merampas tanah-tanah mereka, meruntuhkan bangunan kedai dan kediaman dan sebahagian besar penduduk Arab ini keluar dari penempatan mereka di Baitul Maqdis Timur. Ini adalah peristiwa besar yang harus diceritakan kepada masyarakat supaya mereka sedar akan kerosakan dan kefasadan yang dilakukan oleh puak Zionis laknatullah.

Apa yang lebih menyedihkan ialah Masjid al-Aqsa telah dicemari dengan pelbagai perbuatan biadap tentera-tentera sebaik sahaja mereka memasuki perkarangan Masjid dan meraikan kemenangan mereka. Tindakan biadap dan keji tentera zionis ini tidak layak atas mana-mana rumah ibadat atau tanah suci bagi mana-mana agama sekalipun, apatah lagi ke atas Masjid ketiga tersuci dalam Islam. Bukan sahaja masjid al-Aqsa dan masjid-masjid lain terus terancam oleh kebiadapan manusia tidak bertamaddun zionis bahkan gereja-gereja bersejarah di Baitul Maqdis juga tidak terlepas dari tindakan keji Israel. Berapa banyak masjid dan gereja yang telah ditukar menjadi kandang kuda, tempat hiburan dan dirobohkan. Inilah akibat manusia yang selalu engkar kepada Tuhan dan selalu melanggar perentah Tuhan sejak dari zaman Nabi Musa A.S.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah

Kekalahan yang dideritai oleh umat Arab dalam peristiwa An-Naksah pada 5 – 10 Jun 1967 adalah isyarat jelas bahawa hanya Islam yang boleh menyediakan jalan keluar kepada kemelut yang dihadapi oleh umat Islam. Negara-negara Arab berjuang di atas landasan Nasserism (ketaksuban kepada pemimpin Arab – Gamal Abdul Nasir) yang menyaksikan kekalahan maha dahsyat. Kemudian mereka berjuang pula di atas dasar Sosialisma dan Nasionalisme Palestin yang diterajui oleh PLO. Akhirnya kesemua bentuk-bentuk perjuangan yang tidak berteraskan Islam ini berakhir dengan kekalahan dan kelemahan. Namun fajar mulai menyinsing apabila perjuangan ini didasarkan di atas jalan jihad yang jelas. Kemunculan HAMAS sebagai gerakan Islam secara rasmi di pentas politik dan intifadah (penentangan) di Palestin telah memberi harapan baru kepada seluruh dunia Islam. Akhirnya kemenangan yang ditunggu-tunggu adalah sesuatu yang dekat dan boleh dicapai dengan izin Allah SWT.

Generasi muda kita hari ini harus diterapkan semangat jihad yang tinggi supaya mereka juga menjejaki langkah generasi muda di Palestin yang menyerahkan jiwa raga mereka demi mempertahankan maruah umat Islam dan kemuliaan Masjid al-Aqsa. Jika mereka di Palestin telah memberikan nyawa mereka maka kita tidak punya alas an untuk tidak mengorbankan harta,masa dan tenaga kita demi perjuangan suci ini. Firman Allah SWT, maksudnya:

“Mengapa kamu tidak mau berperang di jalan Allah dan (membela) orang-orang yang lemah baik laki-laki, wanita-wanita mahupun anak-anak yang semuanya berdoa: “”Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami dari negeri ini yang zalim penduduknya dan berilah kami pelindung dari sisi Engkau, dan berilah kami penolong dari sisi Engkau!”
(Al-Nisaa` : 75)

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِى الْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الأيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.

No comments:

Post a Comment