Islah & Wanita Gemilang

Monday, June 29, 2009

Di Ambang Cahaya Ilahi 29 Jun 09

Assalamu'alaikum wbt

Semuga ikhwah dan akhawat berada di dalam iman yang sejahtera. Sekadar berkongsi berita gembira. Mudah mudahan bermanfaat.

Sekitar bulan Disember 2008 lepas, saya pernah kongsikan tentang usaha saya meladeni seorang pemuda India beragama Hindu & Kristian. Actually, diapun tak pasti apa agamanya.

Namanya Anantharaj RE Rajah. Panggilan manja yang kami berikan Anand (baca Adnan). Beliau kini tinggal di Pandan Indah bersama keluarga beliau. 'Sudah' beristeri dan mempunyai seorang anak. Bekerja di EON Bank Ampang Point sebagai seorang telemarketer. Ibu beliau bekas seorang doktor dan beragama Hindu. Bapa beliau seorang peguam, beragama Kristian. Meninggal dunia ketika beliau kecil lagi. Itulah sebab agaknya dia sendiri 'confused' kedudukan agamanya.

Ketika kami bermusafir ke Pulau Pinang pada tahun lepas, atas urusan perniagaan, dengan bantuan Akhi Rashid Hasnon, kami telah membawa beliau melawat masjid Kapitan Keling. Jzkk Pak Rashid. , usaha kita tidak sia-sia.

Masjid ini memang terkenal lantaran usaha da'wahnya yang dipelopori oleh Bro Kamaruddin Abdullah, Pengerusi Institute Propagation Society International (IPSI). Dalam permusafiran 3 hari 2 malam kami, banyak yang sempat kami kongsikan tentang Islam dengan Anand.



Pada 22Jun 2009 jam 1:35ptg, saya menerima sms daripada beliau:

Asm bro. Kat mane bro? Sorry la bro lama x contact coz Anand bz sikit. Mlm ni lepas maghrib blh jumpa x? Anand ada banyak nak discuss dgn bro.. Thanx bro!

Ketika itu saya berada di Kajang menuju ke Putrajaya atas urusan perniagaan. Lantas mejawab sms beliau: InsyaAllah kita jumpa lepas solat maghrib. Saya dapat merasakan bahawa hidayah Allah sudah terlalu hampir dengan Anand.





Selesai sahaja urusan di Putrajaya, saya terus menghala ke rumah Anand. Berhenti sebentar untuk solat Maghrib di Petronas berhampiran Tesco Ampang. Saya terus ke tempat yang dijanjikan, Restoran Saujana tidak jauh daripada apartmen Anand.

Anand datang bersama sepupu perempuan beliau, anak angkat serta adik lelaki beliau. Sesampai saja ke kereta saya, dia terus memberi salam. Saya menjawab salam sambil bersalaman dengan beliau. Terasa gembira sekali kerana dah agak lama kami tidak bertemu, kira-kira 3 bulan lamanya.

Sepupunya memberi salam. Saya menyambut salam beliau serta melemparkan senyuman. Terdetik dihati saya, sudah Islamkah perempuan ini? Muga Allah memberi hidayah kepadanya.

Untuk makluman semua, Anand memang telah biasa memberi salam sepanjang perkenalan kami lebih setahun lalu. Samada melalui sms maupun ketika kami berbicara. Rupa-rupanya salam ini amat memberi kesan yang mendalam terhadap diri Anand. Sudah pasti ia merupakan doa buat Anand. Saya juga selalu mendoakan agar beliau diberikan taufik dan hidayah oleh Allah swt suatu hari nanti.

Setelah masing-masing mengambil tempat dan menempah minuman, Anandpun menceritakan masalah yang beliau sedang hadapi. Isteri beliau telah mengikuti seorang pemuda India dan terlibat dengan kerja-kerja maksiat....pelacuran. Anand kini telah bercerai dengan isterinya dan bergilir-gilir menjaga anak sulungnya Agil berusia 2 tahun. Beliau telah membuat laporan polis, namun tiada tindakan diambil.

Saya mendengar luahan hati Anand dengan penuh rasa simpati. Saya nasihatkan beliau agar bersabar. InsyaAllah, Allah akan gantikan isteri beliau dengan seorang isteri yang lebih baik, ujar saya bagi memujuk hati Anand. Jauh disudut hatinya tersembunyi perasaan sedih disebalik wajahnya yang serius dan badannya yang besar itu.

Beliau seterusnya menyatakan hasratnya untuk memeluk agama Islam. Yang menggembirakan saya lagi ialah, ibu dan sepupu beliau juga berhasrat memeluk agama Islam. Saya bertanya kepada beliau, bagaimana ibunya pula tiba-tiba ingin memeluk agama Islam? Beliau menceritakan yang ibunya sering membaca Al-Quran terjemahan Yusuf Ali yang saya hadiahkan kepada beliau kira-kira 8 bulan lalu.

Saya juga pernah menziarahi ibunya ketika sibuk-sibuk PRU-12 dulu. Ibu beliau ada masalah mata dan terpaksa berhenti 'practice'. Usianya sekitar 65 tahun. Namun sesekali ada juga pesakit yang biasa dengan khidmat beliau mendapatkan khidmatnya sebagai doktor peribadi. Beliau ada sebuah klinik di Taman Putra Sulaiman.

Saya pernah meminta bantuan ibunya menterjemahkan biodata YB Saari Sungib ke dalam Bahasa Tamil. Besar juga sumbangan beliau dalam memenangkan Pak Abu untuk mendapatkan sokongan masyarakat India. Anand pula pernah saya libatkan sebagai escort Pak Abu, bersama 2 lagi rakan beliau.

Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dan menyatakan kepada Anand bahawa Allah akan ampunkan segala kesalahannya yang lalu. Anand sekeluarga akan menjadi insan yang bersih daripada dosa seumpama sehelai kain putih.

Setelah hampir 2 jam bersama, dan membantu menghantar beliau ke Ampang Point untuk urusan bank, saya menghantar beliau balik ke apartmennya. Sebelum berpisah, saya menyatakan kegembiraan kepada Anand dan meminta beliau menyampaikan salam saya kepada ibunya.

InsyaAllah majlis pengIslaman Anand serta keluarga akan diadakan di Kompleks JIM pada hari Isnin 29/6/2009 jam 8 malam. Hari tersebut adalah hari dimana giliran beliau menjaga anaknya pula. Beliau mahu menyelamatkan aqidah anaknya daripada isterinya dan berharap selepas ini beliau tak akan melepaskan anaknya kepada isterinya lagi. Mengikut beberapa peguam yang pernah Anand rujuk, beliau mempunyai hak keatas penjagaan anaknya.

Mohon doa ikhwah dan akhawat semua agar segalanya berjalan dengan baik, dan hasrat mereka dimakbulkan Allah. Ikhwah dan akhawat yang berdekatan, dijemput hadir meraikan kehadiran mereka sebagai saudara seaqidah.

Marilah kita bersama-sama mengucapkan salam, tahniah dan mendoakan hari-hari yang mendatang akan dipenuhi dengan redha dan rahmat Allah. Bantuan tenaga untuk membimbing mereka sudah pasti diperlukan. Maka rebutlah peluang ini. Tiadalah nikmat yang lebih besar selain daripada mendapat nikmat Islam dan Iman ini.

Sekiranya sesiapa ingin menyumbang atau ingin memberi zakat bolehlah menghubungi Bendahari JKD Ampang Jaya Kak Suriati Haron 019-2455 569.

Semuga Allah menerima amal kita dan menjadikan kita dikalangan hambaNya yang ikhlas.

Sesiapa yang mengajak manusia ke jalan hidayah (kebenaran), dia akan memperolehi ganjarannya seperti ganjaran orang-orang yang mengikutinya. Tidak dikurangkan sedikit pun daripada ganjaran pahala mereka. Dan sesiapa yang mengajak manusia ke jalan kesesatan, maka dia akan memperolehi dosanya seperti dosa orang-orang yang mengikutinya dengan tidak dikurangkan sedikit pun daripada dosa mereka.

(Hadith riwayat Muslim,no.6980)

Zun Arif Hakim
JKD JIM Ampang Jaya


No comments:

Post a Comment